Lukas 14:1-35

  • Lelaki yang tubuhnya bengkak disembuhkan pada hari Sabat (1-6)

  • Jadilah tetamu yang rendah hati (7-11)

  • Jemput orang yang tidak mampu (12-14)

  • Perumpamaan tentang tetamu yang berdalih (15-24)

  • Erti menjadi murid Yesus (25-33)

  • Garam hilang rasa masinnya (34, 35)

14  Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang pemimpin orang Farisi. Orang di situ memerhatikan Yesus dengan teliti.  Di hadapannya terdapat seorang lelaki yang menderita sejenis penyakit yang menyebabkan tubuhnya bengkak.  Maka Yesus berkata kepada orang Farisi dan mereka yang arif dalam Hukum, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?”  Tetapi mereka diam sahaja. Oleh itu Yesus menyentuh lelaki itu dan menyembuhkannya lalu menyuruhnya pergi.  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Jika anak lelaki atau lembu jantan kamu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak akan segera menariknya keluar?”  Mereka tidak dapat menjawabnya.  Apabila Yesus melihat bahawa tetamu di situ suka memilih tempat yang terbaik, dia menceritakan satu perumpamaan kepada mereka:  “Semasa orang lain menjemput kamu ke jamuan perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Barangkali seseorang yang lebih penting daripada kamu juga dijemput,  dan orang yang menjemput kamu berdua akan datang dan berkata kepada kamu, ‘Biarlah dia yang duduk di tempat ini.’ Kemudian, dengan malu kamu terpaksa duduk di tempat yang paling rendah. 10  Sebaliknya, apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling rendah. Apabila orang yang menjemput kamu itu datang, dia akan berkata, ‘Kawan, marilah ke tempat yang lebih baik.’ Pada masa itu, kamu akan diberikan penghormatan di hadapan semua tetamu lain. 11  Hal ini demikian kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” 12  Seterusnya Yesus juga berkata kepada orang yang mengundangnya, “Semasa kamu mengadakan jamuan tengah hari atau jamuan malam, janganlah menjemput sahabat, adik-beradik, sanak saudara, atau jiran yang kaya. Mungkin mereka juga akan menjemput kamu kelak, dan dengan demikian kamu sudah menerima balasan kamu. 13  Sebaliknya, semasa kamu mengadakan jamuan, jemputlah orang miskin, orang tempang, orang buta, dan orang lain yang kurang upaya. 14  Berbahagialah kamu setelah berbuat demikian, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalas kamu. Kamu akan menerima balasan kamu semasa orang yang melakukan apa yang benar dibangkitkan.” 15  Salah seorang tetamu di situ mendengar kata-katanya lalu berkata, “Berbahagialah orang yang menikmati jamuan di dalam Kerajaan Tuhan.” 16  Yesus berkata kepadanya, “Ada seorang lelaki yang mengadakan jamuan malam yang besar dan dia telah menjemput banyak orang. 17  Apabila masa jamuan itu hampir tiba, dia mengutus hambanya untuk berkata kepada orang yang dijemput, ‘Datanglah, semuanya sudah siap.’ 18  Tetapi mereka semua mula memberikan alasan. Yang pertama berkata, ‘Aku sudah membeli sebidang tanah dan hendak melihatnya. Maaf, aku tidak dapat datang.’ 19  Seorang lagi berkata, ‘Aku telah membeli 10 ekor lembu dan hendak memeriksa lembu-lembu itu. Maaf, aku tidak dapat datang.’ 20  Ada juga yang berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin. Itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’ 21  Hamba itu pun pulang dan melaporkan hal itu kepada tuannya. Tuan rumah itu naik marah dan berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan utama dan lorong kecil di kota. Bawalah orang miskin, orang buta, orang tempang, dan orang lain yang kurang upaya ke sini.’ 22  Selepas hamba itu pulang, dia berkata, ‘Perintah tuan sudah hamba laksanakan. Namun, masih ada tempat kosong.’ 23  Tuannya pun berkata, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota. Desaklah orang di situ untuk datang supaya rumahku penuh dengan tetamu. 24  Aku berkata kepada kamu: Tiada seorang pun daripada semua orang yang dijemput pada mulanya akan makan di jamuan malamku.’” 25  Sekumpulan besar orang sedang berjalan dengan Yesus. Dia berpaling lalu berkata kepada mereka, 26  “Sesiapa yang datang kepadaku mesti mengasihi aku lebih daripada* bapa, ibu, isteri, anak, adik-beradik, dan bahkan diri sendiri. Jika tidak, dia tidak boleh menjadi muridku. 27  Sesiapa yang tidak memikul tiang seksaannya* dan terus mengikut aku tidak boleh menjadi muridku. 28  Misalnya, siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak? 29  Jika tidak, dia mungkin meletakkan asasnya tetapi tidak dapat menyiapkan kerja pembinaannya. Kemudian, semua orang yang melihat hal ini akan mentertawakannya 30  dan berkata, ‘Orang ini mula membina tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya.’ 31  Fikirkan lagi: Jika seorang raja akan berperang dengan seorang raja yang lain, tidakkah raja itu akan duduk dan berbincang dengan para penasihatnya terlebih dahulu untuk melihat sama ada 10,000 orang askarnya dapat melawan 20,000 orang askar yang akan menyerangnya? 32  Jika dia tahu bahawa dia tidak dapat menang, dia akan mengutus duta-dutanya untuk minta berdamai semasa pihak musuh masih jauh. 33  Dalam cara yang sama, ingatlah bahawa kamu tidak boleh menjadi muridku selagi kamu tidak meninggalkan semua harta kamu. 34  “Garam memang baik. Tetapi jika garam hilang rasa masinnya, apakah yang akan digunakan untuk memulihkan rasanya? 35  Memandangkan garam itu tidak sesuai untuk dicampurkan dengan tanah atau baja, orang akan membuangnya. Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”

Nota Kaki

Harfiah, “membenci,” maksudnya “kurang mengasihi.”
Lihat Daftar Kata.