Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Lukas 17:1-37

RANGKA KANDUNGAN

  • Tersandung, memaafkan, beriman (1-6)

  • Hamba yang tidak layak dipuji (7-10)

  • 10 pesakit kusta disembuhkan (11-19)

  • Kedatangan Kerajaan Tuhan (20-37)

    • Kerajaan Tuhan “dalam kalangan kamu” (21)

    • ‘Ingat akan isteri Lot’ (32)

17  Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Hal-hal yang menyebabkan orang tersandung pasti akan datang. Tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku!  Lebih baik jika batu kisar digantungkan pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung.  Perhatikanlah diri kamu. Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia, dan jika dia bertaubat, maafkanlah dia.  Meskipun dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan kembali kepada kamu tujuh kali lalu berkata, ‘Aku menyesal,’ kamu mesti memaafkan dia.”  Para rasul berkata kepada Tuan Yesus, “Berilah kami lebih banyak iman.”  Maka Tuan Yesus berkata, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok kertau ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut!’ dan pokok itu akan menurut perintah kamu.  “Katakan kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menjaga ternakan. Setelah hamba itu pulang dari ladang, siapakah antara kamu yang akan berkata kepadanya, ‘Cepatlah datang dan makanlah di meja’?  Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Sediakanlah makan malam aku dan pakailah apron lalu layanilah aku sehingga aku habis makan dan minum. Selepas itu, barulah kamu boleh makan dan minum.’  Memandangkan apa yang dilakukan oleh hamba itu merupakan kewajipannya, tuannya tidak akan mengucapkan terima kasih kepadanya. 10  Dalam cara yang sama, selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’” 11  Semasa dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus lalu di Samaria dan Galilea. 12  Apabila dia masuk ke dalam sebuah pekan, 10 orang pesakit kusta melihatnya dari jauh. Mereka berdiri 13  dan berseru dengan suara yang lantang, “Yesus, Guru, kasihanilah kami!” 14  Apabila dia nampak mereka, dia berkata, “Pergilah berjumpa dengan para imam.” Ketika mereka berjalan ke sana, mereka sembuh. 15  Sebaik sahaja seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik dan memuliakan Tuhan dengan suara yang lantang. 16  Lelaki itu bersujud di depan kaki Yesus dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia orang Samaria. 17  Yesus berkata, “Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain? 18  Tidak adakah orang lain yang kembali untuk memuliakan Tuhan selain daripada lelaki bangsa asing ini?” 19  Maka dia berkata kepada lelaki itu, “Bangunlah dan pulanglah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.” 20  Orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Kerajaan Tuhan akan datang?” Dia menjawab, “Kedatangan Kerajaan Tuhan tidak ketara bagi semua orang. 21  Orang juga tidak akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau, ‘Lihatlah di situ!’ kerana Kerajaan Tuhan ada dalam kalangan kamu.” 22  Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Harinya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat masanya Anak manusia ada bersama kamu, tetapi kamu tidak akan melihat masa itu. 23  Orang akan berkata, ‘Lihatlah di situ!’ atau, ‘Lihatlah di sini!’ Janganlah kamu keluar atau mengikut mereka. 24  Sepertimana kilat memancar dari satu hujung langit ke hujung langit yang satu lagi, begitulah keadaannya pada hari Anak manusia menampakkan diri. 25  Tetapi dia harus mengalami banyak penderitaan terlebih dahulu, dan dia tidak akan diterima oleh generasi ini. 26  Sepertimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya pada zaman Anak manusia: 27  Orang makan dan minum; lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu Banjir melanda dan membinasakan mereka semua. 28  Begitu juga keadaannya pada zaman Lot: Orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. 29  Tetapi pada hari Lot keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua. 30  Demikianlah keadaannya pada hari Anak manusia menampakkan diri. 31  “Pada hari itu, orang yang berada di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga, orang yang berada di ladang, janganlah balik untuk mengambil barang yang telah ditinggalkan. 32  Ingatlah akan isteri Lot. 33  Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya akan menyelamatkan nyawanya. 34  Aku berkata kepada kamu: Pada malam itu, dua orang akan berada di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. 35  Dua orang wanita akan menggiling gandum bersama-sama. Seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi akan ditinggalkan.” 36 * —— 37  Murid-muridnya bertanya, “Tuan, di manakah hal ini akan berlaku?” Dia menjawab, “Di mana ada bangkai, di situlah burung helang akan berkumpul.”

Nota Kaki

Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.