Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kisah 25:1-27

RANGKA KANDUNGAN

  • Paulus membela diri di hadapan Festus (1-12)

    • “Aku minta diadili oleh Kaisar!” (11)

  • Festus meminta nasihat Raja Agripa (13-22)

  • Paulus di hadapan Agripa (23-27)

25  Tiga hari setelah Festus tiba dan mula berkuasa di daerah Yudea, dia bertolak dari Kaisarea dan pergi ke Yerusalem.  Para ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi di situ pergi kepadanya untuk mengemukakan dakwaan terhadap Paulus. Mereka merayu kepada Festus  supaya menghantar Paulus ke Yerusalem. Mereka sudah merancang untuk melancarkan serangan hendap terhadap Paulus dan membunuhnya semasa dia dalam perjalanan ke situ.  Tetapi Festus berkata bahawa Paulus harus ditahan di Kaisarea dan dia sendiri akan kembali ke sana tidak lama lagi.  Dia berkata, “Biarlah mereka yang mempunyai kuasa dalam kalangan kamu pergi bersama aku untuk menuduh dia jika dia memang telah berbuat salah.”  Festus tinggal di Yerusalem kurang daripada 10 hari, lalu dia kembali ke Kaisarea. Pada hari berikutnya, dia duduk di tempat pengadilan dan memberikan perintah agar Paulus dibawa masuk.  Apabila Paulus masuk, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula melemparkan banyak tuduhan berat terhadapnya. Namun, mereka tidak dapat mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhan mereka.  Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Aku tidak melakukan apa-apa dosa terhadap Hukum orang Yahudi, terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar.”  Festus ingin mengambil hati orang Yahudi. Maka dia berkata kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem dan dihakimi di hadapanku mengenai perkara-perkara ini?” 10  Paulus menjawab, “Aku sedang berdiri di hadapan tempat pengadilan Kaisar, dan di sinilah aku seharusnya dihakimi. Tuan sendiri tahu bahawa aku tidak bersalah terhadap orang Yahudi. 11  Jika aku benar-benar berbuat salah dan melakukan sesuatu yang menyebabkan aku harus dihukum mati, aku tidak akan merayu supaya dibebaskan daripada hukuman mati. Namun, jika tuduhan mereka tidak berasas, tidak ada sesiapa pun yang berhak untuk menyerahkan aku kepada mereka. Aku minta diadili oleh Kaisar!” 12  Setelah bercakap dengan para penasihatnya, Festus berkata, “Kamu minta diadili oleh Kaisar, maka kamu akan pergi kepada Kaisar.” 13  Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Bernike melawat Festus di Kaisarea untuk mengucapkan tahniah kepadanya. 14  Mereka tinggal di situ buat suatu jangka waktu. Maka, Festus membentangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Terdapat seorang lelaki yang ditinggalkan sebagai tahanan oleh Feliks. 15  Semasa patik berada di Yerusalem, para ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi telah mengemukakan tuduhan terhadapnya dan memohon patik untuk menghukumnya. 16  Tetapi patik memberitahu mereka bahawa orang Roma biasanya tidak akan menyerahkan seseorang untuk dihukum sebelum orang itu diberikan peluang untuk membela diri di hadapan para pendakwanya. 17  Oleh itu, apabila mereka tiba di sini, tanpa membuang masa, patik duduk di tempat pengadilan pada keesokan harinya dan memerintahkan agar lelaki itu dibawa masuk. 18  Para pendakwa pun berdiri untuk mengemukakan tuduhan mereka. Tetapi selepas patik mendengarkan mereka, patik mendapati bahawa dia tidak melakukan apa-apa yang jahat. 19  Pertikaian mereka hanyalah tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang lelaki yang bernama Yesus. Walaupun lelaki itu sudah mati, Paulus asyik berkata bahawa dia hidup. 20  Patik tidak pasti bagaimana patik harus menyelesaikan perbalahan ini. Maka patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili sehubungan dengan hal-hal ini atau tidak. 21  Tetapi Paulus memohon supaya dia ditahan sehingga keputusan diberikan oleh Kaisar. Oleh itu, patik memerintahkan agar dia ditahan sehingga patik menghantarnya kepada Kaisar.” 22  Agripa berkata kepada Festus, “Beta ingin mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu.” Festus menjawab, “Esok tuanku akan mendengar apa yang dikatakannya.” 23  Maka, pada keesokan harinya, Raja Agripa dan Bernike datang dengan penuh kemegahan. Mereka memasuki tempat pengadilan bersama-sama para ketua pasukan tentera dan orang terkemuka di kota itu. Kemudian, Festus memerintahkan agar Paulus dibawa masuk. 24  Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Lihatlah orang ini! Semua orang Yahudi, baik di Yerusalem mahupun di sini, telah memohon kepada patik untuk membunuh dia. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. 25  Tetapi patik menyedari bahawa dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati. Dia sudah merayu agar diadili oleh Kaisar, dan patik telah membuat keputusan untuk menghantarnya kepada baginda. 26  Namun, patik tidak mempunyai fakta yang mencukupi tentangnya untuk dinyatakan dalam surat patik kepada Kaisar.* Itulah sebabnya patik menghadapkannya kepada semua orang di sini, terutamanya kepada tuanku Raja Agripa. Dengan itu, setelah perbicaraan ini diadakan, ada sesuatu yang dapat patik tulis dalam surat patik, 27  kerana menurut pendapat patik, adalah tidak wajar untuk menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan-tuduhan yang dilontarkan terhadapnya.”

Nota Kaki

Harfiah, “Tuan.”