Kisah 13:1-52

  • Barnabas dan Saulus dipilih dan diutus (1-3)

  • Menginjil di Siprus (4-12)

  • Paulus berucap di Antiokhia, Pisidia (13-41)

  • Perintah untuk menginjil kepada bangsa-bangsa lain (42-52)

13  Pada masa itu, ada beberapa orang nabi dan guru dalam sidang tempatan di Antiokhia. Mereka ialah Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam,* Lukius dari Kirene, Saulus, dan Menahem yang dididik bersama pemerintah daerah yang bernama Herodes.  Semasa mereka beribadat kepada Yehuwa dan berpuasa, daya aktif Tuhan berkata, “Pilihlah Barnabas dan Saulus khusus untuk aku, kerana ada kerja yang sudah aku tetapkan untuk mereka.”  Setelah mereka berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saulus lalu mengutus mereka.  Maka mereka pun pergi ke Seleukia kerana diutus oleh daya aktif Tuhan. Dari sana mereka belayar ke Pulau Siprus.  Setibanya di Salamis, mereka mula mengkhabarkan firman Tuhan di rumah-rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes juga pergi bersama untuk membantu mereka.  Selepas menjelajah seluruh pulau itu, mereka sampai di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang lelaki Yahudi yang bernama Bar-Yesus. Dia seorang ahli sihir dan nabi palsu.  Dia bekerja untuk Sergius Paulus, seorang lelaki cerdik yang merupakan Gabenor daerah* itu. Gabenor itu memanggil Barnabas dan Saulus datang kepadanya kerana dia benar-benar mahu mendengar firman Tuhan.  Tetapi Elimas,* ahli sihir itu, mula menentang mereka dan mencuba menghalang Gabenor daerah itu daripada percaya kepada Tuan Yesus. (Nama Elimas bermaksud “ahli sihir.”)  Saulus, yang juga dipanggil Paulus, dipenuhi daya aktif Tuhan. Dia menatap ahli sihir itu 10  dan berkata, “Hai kamu yang penuh dengan segala jenis tipu daya dan kejahatan. Kamu anak Iblis dan musuh kepada segala sesuatu yang benar! Mengapakah kamu tidak berhenti memutarbelitkan haluan Yehuwa yang benar? 11  Lihatlah! Tangan Yehuwa akan menghukum kamu. Kamu akan menjadi buta dan tidak dapat melihat cahaya matahari buat suatu jangka waktu.” Pada saat itu juga, kabus tebal dan kegelapan menimpanya. Dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang untuk menuntunnya. 12  Setelah Gabenor daerah itu melihat apa yang berlaku, dia mula percaya kerana dia sangat mengagumi ajaran Yehuwa. 13  Kemudian Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos dan tiba di Perga di Pamfilia. Tetapi Yohanes meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem. 14  Dari Perga, mereka meneruskan perjalanan dan tiba di Antiokhia yang terletak di Pisidia. Pada hari Sabat, mereka masuk ke dalam rumah ibadat lalu duduk di situ. 15  Setelah Hukum dan Ajaran Para Nabi selesai dibaca di hadapan umum, ketua-ketua rumah ibadat mengutus orang untuk berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, jika kamu ada kata-kata galakan, beritahulah semua orang di sini.” 16  Maka Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangannya dan berkata, “Hai orang Israel dan kamu yang takut kepada Tuhan. Dengarlah! 17  Tuhan orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan meninggikan mereka semasa mereka tinggal sebagai orang asing di tanah Mesir. Tuhan membawa mereka keluar dari Mesir dengan tangan-Nya yang berkuasa. 18  Dia bersabar terhadap mereka selama kira-kira 40 tahun di padang belantara. 19  Selepas Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan, Dia membahagikan negeri itu dan memberikannya kepada mereka sebagai warisan. 20  Semua itu berlaku selama kira-kira 450 tahun. “Selepas itu, Dia memberi mereka hakim-hakim sehingga zaman nabi Samuel. 21  Tetapi mereka kemudiannya menuntut seorang raja, dan Tuhan memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama 40 tahun. 22  Setelah Tuhan menyingkirkan Saul, Dia memilih Daud sebagai raja. Mengenai Daud, Tuhan memberikan kesaksian dengan berfirman, ‘Daud anak Isai ialah seorang lelaki yang menyenangkan hati-Ku. Dia akan melakukan segala kehendak-Ku.’ 23  Sesuai dengan janji-Nya, Tuhan telah memberi bangsa Israel seorang penyelamat daripada benih* Daud, iaitu Yesus. 24  Sebelum Yesus tiba, Yohanes mengumumkan kepada semua orang Israel bahawa mereka perlu dibaptis sebagai lambang mereka sudah bertaubat. 25  Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia sering berkata, ‘Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan dia. Tetapi lihatlah! Ada seseorang yang akan datang selepas aku, dan aku tidak layak untuk membuka tali kasutnya.’ 26  “Saudara-saudara daripada keturunan Abraham dan kamu semua yang takut kepada Tuhan, berita penyelamatan ini sudah disampaikan kepada kita. 27  Penduduk dan para pemerintah kota Yerusalem tidak menerimanya. Tetapi semasa mereka menghakiminya, terjadilah apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi, yang dibacakan dengan suara yang lantang pada setiap hari Sabat. 28  Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa alasan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, mereka menuntut supaya Pilatus menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. 29  Setelah mereka melaksanakan semua yang tertulis tentang dia, mereka menurunkan dia daripada tiang* dan meletakkannya dalam sebuah makam. 30  Tetapi Tuhan membangkitkannya daripada kematian, 31  dan buat suatu jangka waktu, dia menampakkan diri kepada mereka yang pernah menyertainya dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang merekalah yang memberikan kesaksian tentangnya kepada orang ramai. 32  “Jadi kami sedang memberitakan kepada kamu berita baik tentang janji yang diberikan kepada nenek moyang kita. 33  Dengan membangkitkan Yesus, Tuhan telah menunaikan janji itu dengan sepenuhnya kepada kita, iaitu keturunan mereka. Hal ini tepat seperti yang tertulis dalam mazmur yang kedua, ‘Kamulah anak-Ku, dan hari ini, Aku menjadi bapamu.’ 34  Tuhan telah membangkitkan dia daripada kematian dan dia tidak lagi memiliki tubuh yang akan reput. Tuhan mengesahkan hal ini semasa Dia berfirman, ‘Kasih setia yang Aku janjikan kepada Daud itu dapat dipercayai, dan Aku akan menunjukkan kasih setia itu kepada kamu.’ 35  Sebuah mazmur yang lain juga menyatakan, ‘Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia untuk reput.’ 36  Daud melakukan kehendak Tuhan sepanjang hayatnya. Selepas Daud tidur dalam kematian, dia dimakamkan bersama nenek moyangnya dan tubuhnya memang reput. 37  Sebaliknya, Yesus telah dibangkitkan oleh Tuhan dan tubuhnya tidak reput. 38  “Oleh itu, saudara-saudara, aku memberitakan kepada kamu bahawa Tuhan akan mengampunkan dosa kamu melalui lelaki ini. 39  Hukum Musa tidak dapat menghapuskan kesalahan kamu. Tetapi melalui lelaki ini, sesiapa sahaja yang percaya akan dinyatakan tidak bersalah. 40  Oleh itu, berwaspadalah supaya kata-kata berikut yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi tidak menimpa kamu: 41  ‘Perhatikanlah, hai orang yang suka menghina! Kamu akan hairan dan kamu akan lenyap. Hal ini demikian kerana walaupun ada orang yang memberitahu kamu secara terperinci apa yang akan Aku lakukan pada zaman kamu, kamu pasti tidak akan percaya.’” 42  Ketika Paulus dan Barnabas keluar dari situ, orang ramai merayu mereka untuk bercakap tentang perkara-perkara itu pada hari Sabat yang berikutnya. 43  Maka selepas perhimpunan di rumah ibadat itu bersurai, banyak orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang menyembah Tuhan mengikut Paulus dan Barnabas. Paulus dan Barnabas bercakap kepada mereka dan menasihati mereka untuk terus berpaut pada kebaikan hati Tuhan yang unggul. 44  Pada hari Sabat yang berikutnya, hampir semua orang di kota itu berkumpul untuk mendengar firman Yehuwa. 45  Apabila orang Yahudi melihat begitu ramai orang datang, mereka berasa sangat cemburu. Mereka mula menentang kata-kata Paulus, dan dengan itu mereka menghina Tuhan. 46  Tetapi dengan berani, Paulus dan Barnabas berkata kepada mereka, “Firman Tuhan memang perlu disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi memandangkan kamu menolak firman Tuhan, kamu menjadikan diri sendiri tidak layak untuk menerima kehidupan kekal. Jadi kami akan pergi kepada bangsa-bangsa lain 47  kerana inilah perintah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kami, ‘Aku sudah melantik engkau untuk menjadi cahaya bagi bangsa-bangsa lain, dan engkau akan membawa penyelamatan sampai ke hujung bumi.’” 48  Ketika orang daripada bangsa-bangsa lain mendengar hal ini, mereka bersukacita dan memuji firman Yehuwa. Semua orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal mula menjadi pengikut Yesus. 49  Firman Yehuwa tersebar ke seluruh kawasan itu. 50  Tetapi orang Yahudi menghasut para pemimpin kota dan wanita-wanita terkemuka yang takut akan Tuhan sehingga mereka mula menganiaya dan membuang Paulus dan Barnabas ke luar kota. 51  Maka Paulus dan Barnabas mengebaskan debu daripada kaki mereka sebagai amaran lalu pergi ke Ikonium. 52  Murid-murid Yesus terus dipenuhi rasa sukacita dan daya aktif Tuhan.

Nota Kaki

Harfiah, “Niger.”
Lihat Daftar Kata.
Elimas ialah Bar-Yesus yang disebut di ayat 6.
Atau “keturunan.”
Atau “pokok.”