Lukas 5:1-39

  • Banyak ikan ditangkap; murid-murid pertama (1-11)

  • Pesakit kusta disembuhkan (12-16)

  • Lelaki lumpuh disembuhkan (17-26)

  • Yesus memanggil Lewi (27-32)

  • Soalan tentang puasa (33-39)

5  Pernah sekali, semasa Yesus sedang berdiri di tepi Tasik Genesaret,* orang ramai berasak-asak mengerumuninya untuk mendengar firman Tuhan.  Dia nampak dua buah perahu di tepi tasik, tetapi nelayan sudah keluar dari perahu dan sedang mencuci jala mereka.  Dia menaiki salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon, dan menyuruh Simon untuk mendayung perahu itu jauh sedikit dari darat. Kemudian, dia duduk dalam perahu lalu mula mengajar orang ramai.  Setelah Yesus selesai bercakap, dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam, dan labuhkanlah jala kamu untuk menangkap ikan.”  Simon menjawab, “Guru, kami bekerja keras sepanjang malam tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Namun, aku akan melabuhkan jala seperti yang Guru suruh.”  Apabila mereka berbuat demikian, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala itu mula koyak.  Jadi mereka meminta rakan-rakan yang berada dalam sebuah perahu yang lain untuk datang membantu mereka. Kedua-dua perahu mereka diisi penuh dengan ikan sehingga perahu mereka mula tenggelam.  Apabila Simon Petrus melihat apa yang berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus lalu berkata, “Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.”  Oleh sebab mereka menangkap begitu banyak ikan, Simon dan orang yang bersamanya berasa sangat kagum. 10  Begitu juga dengan Yakobus dan Yohanes, dua orang anak Zebedeus yang merupakan rakan sekerja Simon. Tetapi Yesus berkata kepada Simon, “Janganlah takut. Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.” 11  Jadi, mereka membawa perahu ke darat dan meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Yesus. 12  Pada suatu masa yang lain, dia berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki yang seluruh tubuhnya dijangkiti penyakit kusta. Apabila lelaki itu nampak Yesus, dia sujud kepadanya dan merayu, “Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.” 13  Yesus menghulurkan tangannya lalu menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang. 14  Kemudian Yesus melarang lelaki itu memberitahu sesiapa pun tentang hal tersebut. Dia juga berkata, “Pergilah berjumpa dengan imam, dan persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.” 15  Namun berita tentang Yesus semakin tersebar. Banyak orang berkumpul untuk mendengarnya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. 16  Tetapi dia sering pergi ke tempat yang sunyi untuk berdoa. 17  Pada suatu hari, semasa Yesus sedang mengajar, terdapat orang Farisi dan guru-guru Hukum yang sedang duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem dan semua pekan di Galilea dan Yudea. Kuasa Yehuwa ada padanya supaya dia dapat menyembuhkan orang. 18  Ketika itu, beberapa orang datang sambil mengusung seorang lelaki yang lumpuh. Mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah dan meletakkannya di hadapan Yesus. 19  Namun, mereka tidak dapat membawa lelaki itu kepada Yesus kerana terdapat ramai orang di situ. Jadi mereka naik ke atas bumbung lalu menurunkan lelaki itu dengan usungannya di hadapan Yesus. 20  Apabila Yesus melihat iman mereka, dia berkata kepada lelaki itu, “Dosamu sudah diampunkan.” 21  Kemudian para jurutulis hukum dan orang Farisi mula berbincang sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang menghina Tuhan? Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.” 22  Yesus tahu apa yang sedang difikirkan mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sedemikian? 23  Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah dan berjalanlah’? 24  Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak manusia mempunyai kuasa di bumi untuk mengampunkan dosa—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” 25  Dengan segera lelaki itu bangun di hadapan mereka, mengangkat usungannya, dan pulang ke rumahnya sambil memuliakan Tuhan. 26  Semua orang di situ berasa sangat kagum dan mula memuliakan Tuhan. Mereka berasa takjub lalu berkata, “Sungguh mengagumkan perkara yang kita saksikan hari ini!” 27  Selepas itu, Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi, yang sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” 28  Lewi pun berdiri, meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. 29  Kemudian Lewi mengadakan jamuan yang besar untuk Yesus di rumahnya. Ramai pemungut cukai dan orang lain makan bersama mereka. 30  Maka orang Farisi dan jurutulis hukum daripada golongan mereka mula merungut kepada murid-murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan pendosa?” 31  Yesus menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. 32  Aku datang bukannya untuk memanggil orang yang alim, tetapi untuk memanggil pendosa supaya mereka bertaubat.” 33  Mereka berkata kepadanya, “Murid-murid Yohanes sering berpuasa dan berdoa dengan bersungguh-sungguh, begitu juga dengan murid-murid orang Farisi. Tetapi murid-muridmu makan dan minum.” 34  Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh sahabat-sahabat pengantin lelaki berpuasa semasa pengantin lelaki itu ada bersama mereka? Tentu tidak! 35  Namun, masanya akan tiba apabila pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada waktu itulah mereka akan berpuasa.” 36  Dia juga memberi mereka satu perumpamaan: “Tiada orang yang mengambil kain daripada pakaian baru untuk menampal pakaian yang lama. Jika dia berbuat demikian, kain penampal itu akan terkoyak daripada pakaian yang lama. Lagipun, kain penampal daripada pakaian baru tidak padan dengan pakaian lama. 37  Tambahan lagi, tiada orang yang menyimpan wain baru dalam kirbat lama. Jika tidak, wain baru akan menyebabkan kirbat pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun rosak. 38  Sebaliknya, wain baru mesti disimpan dalam kirbat baru. 39  Tiada orang yang sudah minum wain lama ingin minum wain baru, kerana dia berkata, ‘Wain lama bagus.’”

Nota Kaki

Iaitu, Tasik Galilea.