Lukas 1:1-80

  • Kepada Teofilus (1-4)

  • Kelahiran Yohanes Pembaptis dinubuatkan Gabriel (5-25)

  • Kelahiran Yesus dinubuatkan Gabriel (26-38)

  • Maria melawat Elisabet (39-45)

  • Maria menyanjung Yehuwa (46-56)

  • Yohanes lahir dan diberi nama (57-66)

  • Nubuat Zakharia (67-80)

1  Tuan Teofilus yang terhormat, ramai orang telah berusaha untuk mengumpulkan dan menuliskan maklumat mengenai hal-hal yang kita percayai dengan sepenuh hati.  Catatan mereka selaras dengan keterangan daripada orang yang menyaksikan hal-hal itu dari mula lagi, dan selaras dengan keterangan daripada mereka yang mengkhabarkan firman Tuhan.  Tuan Teofilus yang terhormat, aku juga telah menyelidiki semua hal itu dari permulaannya dengan cermat. Maka aku berazam untuk menuliskan semua maklumat yang tepat itu mengikut urutannya kepada tuan,  supaya tuan mengetahui bahawa ajaran-ajaran yang tuan dengar sesungguhnya benar.  Pada zaman Herodes,* raja Yudea, terdapat seorang imam bernama Zakharia yang berkhidmat dalam kumpulan Abia.* Isterinya Elisabet berasal daripada keluarga Harun.  Mereka berdua melakukan apa yang benar di mata Tuhan. Kehidupan mereka murni dan sejajar dengan semua perintah dan hukum Yehuwa.  Namun, mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan mereka berdua sudah lanjut usia.  Semasa giliran kumpulan Zakharia untuk berkhidmat sebagai imam di hadapan Tuhan tiba,  Zakharia telah dipilih mengikut adat istiadat para imam untuk masuk ke dalam Rumah Yehuwa dan mempersembahkan kemenyan. 10  Orang ramai sedang berdoa di luar semasa kemenyan dipersembahkan. 11  Ketika itu, malaikat Yehuwa menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah yang digunakan untuk membakar kemenyan. 12  Zakharia berasa gelisah dan diselubungi rasa takut semasa melihat malaikat itu. 13  Namun malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia. Rayuanmu sudah didengar oleh Tuhan, dan isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah kamu menamakannya Yohanes. 14  Kamu akan bergembira dan sangat bersukacita. Ramai orang akan berasa senang hati atas kelahirannya, 15  kerana dia akan menjadi orang yang penting dalam pandangan Yehuwa. Namun, dia sama sekali tidak boleh minum wain atau minuman keras. Dia akan dipenuhi daya aktif Tuhan bahkan sebelum dia dilahirkan.* 16  Dia akan menyebabkan ramai orang Israel kembali kepada Yehuwa, Tuhan mereka. 17  Dia juga akan berjalan di hadapan-Nya dengan semangat dan kuasa seperti Elia. Dia akan mengubah hati bapa menjadi seperti hati anak* dan mengubah orang yang derhaka agar mereka menerima kebijaksanaan orang yang melakukan apa yang benar. Dengan ini, dia akan mengumpulkan suatu umat yang sudah bersiap sedia untuk Yehuwa.” 18  Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mempercayai hal ini? Aku sudah tua, dan isteriku pun sudah lanjut usia.” 19  Malaikat itu menjawab, “Aku ialah Gabriel, yang sentiasa berada di hadirat Tuhan. Aku telah diutus untuk mengisytiharkan berita baik ini kepadamu. 20  Kata-kataku akan menjadi kenyataan pada masa yang ditentukan. Namun, memandangkan kamu tidak percaya pada kata-kataku, kamu akan menjadi bisu. Kamu tidak dapat bersuara sehingga perkara-perkara ini berlaku.” 21  Sementara itu, orang ramai sedang menunggu Zakharia di luar. Mereka berasa hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. 22  Semasa dia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Maka mereka membuat kesimpulan bahawa dia baru sahaja nampak sesuatu yang luar biasa* di dalam Rumah Tuhan. Memandangkan dia tidak dapat bersuara, dia asyik memberikan isyarat kepada mereka dengan tangannya. 23  Apabila tempoh masa untuk khidmat sucinya berakhir, dia pun pulang ke rumahnya. 24  Beberapa lama kemudian, isterinya Elisabet mengandung. Oleh itu, Elisabet tidak keluar dari rumah selama lima bulan. Dia berkata, 25  “Sekarang, Yehuwa telah memperhatikan aku. Dia melakukan perkara ini untukku supaya aku tidak lagi berasa terhina di hadapan orang.” 26  Semasa dia mengandung enam bulan, Tuhan telah mengutus malaikat Gabriel ke sebuah kota di Galilea yang bernama Nasaret 27  untuk menemui seorang anak dara yang bernama Maria. Dia sudah bertunang dengan seorang lelaki daripada keturunan Daud yang bernama Yusuf. 28  Malaikat itu masuk ke dalam rumahnya lalu berkata, “Salam sejahtera, hai kamu yang sangat diperkenankan Tuhan. Yehuwa menyertaimu.” 29  Maria berasa tidak tenteram ketika mendengar kata-katanya dan tertanya-tanya maksud salam itu. 30  Malaikat itu pun berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria. Tuhan berkenan kepadamu. 31  Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kamu harus menamakannya Yesus. 32  Dia akan menjadi agung dan digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi. Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya. 33  Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya, dan Kerajaannya tidak akan berkesudahan.” 34  Tetapi Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Aku masih dara.” 35  Malaikat itu menjawab, “Daya aktif Tuhan akan datang ke atasmu, dan kuasa Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci, Anak Tuhan. 36  Lihatlah Elisabet, salah seorang sanak saudaramu! Walaupun dia sudah tua dan dikatakan mandul, dia sudah mengandung enam bulan. 37  Semua yang diisytiharkan oleh Tuhan pasti terjadi.”* 38  Kemudian Maria berkata, “Aku hamba perempuan Yehuwa! Semoga apa yang kamu isytiharkan berlaku ke atas diriku.” Malaikat itu pun meninggalkan Maria. 39  Pada masa itu juga, Maria berangkat dan bergegas ke sebuah kota di Yehuda yang terletak di kawasan pergunungan. 40  Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberikan salam kepada Elisabet. 41  Sebaik sahaja Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam rahimnya melonjak. Elisabet dipenuhi daya aktif Tuhan 42  dan berseru dengan suara lantang, “Diberkatilah kamu antara semua wanita, dan diberkatilah anak dalam rahimmu! 43  Alangkah besarnya penghormatanku kerana ibu Tuanku telah datang untuk melawatku! 44  Lihatlah! Sebaik sahaja salammu sampai ke telingaku, anak dalam rahimku melonjak dengan riang. 45  Berbahagialah wanita yang percaya, kerana semua yang difirmankan oleh Yehuwa kepadanya akan terjadi.” 46  Kemudian Maria berkata, “Jiwaku menyanjung tinggi Yehuwa, 47  dan hatiku berlimpah-limpah dengan rasa sukacita kerana Tuhan, Penyelamatku. 48  Dia sudah memperhatikan keadaan hamba perempuan-Nya yang hina. Lihatlah! Mulai sekarang, semua generasi akan mengatakan bahawa aku berbahagia, 49  kerana Tuhan yang berkuasa telah melakukan perkara yang menakjubkan bagiku. Nama-Nya suci, 50  dan dari generasi ke generasi, orang yang takut kepada-Nya akan menerima belas kasihan-Nya. 51  Dia telah bertindak dengan tangan-Nya yang perkasa; Dia menyelerakkan mereka yang mempunyai hati yang angkuh. 52  Dia menurunkan orang yang berkuasa dari takhta, dan Dia meninggikan orang yang hina; 53  Dia memuaskan orang yang lapar dengan apa yang baik, dan Dia mengusir orang kaya agar mereka pergi dengan tangan kosong. 54  Dia membantu Israel, hamba-Nya, untuk menunjukkan bahawa Dia ingat akan janji-Nya untuk berbelas kasihan 55  kepada Abraham dan benihnya* buat selama-lamanya. Itulah yang difirmankan oleh-Nya kepada nenek moyang kita.” 56  Maria tinggal bersama Elisabet kira-kira tiga bulan. Selepas itu dia pulang ke rumahnya. 57  Apabila tiba masanya untuk Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. 58  Jiran dan saudara-maranya bersukacita bersamanya kerana mereka mendengar bahawa Yehuwa telah melimpahi Elisabet dengan belas kasihan-Nya. 59  Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunat anak kecil itu. Mereka ingin menamakan anak itu Zakharia, menurut nama bapanya. 60  Tetapi ibu bayi itu berkata, “Tidak! Dia akan dinamakan Yohanes.” 61  Mereka berkata, “Tiada seorang pun dalam kalangan saudara-maramu yang mempunyai nama ini.” 62  Kemudian mereka menggunakan isyarat tangan untuk bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. 63  Dia meminta sekeping papan lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua berasa kagum. 64  Pada detik itu juga, Zakharia dapat bertutur semula.* Dia mula bersuara dan memuji Tuhan. 65  Semua jiran mereka berasa takut, dan semua perkara itu menjadi buah mulut di seluruh kawasan pergunungan Yudea. 66  Semua orang yang mendengarnya menyimpan hal itu dalam hati mereka dan berkata, “Selepas anak ini membesar, apakah yang akan dilakukan olehnya?” Hal ini demikian kerana kuasa Yehuwa sememangnya menyertai anak itu. 67  Kemudian, Zakharia, iaitu bapa kepada anak itu, dipenuhi daya aktif Tuhan lalu menyatakan nubuat ini, 68  “Terpujilah Yehuwa, Tuhan Israel, kerana Dia berbelas kasihan terhadap umat-Nya dan menyelamatkan mereka. 69  Dia telah membangkitkan seorang penyelamat yang perkasa daripada keturunan Daud, hamba-Nya, 70  tepat seperti yang difirmankan-Nya menerusi mulut nabi-nabi suci dahulukala,  71  untuk menyelamatkan kita daripada musuh dan daripada tangan semua orang yang membenci kita, 72  untuk menunjukkan belas kasihan-Nya demi nenek moyang kita, dan untuk mengingati perjanjian-Nya yang suci, 73  iaitu sumpah-Nya kepada Abraham, nenek moyang kita. 74  Selepas Dia menyelamatkan kita daripada tangan musuh, Dia akan memberi kita penghormatan untuk menjalankan khidmat suci kepada-Nya tanpa rasa gentar, 75  supaya kita tetap setia dan melakukan apa yang benar di mata-Nya sepanjang hayat kita. 76  Tetapi mengenaimu, hai anakku, kamu akan dipanggil nabi Tuhan Yang Maha Tinggi. Kamu akan berjalan di hadapan Yehuwa untuk menyediakan jalan bagi-Nya. 77  Kamu akan memberi umat Tuhan pengetahuan bahawa Dia akan menyelamatkan mereka dengan mengampunkan dosa mereka, 78  kerana Tuhan kita sangat berbelas kasihan. Kerana belas kasihan ini, kita akan melihat cahaya dari syurga, yang bagaikan cahaya semasa fajar menyingsing. 79  Cahaya itu akan menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayangan maut, dan membimbing kita agar kita berjalan mengikut haluan yang damai.” 80  Anak itu semakin membesar dan kerohaniannya menjadi semakin teguh. Dia terus hidup di padang gurun sehingga tibanya masa dia menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada orang Israel.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Atau “kumpulan imam daripada keturunan Abia.”
Atau “sejak dia berada di dalam rahim ibunya.”
Atau “membuat hati bapa berbalik kepada anak-anak mereka.”
Atau “mendapat suatu penglihatan.”
Atau “Tiada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”
Atau “keturunannya.”
Atau “mulutnya terbuka, dan ikatan pada lidahnya terurai.”