Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kisah 19:1-41

RANGKA KANDUNGAN

  • Paulus di Efesus; orang dibaptis semula (1-7)

  • Paulus mengajar (8-10)

  • Firman Tuhan tersebar meskipun ada roh jahat (11-20)

  • Rusuhan di Efesus (21-41)

19  Semasa Apolos berada di Korintus, Paulus mengadakan perjalanan melalui kawasan pedalaman lalu tiba di Efesus. Di sana dia bertemu dengan beberapa orang murid Yesus.  Dia bertanya kepada mereka, “Semasa kamu menjadi pengikut Yesus, adakah kamu menerima daya aktif Tuhan?” Mereka menjawab, “Tidak. Kami tidak pernah mendengar tentang daya aktif Tuhan.”  Maka dia bertanya, “Jika begitu, kamu dibaptis dengan pembaptisan apa?” Mereka menjawab, “Dengan pembaptisan Yohanes.”  Paulus berkata, “Pembaptisan Yohanes dilakukan sebagai lambang bahawa orang sudah bertaubat, dan dia menyuruh mereka untuk percaya kepada Yesus, iaitu orang yang datang selepas dia.”  Setelah mendengar kata-kata itu, mereka dibaptis atas nama Tuan Yesus.  Apabila Paulus meletakkan tangannya ke atas mereka, mereka menerima daya aktif Tuhan dan mula bercakap dalam bahasa-bahasa lain serta bernubuat.  Jumlah lelaki di situ kira-kira 12 orang.  Selama tiga bulan, Paulus masuk ke dalam rumah ibadat dan bercakap dengan berani. Dia menyampaikan ceramah tentang Kerajaan Tuhan dan berbincang* dengan orang untuk meyakinkan mereka.  Tetapi beberapa orang dalam kalangan mereka degil dan enggan percaya. Mereka bahkan bercakap buruk tentang Haluan Tuan di hadapan orang ramai. Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka dan membawa murid-murid Yesus dengannya. Tiap-tiap hari, Paulus menyampaikan ceramah di dewan sekolah Tiranus. 10  Paulus berbuat demikian selama dua tahun sehingga semua penduduk di daerah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan. 11  Tuhan terus melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat melalui Paulus. 12  Bahkan ada orang membawa sapu tangan dan kain yang pernah menyentuh badan Paulus kepada orang yang sakit, lalu penyakit mereka hilang, dan roh-roh jahat juga keluar. 13  Namun, sesetengah orang Yahudi yang mengembara ke merata tempat untuk mengusir roh-roh jahat juga mencuba menggunakan nama Tuan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada orang yang dirasuk, “Dengan nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus, aku memerintahkan kamu untuk keluar.” 14  Ada seorang ketua imam Yahudi yang bernama Skewa. Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki yang berbuat demikian. 15  Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?” 16  Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menerkam mereka dan mengalahkan mereka seorang demi seorang, sehingga mereka melarikan diri dari rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka-luka. 17  Semua orang Yahudi dan orang Yunani yang tinggal di Efesus menjadi takut selepas mengetahui peristiwa itu, dan nama Tuan Yesus terus diagungkan. 18  Ramai orang yang sudah menjadi pengikut Yesus datang dan mengakui perbuatan jahat mereka secara terbuka. 19  Tambahan lagi, sebilangan besar orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakarnya di hadapan semua orang. Selepas menghitung nilai buku-buku itu, mereka mendapati bahawa nilainya 50,000 keping wang perak. 20  Maka, dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa. 21  Selepas hal-hal ini berlaku, Paulus membuat keputusan untuk pergi ke Yerusalem setelah dia pergi ke Makedonia dan Akhaya. Dia berkata, “Selepas aku pergi ke Yerusalem, aku mesti pergi ke Roma juga.” 22  Paulus mengutus dua orang pembantunya, iaitu Timotius dan Erastus, ke Makedonia tetapi dia sendiri tinggal di daerah Asia buat suatu jangka waktu. 23  Pada masa itu timbullah kekacauan yang besar sehubungan dengan Haluan Tuan. 24  Ada seorang tukang perak yang bernama Demetrius. Dia membuat model-model kuil dewi Artemis daripada perak dan membawa keuntungan yang besar kepada rakan-rakan sekerjanya. 25  Dia mengumpulkan mereka dan tukang perak lain lalu berkata, “Sahabat-sahabatku, kamu semua tahu bahawa kekayaan kita datang daripada perniagaan ini. 26  Kamu sendiri sudah melihat dan mendengar bahawa Paulus berjaya meyakinkan banyak orang di Efesus dan di hampir seluruh daerah Asia untuk percaya bahawa tuhan-tuhan yang dibuat dengan tangan bukanlah tuhan yang sebenar. 27  Hal itu berbahaya kerana perniagaan kita akan dikutuk. Bukan itu sahaja, kuil dewi Artemis yang agung akan dipandang hina, dan dewi Artemis yang disembah oleh semua orang di daerah Asia dan di seluruh dunia akan kehilangan kemuliaannya.” 28  Selepas mendengar hal-hal itu, mereka menjadi sangat marah dan mula menjerit, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!” 29  Maka tercetuslah rusuhan di dalam kota itu. Para perusuh sama-sama bergegas ke dalam teater sambil mengheret Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya. 30  Paulus sendiri mahu masuk ke dalam teater itu dan menghadap orang ramai, tetapi murid-murid Yesus tidak mengizinkannya. 31  Bahkan beberapa orang yang menganjurkan perayaan dan pertandingan, yang bersahabat dengan Paulus, mengirim pesanan kepadanya dan merayunya supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan memasuki teater itu. 32  Sebenarnya, keadaan di perhimpunan itu sangat kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada pula yang berteriak begitu. Kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka berkumpul di situ. 33  Ada dalam kalangan orang ramai yang membawa Aleksander keluar dan orang Yahudi menolak dia ke depan. Lalu Aleksander memberikan isyarat dengan tangannya kerana ingin membela diri di hadapan orang ramai. 34  Tetapi apabila mereka nampak bahawa dia ialah orang Yahudi, mereka sama-sama berteriak selama kira-kira dua jam, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!” 35  Akhirnya pentadbir kota itu berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, “Hai penduduk Efesus! Siapakah dalam kalangan umat manusia yang tidak tahu bahawa Efesus ialah kota yang menjaga kuil Artemis yang agung? Siapakah yang tidak tahu bahawa Efesus ialah kota yang menjaga berhala yang jatuh dari langit? 36  Memandangkan hal-hal ini tidak dapat dinafikan, kamu patut bertenang dan tidak bertindak secara terburu-buru. 37  Kamu telah membawa kedua-dua orang ini ke sini walaupun mereka tidak merompak kuil atau menghina dewi kita. 38  Jika Demetrius dan tukang-tukang perak mahu menuduh orang, mereka boleh membawa orang itu untuk menghadap para Gabenor daerah* pada hari-hari perbicaraan mahkamah. Pada masa itu, biarlah mereka mendakwa satu sama lain. 39  Namun, jika ada apa-apa lagi yang kamu kehendaki, hal itu mesti diputuskan dalam perhimpunan rasmi. 40  Peristiwa yang berlaku hari ini sangat berbahaya kepada kita, kerana kita boleh didakwa mencetuskan pemberontakan. Kita tidak mempunyai alasan untuk menunjukkan mengapa kumpulan perusuh ini menyebabkan huru-hara.” 41  Setelah berkata demikian, pentadbir kota itu menyuruh mereka pulang.

Nota Kaki

Atau “menaakul.”
Lihat Daftar Kata.