Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kisah 1:1-26

RANGKA KANDUNGAN

  • Salam kepada Teofilus (1-5)

  • Menjadi saksi sampai ke hujung bumi (6-8)

  • Yesus naik ke syurga (9-11)

  • Murid-murid berkumpul (12-14)

  • Matias dipilih sebagai pengganti Yudas (15-26)

1  Teofilus yang dikasihi, di dalam catatanku yang pertama, aku sudah menerangkan semua perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus,  sehingga pada hari dia diangkat ke syurga. Sebelum itu, di bawah bimbingan daya aktif Tuhan, dia telah memberikan arahan kepada para rasul yang dipilihnya.  Setelah dia menderita, dia memberikan banyak bukti yang kukuh kepada mereka untuk menunjukkan bahawa dia sudah hidup. Selama 40 hari, dia banyak kali menampakkan diri kepada mereka dan bercakap tentang Kerajaan Tuhan.  Semasa dia berjumpa dengan mereka, dia memberikan arahan berikut: “Jangan tinggalkan Yerusalem, tetapi teruslah menantikan pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa, iaitu pemberian yang pernah kamu dengar daripadaku,  kerana Yohanes membaptis dengan air, tetapi dalam beberapa hari lagi, kamu semua akan dibaptis dengan daya aktif Tuhan.”  Semasa mereka berkumpul, mereka bertanya, “Tuan, adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?”  Yesus berkata kepada mereka, “Hanya Bapa yang berhak menentukan masa dan waktunya. Kamu tidak perlu mengetahuinya.  Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila daya aktif Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.”  Selepas Yesus mengucapkan kata-kata ini, dia diangkat ke syurga di depan mata mereka. Kemudian, sekepul awan menutupinya dan mereka tidak dapat melihatnya lagi. 10  Semasa mereka memandang Yesus diangkat ke langit, tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian putih berdiri di sisi mereka 11  dan berkata, “Orang Galilea, mengapakah kamu berdiri sambil memandang ke langit? Yesus, yang telah diangkat ke langit, akan datang dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat semasa dia naik ke langit.” 12  Selepas itu, mereka bertolak dari Gunung Zaitun dan pulang ke Yerusalem. Jarak gunung itu dari Yerusalem kira-kira satu kilometer* sahaja. 13  Setibanya di sana, mereka naik ke bilik di tingkat atas, tempat mereka menginap. Mereka terdiri daripada Petrus, Yohanes, Yakobus, Andreas, Filipus, Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon yang bersemangat, dan Yudas anak Yakobus. 14  Dengan sehati, mereka berdoa dengan tekun. Beberapa orang wanita, adik-adik lelaki Yesus, dan Maria ibu Yesus juga menyertai mereka. 15  Pada suatu hari, semasa mereka berkumpul untuk berdoa, Petrus berdiri di tengah-tengah saudara-saudaranya (jumlah orang yang berkumpul di situ kira-kira 120 orang) dan berkata, 16  “Saudara-saudara, kata-kata yang diucapkan oleh daya aktif Tuhan melalui Daud perlu berlaku. Dia bercakap tentang Yudas, yang mengetuai sekumpulan orang untuk menangkap Yesus. 17  Yudas dahulunya salah seorang daripada kita dan dia telah berkhidmat bersama kita. 18  (Lelaki ini membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan apa yang salah. Dia jatuh terjunam dan perutnya terbelah lalu isi perutnya terburai. 19  Hal ini diketahui semua penduduk Yerusalem, dan itulah sebabnya tanah tersebut dipanggil Akeldama dalam bahasa mereka, yang bererti “Tanah Darah.”) 20  Ada tertulis dalam buku Mazmur, ‘Biarlah tempat tinggalnya menjadi kosong, dan janganlah tempat itu didiami orang,’ dan ‘Biarlah orang lain mengambil alih tugasnya sebagai penyelia.’ 21  Maka, Yudas harus digantikan dengan salah seorang lelaki yang ada bersama kita sepanjang masa Tuan Yesus berada dalam kalangan kita, 22  iaitu sejak Yesus dibaptis oleh Yohanes sehingga hari Yesus diangkat ke syurga. Dia juga haruslah seseorang yang nampak Yesus setelah dia dibangkitkan.” 23  Jadi mereka mencadangkan dua orang: Seorang ialah Yusuf yang dipanggil Barsabas, yang juga dipanggil Yustus, dan seorang lagi ialah Matias. 24  Kemudian mereka berdoa, “Ya Yehuwa, Engkaulah yang mengetahui isi hati semua orang. Tunjukkanlah siapa antara dua orang lelaki ini yang telah Engkau pilih 25  untuk menerima tugas suci dan tanggungjawab sebagai seorang rasul. Yudas telah mengabaikan tugas dan tanggungjawab ini agar dia dapat mengikut haluan sendiri.” 26  Kemudian mereka membuang undi dan Matiaslah yang terpilih. Maka dia menjadi seorang rasul, seperti 11 orang rasul yang lain.

Nota Kaki

Yunani, “sabbatou . . . odon,” jarak perjalanan yang boleh dibuat oleh orang Yahudi pada hari Sabat.