Lukas 22:1-71

  • Para imam berkomplot membunuh Yesus (1-6)

  • Persiapan untuk Paska terakhir (7-13)

  • Perjamuan Malam Tuan diasaskan (14-20)

  • ‘Pengkhianatku ada di meja ini’ (21-23)

  • Pertengkaran besar tentang siapa yang terbesar (24-27)

  • Yesus membuat perjanjian untuk kerajaan (28-30)

  • Penyangkalan Petrus dinubuatkan (31-34)

  • Perlu bersedia; dua bilah pedang (35-38)

  • Doa Yesus atas Gunung Zaitun (39-46)

  • Yesus ditangkap (47-53)

  • Petrus menyangkal Yesus (54-62)

  • Yesus diejek (63-65)

  • Di hadapan Majlis Orang Yahudi (66-71)

22  Perayaan Roti Tidak Beragi, yang juga disebut Perayaan Paska, sudah dekat.  Para ketua imam dan jurutulis hukum sedang mencari jalan terbaik untuk membunuh Yesus, kerana mereka takut kepada orang ramai.  Kemudian Syaitan memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus.  Maka Yudas pergi untuk berbincang dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang cara mengkhianatinya dan menyerahkannya kepada mereka.  Mereka gembira dan bersetuju untuk memberinya wang perak.  Dia pun setuju dan mula mencari kesempatan yang baik untuk mengkhianatinya dan menyerahkannya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.  Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, semasa binatang untuk Perayaan Paska dikorbankan,  Yesus berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Pergilah dan sediakanlah jamuan Paska untuk kita.”  Mereka berkata kepadanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan?” 10  Dia berkata kepada mereka, “Lihatlah! Semasa kamu masuk ke kota, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa sebuah tembikar air. Ikutlah dia ke dalam rumah yang dimasukinya 11  dan beritahulah tuan rumah itu, ‘Guru bertanya kepadamu, “Di manakah bilik yang dapat aku gunakan untuk makan jamuan Paska bersama murid-muridku?”’ 12  Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Sediakanlah jamuan Paska di situ.” 13  Maka mereka bertolak dan mendapati semuanya berlaku seperti yang telah dikatakannya kepada mereka. Kemudian mereka membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska. 14  Apabila waktunya tiba, Yesus duduk dan makan di meja bersama rasul-rasulnya. 15  Dia berkata kepada mereka, “Aku teringin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum aku menderita. 16  Aku berkata kepada kamu: Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga segala yang dilambangkan oleh Paska menjadi kenyataan dalam Kerajaan Tuhan.” 17  Setelah menerima sebuah cawan, dia mengucapkan syukur dan berkata, “Ambillah cawan ini dan edarkannya sesama kamu. 18  Aku berkata kepada kamu: Mulai sekarang, aku tidak akan minum wain lagi sehingga Kerajaan Tuhan datang.” 19  Dia juga mengambil roti dan mengucapkan syukur. Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku yang akan diserahkan untuk kamu. Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” 20  Begitu juga, selepas mereka makan malam, dia mengambil cawan dan berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baru yang termeterai dengan darahku, yang akan dicurahkan untuk kamu. 21  “Tetapi lihatlah! Orang yang akan mengkhianati aku ada bersamaku di meja ini. 22  Sesungguhnya, seperti yang dinubuatkan, Anak manusia akan mati. Namun, malanglah orang yang mengkhianatinya!” 23  Apabila para rasul mendengarnya, mereka mula berbincang sesama sendiri untuk mengetahui siapa sebenarnya antara mereka yang tergamak berbuat demikian. 24  Namun, pertengkaran besar kemudiannya tercetus antara mereka tentang siapa yang terbesar. 25  Tetapi dia berkata kepada mereka, “Raja bangsa-bangsa lain mengawal rakyat mereka, dan orang yang berkuasa digelar Dermawan. 26  Namun, janganlah kamu menjadi seperti mereka. Sebaliknya, orang yang terbesar dalam kalangan kamu harus menjadi seperti orang yang paling muda, dan orang yang mengambil pimpinan harus menjadi seperti orang yang melayani. 27  Siapakah yang lebih besar, orang yang makan di meja atau orang yang melayaninya? Sudah tentu orang yang makan di meja, bukan? Namun, dalam kalangan kamu, akulah orang yang melayani kamu. 28  “Walau bagaimanapun, semasa aku menghadapi cubaan, kamu sentiasa bersama-samaku. 29  Sebagaimana Bapaku telah membuat perjanjian dengan aku untuk memberi aku sebuah kerajaan, aku juga membuat perjanjian dengan kamu 30  supaya kamu dapat makan minum di mejaku dalam Kerajaanku, dan duduk di atas takhta untuk menghakimi 12 suku Israel. 31  “Simon, Simon, lihatlah! Syaitan telah mengatakan bahawa dia mahu menampi kamu semua seperti seseorang yang memisahkan gandum daripada sekamnya. 32  Namun, aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman. Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.” 33  Petrus berkata kepadanya, “Tuan, aku bersedia untuk dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuan.” 34  Tetapi dia berkata, “Petrus, aku berkata kepadamu: Sebelum ayam jantan berkokok hari ini, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.” 35  Dia juga berkata kepada mereka, “Semasa kamu diutus tanpa membawa beg duit, beg makanan, dan kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka berkata, “Tidak!” 36  Dia berkata, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai beg duit atau beg makanan harus membawanya, dan orang yang tidak memiliki pedang harus menjual jubah luarnya untuk membeli pedang. 37  Ketahuilah bahawa apa yang tertulis mengenai aku mesti terjadi: ‘Dia dipandang sebagai penjahat.’ Sebenarnya apa yang tertulis mengenai aku sedang berlaku.” 38  Mereka berkata, “Tuan, lihatlah! Di sini ada dua bilah pedang.” Dia berkata kepada mereka, “Itu sudah cukup.” 39  Kemudian Yesus keluar dan pergi ke Gunung Zaitun seperti biasa. Murid-muridnya juga mengikutnya. 40  Setibanya di situ, dia berkata kepada mereka, “Teruslah berdoa supaya kamu tidak terjerat oleh godaan.” 41  Kemudian, dia pergi jauh sedikit* daripada mereka lalu berlutut dan mula berdoa. 42  Dia berkata, “Bapa, jika Bapa sudi, jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.” 43  Ketika itu, satu malaikat dari syurga muncul dan menguatkannya. 44  Namun, Yesus sangat menderita, maka dia terus berdoa dengan lebih tekun, sehingga peluhnya menjadi seperti darah yang menitis ke tanah. 45  Setelah berdoa, dia berdiri dan pergi kepada murid-muridnya, tetapi dia mendapati mereka sudah tertidur. Mereka sangat penat kerana terlalu sedih. 46  Maka dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan teruslah berdoa supaya kamu tidak terjerat oleh godaan.” 47  Sementara dia masih bercakap, datanglah sekumpulan orang yang diketuai Yudas, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasulnya. Dia menghampiri Yesus untuk menciumnya. 48  Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah kamu mengkhianati Anak manusia dengan ciuman?” 49  Apabila orang yang bersama Yesus nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuan, haruskah kami menyerang mereka dengan pedang?” 50  Ada seorang antara mereka yang bahkan menyerang hamba imam agung dan mengerat telinga kanannya. 51  Tetapi Yesus berkata, “Cukuplah.” Lalu dia menyentuh telinga hamba itu dan menyembuhkannya. 52  Selepas itu Yesus berkata kepada para ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin orang Yahudi yang datang untuk menangkapnya, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan seperti menangkap seorang perompak? 53  Tiap-tiap hari aku bersama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap aku. Namun inilah masa kamu dan masanya kegelapan berkuasa.” 54  Setelah menangkap Yesus, mereka membawanya ke dalam rumah imam agung. Petrus mengikutnya dari jauh. 55  Apabila mereka menyalakan api di tengah-tengah halaman dalam rumah itu, Petrus juga duduk bersama-sama mereka. 56  Tetapi ada seorang hamba perempuan yang melihatnya duduk dekat unggun api. Setelah memerhatikannya, hamba perempuan itu berkata, “Dia juga bersama dengan lelaki itu.” 57  Namun Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak mengenalnya.” 58  Tidak lama selepas itu, ada seorang lagi yang melihatnya dan berkata, “Kamu juga salah seorang daripada mereka.” Tetapi Petrus berkata, “Bukan!” 59  Kira-kira sejam kemudian, ada seorang lagi yang berkata dengan tegas, “Sudah pasti lelaki ini bersama dengannya, kerana dia orang Galilea!” 60  Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak tahu apa yang sedang kamu katakan.” Pada saat itu juga, ketika dia sedang bercakap, seekor ayam jantan berkokok. 61  Tatkala itu, Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus, lalu Petrus teringat kata-katanya, “Sebelum ayam jantan berkokok hari ini, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.” 62  Petrus pun keluar dan menangis tersedu-sedu. 63  Mereka yang mengawal Yesus mula mentertawakannya dan memukulnya. 64  Mereka menutupi mukanya dan terus-menerus berkata, “Wahai nabi, beritahulah kami siapa yang memukulmu.” 65  Mereka juga melemparkan banyak kata-kata hinaan terhadapnya. 66  Apabila matahari terbit, para pemimpin orang Yahudi, termasuk para ketua imam dan jurutulis hukum, berkumpul lalu membawa Yesus ke dewan Majlis Orang Yahudi. Mereka berkata, 67  “Jika kamu ialah Kristus, beritahulah kami.” Tetapi dia menjawab, “Biarpun aku memberitahu kamu, kamu langsung tidak akan percaya. 68  Lagipun, jika aku bertanya kepada kamu, kamu tidak akan menjawab. 69  Namun, mulai sekarang, Anak manusia akan duduk di sebelah kanan Tuhan yang berkuasa.” 70  Mereka semua berkata, “Jadi, adakah kamu Anak Tuhan?” Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah Anak Tuhan.” 71  Mereka berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi? Kita telah mendengarnya daripada mulutnya sendiri.”

Nota Kaki

Atau “kira-kira sejauh lemparan batu.”