Lukas 16:1-31

  • Perumpamaan tentang hamba yang tidak jujur (1-13)

    • ‘Setia dalam perkara kecil dan besar’ (10)

  • Hukum Musa dan Kerajaan Tuhan (14-18)

  • Perumpamaan tentang lelaki kaya dan Lazarus (19-31)

16  Kemudian dia juga berkata kepada murid-muridnya, “Seorang lelaki kaya mempunyai seorang hamba yang menguruskan rumah tangganya. Hamba itu dituduh membazirkan harta tuannya.  Jadi orang kaya itu memanggilnya lalu berkata, ‘Aku hendak memecatmu kerana aku mendengar laporan buruk mengenaimu. Serahkanlah laporan kewanganmu.’  Hamba itu berkata kepada dirinya, ‘Tuanku tidak mahu aku menjadi pengurus rumah tangganya lagi. Apakah yang harus aku lakukan? Aku tidak cukup kuat untuk mencangkul, dan aku malu untuk meminta sedekah.  Oh ya! Aku tahu apa yang dapat aku lakukan supaya apabila aku diberhentikan kerja, orang lain akan menyambut aku ke dalam rumah mereka.’  Oleh itu, dia memanggil setiap orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada tuanku?’  Orang itu menjawab, ‘Dua ribu dua ratus liter* minyak zaitun.’ Hamba itu pun berkata, ‘Ambillah surat perjanjian pinjamanmu. Cepatlah duduk dan tulis 1,100 liter.’  Kemudian, dia berkata kepada seorang lagi, ‘Berapakah hutang kamu pula?’ Orang itu berkata, ‘Seratus guni gandum.’* Hamba itu pun berkata, ‘Ambillah surat perjanjian pinjamanmu dan tulis 80 guni.’  Walaupun hamba itu tidak jujur, dia dipuji oleh tuannya kerana dia bertindak dengan bijaksana. Aku berkata demikian kerana orang dalam sistem dunia ini* lebih bijaksana daripada orang yang hidup dalam terang semasa berurusan dengan orang dalam generasi mereka.  “Aku juga berkata kepada kamu: Gunakanlah kekayaan daripada dunia jahat ini untuk mendapat sahabat. Dengan demikian, apabila kekayaan kamu lenyap, sahabat-sahabat itu akan menyambut kamu ke dalam tempat kediaman yang abadi. 10  Orang yang setia dalam perkara yang kecil juga akan setia dalam perkara yang besar, dan orang yang tidak jujur dalam hal yang kecil juga tidak akan jujur dalam hal yang besar. 11  Oleh itu, jika kamu tidak setia semasa menggunakan kekayaan dalam dunia jahat ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan sejati kepada kamu? 12  Jika kamu tidak setia semasa menguruskan harta benda orang lain, siapakah yang akan memberi kamu ganjaran yang disediakan untuk kamu? 13  Seorang hamba tidak dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang dan memandang hina pada yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” 14  Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Farisi mula mencemuhnya kerana mereka cinta akan wang. 15  Maka dia berkata kepada mereka, “Di hadapan orang, kamu mengatakan bahawa kamu berbuat benar, tetapi Tuhan mengetahui isi hati kamu. Sebenarnya apa yang dianggap penting di mata manusia menjijikkan di mata Tuhan. 16  “Hukum dan Ajaran Para Nabi telah dikhabarkan sehingga zaman Yohanes. Selepas itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan telah dikhabarkan, dan segala macam orang kini berusaha dengan gigih untuk memasukinya. 17  Sesungguhnya, biarpun langit dan bumi lenyap, huruf yang terkecil atau satu titik pun dalam Hukum tidak akan lenyap sehingga semua yang tertulis berlaku. 18  “Jika sesiapa menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia telah berzina. Sesiapa yang mengahwini seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya juga telah berzina. 19  “Ada seorang lelaki kaya yang menikmati hidup yang serba mewah setiap hari. Dia biasa memakai pakaian yang diperbuat daripada kain linen ungu yang mahal. 20  Seorang pengemis yang bernama Lazarus sering dibawa ke pintu pagar rumah lelaki kaya itu. Badannya penuh dengan bisul, 21  dan dia berharap dapat mengisi perutnya dengan sisa makanan yang jatuh dari meja lelaki kaya itu. Bahkan anjing pun datang dan menjilat bisulnya. 22  Akhirnya, pengemis itu meninggal dan dibawa oleh malaikat-malaikat ke sisi Abraham.* “Lelaki kaya itu juga meninggal dan dikebumikan. 23  Semasa dia menderita di Kuburan,* dia mendongak dan melihat Abraham dari jauh bersama Lazarus di sisinya.* 24  Maka lelaki kaya itu berseru, ‘Bapa Abraham, kasihanilah aku. Utuslah Lazarus untuk mencelup hujung jarinya ke dalam air dan menyejukkan lidahku, kerana aku sangat sengsara dalam api yang berkobar ini.’ 25  Namun Abraham berkata, ‘Anakku, ingatlah bahawa kamu sudah menikmati segala yang baik semasa kamu masih hidup, tetapi Lazarus pula ditimpa pelbagai kesusahan. Sekarang, dia mendapat kelegaan di sini, tetapi kamu pula sedang menderita. 26  Selain itu, ada jurang dalam yang memisahkan kita, jadi orang dari sini tidak dapat pergi kepada kamu, dan orang dari situ juga tidak dapat datang kepada kami.’ 27  Lelaki kaya itu pun berkata, ‘Jika begitu bapa, utuslah Lazarus ke rumah ayahku, 28  supaya dia dapat memberikan kesaksian yang menyeluruh kepada lima orang adik-beradikku. Dengan ini mereka tidak akan menderita di sini seperti aku.’ 29  Tetapi Abraham berkata, ‘Mereka boleh mendengar perintah dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi.’ 30  Lelaki kaya itu berkata, ‘Tidak, bapa Abraham. Jika ada orang mati yang bangkit dan pergi kepada mereka, mereka akan bertaubat.’ 31  Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengar perintah dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi, mereka juga tidak akan percaya biarpun ada orang bangkit daripada kematian.’”

Nota Kaki

Harfiah, “100 bath.” Satu bath bersamaan kira-kira 22 L.
Berat satu guni gandum ialah 170 kg.
Atau “zaman ini.” Lihat Daftar Kata, “Sistem dunia.”
Harfiah, “dada Abraham,” maksudnya dia mendapat perkenan istimewa.
Atau “Hades,” iaitu, kuburan umum umat manusia. Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “dadanya,” maksudnya dia mendapat perkenan istimewa.