Lukas 6:1-49

  • Yesus, ‘Tuan hari Sabat’ (1-5)

  • Lelaki yang tangannya lumpuh disembuhkan (6-11)

  • 12 orang rasul (12-16)

  • Yesus mengajar dan menyembuhkan (17-19)

  • Berbahagialah; malanglah (20-26)

  • Mengasihi musuh (27-36)

  • Jangan lagi menghakimi (37-42)

  • Dikenal melalui perbuatan (43-45)

  • Rumah atas batu; rumah tanpa asas (46-49)

6  Pada suatu hari Sabat, Yesus lalu di ladang gandum. Sambil berjalan, murid-muridnya memetik bulir gandum. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya.  Jadi beberapa orang Farisi berkata, “Mengapakah kamu semua melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat?”  Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak-anak buahnya lapar?  Tidakkah dia memasuki rumah Tuhan, menerima dan memakan roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan, lalu memberikan roti itu kepada anak-anak buahnya? Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berhak memakan roti itu kecuali para imam.”  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Anak manusia ialah Tuan yang berkuasa ke atas hari Sabat.”  Pada hari Sabat yang lain, dia pergi mengajar di rumah ibadat. Di sana terdapat seorang lelaki yang tangan kanannya lumpuh.  Para jurutulis hukum dan orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti untuk melihat sama ada dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat atau tidak. Mereka berbuat demikian kerana ingin mencari alasan untuk menuduhnya.  Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Jadi dia berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.” Maka lelaki itu bangun lalu berdiri di situ.  Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak tanya kamu semua: Apakah yang wajar kita lakukan pada hari Sabat? Hal yang baik atau jahat, membunuh atau menyelamatkan nyawa?” 10  Dia memandang mereka semua lalu berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya dan tangannya pun sembuh. 11  Tetapi mereka naik berang dan mula berbincang sesama sendiri tentang apa yang hendak dilakukan terhadap Yesus. 12  Pada suatu hari, dia pergi ke gunung untuk berdoa. Dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam. 13  Sebaik sahaja hari menjadi terang, dia memanggil murid-muridnya dan memilih 12 orang daripada kalangan mereka lalu menggelar mereka rasul-rasul. 14  Mereka terdiri daripada Simon, yang juga dipanggilnya Petrus; Andreas, iaitu saudara kandung Simon; Yakobus; Yohanes; Filipus; Bartolomeus; 15  Matius; Tomas; Yakobus anak Alfeus; Simon yang digelar “yang bersemangat”; 16  Yudas anak Yakobus; dan Yudas Iskariot yang kemudiannya menjadi pengkhianat. 17  Kemudian Yesus turun dari gunung itu bersama mereka lalu berdiri di tempat yang rata. Di situ ada ramai muridnya dan ramai orang yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, dan juga kawasan Tirus dan Sidon yang terletak di tepi laut. Mereka datang untuk mendengarnya dan ingin penyakit mereka disembuhkan. 18  Bahkan orang yang diganggu roh jahat juga disembuhkan. 19  Semua orang ingin menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripadanya dan menyembuhkan mereka semua. 20  Yesus memandang murid-muridnya dan mula berkata, “Berbahagialah kamu yang miskin, kerana Kerajaan Tuhan ialah milik kamu. 21  “Berbahagialah kamu yang sedang kelaparan, kerana kamu akan dikenyangkan. “Berbahagialah kamu yang sedang menangis, kerana kamu akan ketawa. 22  “Berbahagialah kamu apabila kamu dibenci, dipulaukan, dihina, dan nama kamu diburukkan kerana Anak manusia. 23  Nenek moyang mereka juga memperlakukan nabi-nabi dalam cara yang sama. Jadi hendaklah kamu bersukacita dan melonjak kegirangan, kerana ganjaran kamu besar di syurga. 24  “Tetapi malanglah kamu yang kaya, kerana kamu telah mengecap semua nikmat hidup. 25  “Malanglah kamu yang kenyang sekarang, kerana kamu akan kelaparan. “Malanglah kamu yang sedang ketawa, kerana kamu akan merintih dan menangis. 26  “Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana nenek moyang mereka juga memuji nabi-nabi palsu. 27  “Namun aku berkata kepada kamu yang mendengar: Teruslah mengasihi musuhmu dan buatlah apa yang baik terhadap orang yang membenci kamu. 28  Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah bagi orang yang menghina kamu. 29  Jika seseorang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang mengambil jubah luar kamu, biarlah dia mengambil jubah dalam kamu juga. 30  Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah kepadanya, dan jika seseorang mengambil barang-barang kamu, janganlah meminta kembali barang itu. 31  “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka. 32  “Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu dipuji? Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka. 33  Jika kamu hanya berbuat baik kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu dipuji? Orang berdosa pun berbuat demikian. 34  Selain itu, jika kamu memberikan pinjaman* kepada seseorang dengan harapan bahawa dia akan membayarnya kembali, patutkah kamu dipuji? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa dengan harapan bahawa semua pinjaman itu akan dikembalikan. 35  Sebaliknya, teruslah mengasihi musuh kamu. Teruslah melakukan apa yang baik, dan teruslah memberikan pinjaman tanpa mengharapkan sebarang balasan. Dengan demikian, kamu akan mendapat ganjaran yang besar dan kamu akan menjadi anak-anak Tuhan Yang Maha Tinggi, kerana Dia baik hati bahkan terhadap orang yang tidak tahu bersyukur dan orang yang jahat. 36  Teruslah berbelas kasihan sebagaimana Bapa kamu berbelas kasihan. 37  “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi, dan jangan lagi mengecam orang lain supaya kamu tidak dikecam. Teruslah mengampuni orang lain supaya kamu diampuni. 38  Amalkanlah tabiat memberi dan orang lain juga akan memberi kepada kamu. Dengan murah hati, mereka akan mencurahkan pemberian yang dipadatkan dan digoncang-goncang sehingga berlimpah-limpah dalam lipatan jubahmu. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.” 39  Kemudian Yesus menceritakan satu perumpamaan kepada mereka: “Bagaimanakah orang buta dapat memimpin orang buta? Kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang, bukan? 40  Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, tetapi setiap orang yang diajar dengan sempurna akan menjadi seperti gurunya. 41  Jadi, mengapakah kamu melihat jerami di dalam mata saudaramu tetapi tidak melihat kayu balak di dalam matamu sendiri? 42  Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudara kamu, ‘Saudara, biarlah aku mengeluarkan jerami dari matamu,’ sedangkan kayu balak di dalam matamu sendiri tidak kamu lihat? Hai orang yang bermuka dua! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu sendiri, kemudian barulah kamu dapat melihat dengan jelas bagaimana untuk mengeluarkan jerami dari mata saudaramu. 43  “Pokok yang baik tidak akan menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang buruk tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44  Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Sebagai contoh, orang tidak dapat mengumpulkan buah ara ataupun buah anggur daripada tumbuhan berduri. 45  Orang yang baik menyimpan apa yang baik di dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Orang yang jahat menyimpan apa yang jahat di dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang jahat. Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut. 46  “Mengapakah kamu memanggil aku, ‘Tuan! Tuan!’ tetapi tidak menurut kata-kataku? 47  Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepadaku dan mendengar kata-kataku serta menurutnya: 48  Dia adalah seperti seorang lelaki yang mahu membina sebuah rumah. Dia menggali lubang yang dalam lalu meletakkan asas rumahnya di atas batu. Maka apabila banjir melanda dan air sungai menghempas rumahnya, rumahnya tetap teguh kerana dibina dengan baik. 49  Sebaliknya, sesiapa yang mendengar kata-kataku tetapi tidak melakukan apa-apa adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah tanpa asas. Semasa air sungai menghempas rumahnya, rumahnya segera roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”

Nota Kaki

Iaitu, tanpa faedah.