Ibrani 10:1-39

  • Korban binatang tidak dapat menghapuskan dosa (1-4)

    • Hukum Musa, bayangan (1)

  • Korban Kristus, sekali untuk selama-lamanya (5-18)

  • Jalan baru yang membawa kehidupan (19-25)

    • Jangan abaikan perjumpaan (24, 25)

  • Jangan sengaja berbuat dosa (26-31)

  • Yakin dan beriman agar bertabah hati (32-39)

10  Hukum hanyalah bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang, dan bukannya perkara-perkara itu sendiri. Itulah sebabnya hukum itu tidak mungkin dapat menjadikan orang yang menyembah Tuhan sempurna melalui korban-korban yang sama yang terus dipersembahkan dari tahun ke tahun.  Andai kata korban-korban itu dapat menyempurnakan orang yang menyembah* Tuhan, korban pun tidak perlu dipersembahkan lagi kerana setelah mereka dibersihkan, mereka tidak lagi berasa bersalah.  Tetapi melalui korban-korban ini, mereka diingatkan tentang dosa-dosa mereka tahun demi tahun.  Hal ini demikian kerana darah lembu jantan dan darah kambing tidak mungkin dapat menghapuskan dosa.  Itulah sebabnya semasa Kristus datang ke dunia, dia berkata, “‘Engkau tidak menginginkan korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagiku.  Engkau tidak memperkenankan korban bakar dan korban dosa.’  Lalu aku berkata, ‘Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam gulungan kitab tentang diriku.’”  Mula-mula dia berkata, “Engkau tidak menginginkan dan Engkau tidak memperkenankan korban, persembahan, korban bakar, dan korban dosa.” Korban-korban itu dipersembahkan menurut Hukum.  Setelah itu dia berkata, “Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Maka dia menyingkirkan aturan yang pertama agar dia dapat meneguhkan aturan yang kedua. 10  Melalui “kehendak” itu, kita telah disucikan melalui tubuh Yesus Kristus yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya. 11  Selain itu, tiap-tiap hari, setiap imam mengambil tempatnya untuk memberikan khidmat suci dan mempersembahkan korban yang sama berulang kali. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menyingkirkan dosa dengan sepenuhnya. 12  Namun, Yesus mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Dia telah duduk di sebelah kanan Tuhan, 13  dan sejak itu, dia menantikan masanya musuh-musuhnya dijadikan sebagai alas kakinya. 14  Melalui satu korban yang dipersembahkan, dia menyempurnakan orang yang disucikan buat selama-lamanya. 15  Tambahan lagi, daya aktif Tuhan juga telah memberikan kesaksian kepada kita. Mula-mula, daya aktif Tuhan berkata, 16  “‘Selepas masa itu, Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka,’ firman Yehuwa. ‘Aku akan meletakkan hukum-hukum-Ku dalam hati mereka dan Aku akan menuliskannya dalam fikiran mereka.’” 17  Kemudian daya aktif Tuhan berkata, “Aku tidak akan mengingat dosa-dosa dan perbuatan jahat mereka lagi.” 18  Maka jika dosa-dosa dan perbuatan jahat itu diampunkan, korban yang dipersembahkan untuk dosa tidak diperlukan lagi. 19  Oleh itu, saudara-saudara, melalui darah Yesus, kita dapat menggunakan jalan yang menuju ke Bilik Maha Suci dengan berani.* 20  Jalan itu ialah jalan baru yang membawa kehidupan. Yesus telah membuka jalan itu bagi kita dengan menembusi tirai, iaitu tubuhnya sendiri. 21  Oleh sebab kita mempunyai imam yang mulia, yang bertanggungjawab ke atas umat Tuhan, 22  marilah kita menghampiri Tuhan dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, kerana hati kita dan hati nurani kita sudah dibersihkan* dan tubuh kita sudah dimandikan dengan air yang bersih. 23  Marilah kita terus mengisytiharkan harapan kita tanpa goyah, kerana Dia yang berjanji itu setia. 24  Marilah kita memperhatikan* satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. 25  Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat. 26  Jika kita sengaja mengamalkan perbuatan yang berdosa selepas menerima pengetahuan yang tepat tentang kebenaran, tidak ada lagi korban lain yang dapat dipersembahkan bagi dosa-dosa kita. 27  Kita hanya dapat menunggu penghakiman dengan rasa takut dan menunggu kemurkaan Tuhan yang bernyala-nyala, yang akan melahap orang yang menentang Tuhan. 28  Berdasarkan kesaksian dua atau tiga orang, sesiapa yang tidak mengendahkan Hukum Musa akan dihukum mati tanpa belas kasihan. 29  Bagaimana pula dengan orang yang telah menginjak-injak Anak Tuhan dan memandang remeh darah perjanjian yang menyucikannya serta menghina daya aktif Tuhan yang memberikan kebaikan hati yang unggul? Pada pendapat kamu, tidakkah mereka patut menerima hukuman yang lebih berat lagi? 30  Kita tahu bahawa Tuhanlah yang berfirman, “Akulah yang akan membalas dendam, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.” Ada tertulis juga, “Yehuwa akan menghakimi umat-Nya.” 31  Alangkah ngerinya jika kita jatuh ke dalam tangan Tuhan yang hidup! 32  Jangan sekali-kali lupa keadaan kamu pada masa lampau. Pada waktu itu, setelah kamu menerima cahaya daripada Tuhan, kamu berjuang dengan gigih sambil menanggung penderitaan dengan tabah. 33  Ada kalanya kamu dihina dan menghadapi kesengsaraan di hadapan umum.* Ada kalanya kamu menderita bersama-sama mereka yang mengalami hal-hal itu. 34  Kamu bersimpati terhadap mereka yang dipenjarakan, dan kamu tidak kehilangan sukacita apabila harta milik kamu dirampas. Hal itu demikian kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai harta yang lebih baik dan yang berkekalan. 35  Oleh itu, janganlah berhenti bercakap dengan berani* kerana hal ini akan mendatangkan ganjaran yang besar. 36  Kamu memerlukan ketabahan supaya selepas kamu melakukan kehendak Tuhan, kamu boleh menerima apa yang telah dijanjikan. 37  Hal itu demikian kerana ada tertulis, “Hanya sebentar lagi,” dan “dia* yang akan datang akan tiba dan tidak akan terlambat.” 38  “Hamba-Ku yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana imannya,” dan “jika dia berundur ketakutan, Aku tidak akan berkenan kepadanya.” 39  Tetapi kita bukanlah orang yang berundur ketakutan, kerana orang sedemikian akan dimusnahkan. Sebaliknya kita ialah orang yang beriman, kerana nyawa orang sedemikian akan terpelihara.

Nota Kaki

Atau “menjalankan khidmat suci kepada.”
Atau “yakin.”
Harfiah, “direnjis.” Maksudnya direnjis dengan darah Yesus.
Atau “mengambil berat tentang; memberikan perhatian kepada.”
Harfiah, “didedahkan seperti di dalam teater.”
Lihat Daftar Kata.
Mungkin merujuk kepada Tuhan.