Kisah 3:1-26

  • Pengemis lumpuh disembuhkan (1-10)

  • Petrus berucap di Serambi Salomo (11-26)

    • ‘Pemulihan semua perkara’ (21)

    • Nabi seperti Musa (22)

3  Kira-kira pada jam tiga petang,* iaitu masa untuk berdoa, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan.  Berhampiran dengan pintu Rumah Tuhan yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir. Setiap hari, dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang memasuki Rumah Tuhan.  Semasa dia nampak Petrus dan Yohanes hendak masuk ke dalam Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka.  Tetapi Petrus dan Yohanes memandangnya lalu berkata, “Pandanglah kami.”  Maka, lelaki itu menatap mereka dan berharap untuk mendapat sesuatu daripada mereka.  Namun, Petrus berkata, “Aku tidak mempunyai perak mahupun emas. Tetapi apa yang aku miliki akan aku berikan kepadamu: Dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu, berjalanlah!”  Kemudian, Petrus memegang tangan kanannya dan membantu dia berdiri. Pada waktu itu juga, kaki dan pergelangan kaki lelaki itu menjadi kuat,  lalu dia segera berdiri dan mula berjalan. Ketika dia berjalan bersama mereka ke dalam Rumah Tuhan, dia melompat-lompat sambil memuji Tuhan.  Semua orang di situ melihat lelaki itu berjalan dan memuji Tuhan. 10  Apabila mereka sedar bahawa lelaki itulah yang selalu duduk meminta sedekah di pintu Rumah Tuhan yang disebut Pintu Indah, mereka berasa sangat hairan dan kagum dengan apa yang telah berlaku terhadapnya. 11  Ketika lelaki itu masih memegang tangan Petrus dan Yohanes, semua orang di situ bergegas ke arah mereka di Serambi* Salomo. Semua orang berasa sangat kagum dengan apa yang berlaku. 12  Apabila Petrus melihat hal ini, dia berkata kepada mereka, “Orang Israel, mengapakah kamu begitu kagum dengan perkara ini? Mengapakah kamu memandang kami seolah-olah kami menggunakan kuasa sendiri untuk membuat orang ini berjalan? Adakah kamu menyangka bahawa kami dapat berbuat demikian kerana kami mengabdikan diri kepada Tuhan? 13  Tuhan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, iaitu Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya, Yesus. Dialah lelaki yang telah kamu sangkal di hadapan Pilatus, dan kamu telah menyerahkannya kepada musuh meskipun Pilatus memutuskan untuk membebaskannya. 14  Sememangnya, kamu menolak lelaki yang suci dan yang melakukan apa yang benar itu, dan meminta Pilatus membebaskan lelaki lain yang merupakan seorang pembunuh. 15  Kamu membunuh Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan, tetapi Tuhan telah membangkitkannya daripada kematian, dan kami menjadi saksi kepada hal itu. 16  Lelaki lumpuh yang kamu lihat dan kenal ini telah menjadi kuat kerana nama Yesus, dan kerana kami beriman kepada namanya. Iman yang kami peroleh melalui Yesuslah yang telah menyembuhkan lelaki ini dengan sepenuhnya di hadapan kamu semua. 17  Saudara-saudara, aku tahu bahawa seperti para pemimpin kamu, kamu tidak sedar akan apa yang telah kamu lakukan. 18  Melalui semua nabi, Tuhan telah menubuatkan bahawa Kristus akan menderita. Demikianlah perkara yang dinubuatkan itu menjadi kenyataan. 19  “Maka, bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu 20  dan Dia akan mengutus Yesus, iaitu Kristus yang telah dilantik-Nya untuk kamu. 21  Yesus akan tinggal di syurga* sehingga masanya tiba untuk memulihkan semua perkara yang telah difirmankan oleh Tuhan menerusi mulut nabi-nabi suci dahulukala. 22  Sebenarnya Musa pernah berkata, ‘Tuhanmu Yehuwa akan melantik seorang nabi seperti aku daripada kalangan saudara-saudara kamu. Kamu mesti mendengar apa sahaja yang dikatakannya kepada kamu. 23  Sesungguhnya, sesiapa yang tidak mendengarkan Nabi itu akan dihapuskan sama sekali.’ 24  Sebenarnya, semua nabi, bermula dari nabi Samuel dan nabi-nabi yang datang selepasnya, juga telah memaklumkan apa yang berlaku pada zaman ini. 25  Kamu ialah anak para nabi dan pewaris kepada perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan nenek moyang kamu. Tuhan berfirman kepada Abraham, ‘Melalui benihmu,* semua keluarga di bumi akan diberkati.’ 26  Setelah Tuhan melantik Hamba-Nya, Dia mengutusnya kepada kamu terlebih dahulu untuk memberkati kamu semua, dengan membantu setiap seorang daripada kamu supaya berpaling daripada perbuatan kamu yang jahat.”

Nota Kaki

Harfiah, “jam yang kesembilan.”
Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.
Atau “akan ditahan di syurga.”
Atau “keturunanmu.”