Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Lukas 12:1-59

RANGKA KANDUNGAN

  • Ragi orang Farisi (1-3)

  • Takutlah akan Tuhan, bukan manusia (4-7)

  • Mengaku diri sebagai murid Kristus (8-12)

  • Perumpamaan tentang lelaki kaya yang bodoh (13-21)

  • Jangan khuatir lagi (22-34)

    • Kawanan kecil (32)

  • Berjaga-jaga (35-40)

  • Hamba yang setia; hamba yang tidak setia (41-48)

  • Bukan kedamaian, tetapi perpecahan (49-53)

  • Perlu memahami apa yang berlaku (54-56)

  • Menyelesaikan pertikaian (57-59)

12  Pada masa itu, beribu-ribu orang telah berkumpul. Jumlah mereka begitu banyak sehingga mereka terpijak kaki satu sama lain. Mula-mula, Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi, iaitu sikap mereka yang bermuka dua.  Apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan didedahkan, dan apa sahaja yang dirahsiakan akan diketahui.  Maka, apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengari di hadapan orang ramai. Apa yang kamu bisikkan dalam bilik yang tertutup akan diumumkan dari bumbung rumah.  Sahabat-sahabatku, aku berkata kepada kamu: Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi selepas itu tidak dapat melakukan apa-apa lagi.  Aku akan menunjukkan siapa yang mesti kamu takuti: Takutlah akan Dia yang dapat membunuh kamu dan selepas itu mempunyai kuasa untuk membuang kamu ke dalam Gehena.* Ya, aku berkata kepada kamu: Dialah yang mesti kamu takuti.  Bukankah lima ekor burung pipit dijual dengan harga dua mata wang yang kecil nilainya?* Meskipun demikian, tidak seekor pun dilupakan oleh Tuhan.  Sebenarnya, bahkan semua rambut yang ada di kepala kamu sudah dihitung. Jadi janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.  “Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang mengaku dirinya sebagai muridku di hadapan umum, Anak manusia pun akan mengakui orang itu sebagai muridnya di hadapan malaikat-malaikat Tuhan.  Tetapi sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia di hadapan malaikat-malaikat Tuhan. 10  Sesiapa yang mengucapkan kata-kata yang menentang Anak manusia akan diampuni, tetapi sesiapa yang menghina daya aktif Tuhan tidak akan diampuni. 11  Semasa kamu dibawa ke perhimpunan awam* dan dihadapkan kepada para pemerintah dan pihak berkuasa, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu hendak membela diri. 12  Pada waktu itu juga, daya aktif Tuhan akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.” 13  Kemudian, salah seorang dalam kalangan orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudaraku memberikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepadaku.” 14  Yesus berkata kepadanya, “Siapakah yang melantik aku untuk menghakimi hal ini atau untuk membahagikan harta antara kamu berdua?” 15  Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan. Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.” 16  Kemudian Yesus menceritakan satu perumpamaan kepada mereka: “Tanah seorang lelaki yang kaya menghasilkan banyak tuaian. 17  Jadi, dia mula berfikir, ‘Sekarang aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan hasil tuaianku. Apakah yang harus aku lakukan?’ 18  Maka dia berkata, ‘Inilah yang akan aku lakukan: Aku akan merobohkan gudang-gudangku dan membina gudang-gudang yang lebih besar, supaya aku dapat mengumpulkan semua gandum dan hartaku di situ. 19  Aku akan berkata kepada diriku, “Aku sudah mengumpulkan banyak harta yang dapat dinikmati untuk bertahun-tahun. Sekarang aku boleh bersenang-lenang, makan, minum, dan berseronok.”’ 20  Tetapi Tuhan berfirman kepadanya, ‘Hai orang yang tidak munasabah, malam ini engkau akan kehilangan nyawamu. Jadi siapakah yang akan mendapat apa yang sudah engkau simpan?’ 21  Itulah yang akan terjadi kepada orang yang menyimpan harta untuk diri sendiri tetapi tidak kaya di mata Tuhan.” 22  Kemudian dia berkata kepada murid-muridnya, “Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, tentang apa yang akan kamu makan, dan jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, tentang apa yang akan kamu pakai, 23  kerana nyawa lebih berharga daripada makanan dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. 24  Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai benih, menuai, atau memiliki gudang mahupun jelapang. Namun Tuhan memberi burung-burung itu makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung? 25  Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit dengan berasa khuatir? 26  Jika perkara sekecil itu pun tidak dapat kamu lakukan, mengapakah kamu khuatir tentang perkara-perkara lain? 27  Perhatikan bagaimana bunga-bunga tumbuh. Bunga-bunga tidak bekerja atau menenun pakaian. Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu. 28  Mengapakah iman kamu begitu lemah? Jika tumbuh-tumbuhan di padang yang ada hari ini lalu esoknya dibuang ke dalam api pun diberikan pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan. 29  Jadi jangan asyik berfikir tentang apa yang akan kamu makan dan apa yang akan kamu minum, dan jangan lagi terlalu khuatir. 30  Semua perkara ini asyik dikejar oleh orang dalam dunia ini. Tetapi Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini. 31  Oleh itu, teruslah mengutamakan Kerajaan-Nya, dan perkara-perkara itu akan diberikan kepada kamu. 32  “Hai kawanan kecil, janganlah takut, kerana Bapa kamu sudah membuat keputusan untuk memberi kamu Kerajaan-Nya. 33  Juallah harta milik kamu, dan buatlah kebajikan. Dapatkanlah dompet yang tidak akan rosak, iaitu harta di syurga yang tidak akan habis. Di situ pencuri tidak dapat menghampiri harta kamu dan gegat tidak dapat merosakkannya. 34  Hal ini demikian kerana di mana harta kamu, di situ juga hati kamu. 35  “Hendaklah kamu mengikat pinggang* dan memastikan pelita kamu dinyalakan. 36  Jadilah seperti hamba yang sedang menunggu tuan mereka pulang dari majlis perkahwinan. Apabila tuan mereka tiba dan mengetuk pintu, mereka dapat membuka pintu dengan serta-merta. 37  Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika tuan mereka datang dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga! Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan bersiap sedia,* menyuruh mereka duduk dan makan di meja, serta melayani mereka. 38  Alangkah bahagianya mereka jika dia datang pada lewat malam,* bahkan selepas tengah malam,* dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga! 39  Tetapi ketahuilah hal ini: Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia tidak akan membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya. 40  Oleh itu, pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” 41  Kemudian Petrus berkata, “Tuan, adakah perumpamaan ini ditujukan kepada kami sahaja atau kepada semua orang juga?” 42  Lalu Tuan Yesus menjawab, “Siapakah sebenarnya hamba* yang setia dan bijaksana, yang akan dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan terus memberi mereka bekalan makanan yang mencukupi pada masa yang sesuai? 43  Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! 44  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya. 45  Tetapi jika hamba itu berkata dalam hatinya, ‘Masih lama lagi sebelum tuanku balik,’ lalu dia mula memukul hamba lelaki dan hamba perempuan yang lain, dan makan minum serta menjadi mabuk, 46  tuan kepada hamba itu akan datang pada hari yang tidak dijangkakannya dan pada masa yang tidak diketahuinya. Kemudian, tuannya akan menjatuhkan hukuman yang berat sekali ke atasnya dan membuangnya bersama orang yang tidak setia. 47  Hamba itu memahami kehendak tuannya tetapi tidak bersedia untuk menyambut kedatangannya atau bertindak selaras dengan kehendaknya. Oleh itu, dia akan disebat banyak kali. 48  Tetapi ada hamba yang melakukan kesalahan kerana tidak memahami kehendak tuannya. Oleh itu, walaupun dia harus disebat, dia akan disebat beberapa kali sahaja. Sesungguhnya, semakin banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada seseorang, semakin besar kewajipan yang dipikulnya. Semakin banyak tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang, semakin tinggi harapan orang lain terhadapnya. 49  “Aku datang untuk menyalakan api di bumi. Api itu sudah dinyalakan, jadi tiada apa-apa lagi yang aku inginkan. 50  Sememangnya, ada pembaptisan yang perlu aku terima, dan aku sungguh resah selagi hal itu belum berakhir! 51  Adakah kamu menyangka bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian? Tidak, sebaliknya aku datang untuk membawa perpecahan. 52  Mulai sekarang, akan berlakunya perpecahan antara lima orang dalam sebuah keluarga, tiga lawan dua dan dua lawan tiga. 53  Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa, ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu, ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.” 54  Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan terbentuk di bahagian barat, kamu segera berkata, ‘Ribut akan melanda,’ dan hal itu terjadi. 55  Apabila kamu melihat bahawa angin selatan sedang bertiup, kamu berkata, ‘Cuaca hari ini tentu sangat panas,’ dan hal itu berlaku. 56  Hai orang yang bermuka dua, kamu tahu cara untuk menjelaskan keadaan cuaca dengan melihat langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami apa yang sedang berlaku sekarang? 57  Mengapakah kamu tidak turut menilai bagi diri sendiri apa yang benar di mata Tuhan? 58  Misalnya, semasa kamu dan orang yang mendakwa kamu pergi berjumpa dengan pihak berkuasa, berusahalah untuk menyelesaikan pertikaian antara kamu berdua semasa dalam perjalanan, supaya orang yang mendakwa kamu itu tidak menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim menyerahkan kamu kepada pengawal untuk dipenjarakan. 59  Ketahuilah bahawa kamu akan terus meringkuk dalam penjara selagi kamu tidak membayar hutang kamu sampai duit syiling kecil yang terakhir.”*

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “dua asarion.”
Atau “rumah ibadat.”
Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.
Harfiah, “Dia akan mengikat pinggangnya.”
Kira-kira pukul sembilan malam sehingga tengah malam.
Kira-kira tengah malam sehingga kira-kira pukul tiga pagi.
Atau “pengurus rumah tangga.”
Harfiah, “lepton yang terakhir.”