Galatia 4:1-31

  • Bukan lagi hamba tetapi anak (1-7)

  • Paulus bimbang akan orang Galatia (8-20)

  • Hagar dan Sara: Dua perjanjian (21-31)

    • Ibu kita, Yerusalem di syurga, bebas (26)

4  Aku mengatakan bahawa selagi seorang pewaris itu masih kanak-kanak, dia tidak berbeza daripada seorang hamba. Biarpun dia ialah tuan ke atas segala perkara,  dia masih berada di bawah pengawasan penjaga-penjaga dan para pengurus rumah tangga, sehingga hari yang sudah ditetapkan oleh bapanya tiba.  Begitu juga, semasa kita masih kanak-kanak, kita diperhamba oleh perkara-perkara asas dalam dunia.  Namun begitu, Tuhan mengutus Anak-Nya pada akhir jangka masa yang ditetapkan. Anak itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah hukum.  Dia diutus untuk membeli dan membebaskan orang yang hidup di bawah hukum, supaya kita dapat menjadi anak angkat Tuhan.  Memandangkan kamu anak-anak Tuhan, Dia telah mengutus daya aktif-Nya yang diberikan kepada Anak-Nya ke dalam hati kita. Daya aktif ini berseru, “Abba,* Bapa!”  Jadi kamu bukan lagi hamba tetapi kamu ialah anak Tuhan. Jika kamu anak Tuhan, kamu juga dijadikan pewaris oleh Tuhan.  Walau bagaimanapun, semasa kamu tidak mengenal Tuhan, kamu menjadi hamba kepada mereka yang sebenarnya bukan tuhan.  Tetapi sekarang kamu sudah mengenal Tuhan, atau lebih tepat lagi, kamu sudah dikenali oleh Tuhan. Jadi, mengapakah kamu kembali kepada perkara-perkara asas yang sia-sia dan tidak berguna? Mengapakah kamu mahu menjadi hamba kepada perkara-perkara itu sekali lagi? 10  Kamu sangat teliti dalam hal merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. 11  Aku bimbang akan kamu, kerana nampaknya usahaku untuk membantu kamu sia-sia sahaja. 12  Saudara-saudara, dahulu aku juga seperti kamu. Maka, aku merayu kepada kamu supaya menjadi seperti aku sekarang. Kamu tidak berbuat salah terhadapku. 13  Tetapi kamu tahu bahawa aku berpeluang untuk mengkhabarkan berita baik kepada kamu buat kali pertama kerana penyakitku. 14  Biarpun keadaan fizikalku merupakan ujian bagi kamu, kamu tidak memandang hina terhadapku atau berasa jijik terhadapku.* Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti menyambut malaikat Tuhan atau menyambut Kristus Yesus. 15  Di manakah kebahagiaan yang pernah kamu miliki? Aku memberikan kesaksian bahawa pada masa itu, jika boleh, kamu tentu akan mencungkil mata kamu dan memberikannya kepadaku. 16  Maka, adakah aku sudah menjadi musuh kamu kerana aku memberitahu kamu kebenaran? 17  Ada orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi hati kamu, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka mahu memisahkan kamu daripada aku supaya kamu mahu mengikut mereka. 18  Walau bagaimanapun, adalah baik jika seseorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenangi hati kamu bagi tujuan yang baik. Adalah baik juga jika hal itu selalu berlaku, dan bukan hanya semasa aku ada bersama kamu. 19  Anak-anakku yang dikasihi, sekali lagi aku harus menderita kesakitan seperti kesakitan yang dialami oleh wanita yang melahirkan anak. Aku harus menderita kerana kamu, sehingga kamu mencerminkan keperibadian Kristus. 20  Aku ingin bersama-sama kamu sekarang dan bercakap kepada kamu dengan cara yang berbeza, kerana kamu sudah membuat aku bingung. 21  Hai kamu yang mahu hidup di bawah hukum, beritahulah aku: Tidakkah kamu mendengar apa yang dinyatakan dalam Hukum? 22  Misalnya, ada tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dilahirkan oleh hamba perempuan dan seorang lagi dilahirkan oleh wanita bebas.* 23  Anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan sebenarnya dilahirkan dalam cara yang biasa, tetapi anak yang dilahirkan oleh wanita bebas* dilahirkan kerana janji Tuhan. 24  Perkara-perkara itu mempunyai erti kiasan.* Wanita-wanita itu melambangkan dua perjanjian. Perjanjian daripada Gunung Sinai ialah Hagar, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai hamba. 25  Hagar melambangkan Gunung Sinai, iaitu sebuah gunung di negeri Arab, dan dia melambangkan Yerusalem sekarang ini, kerana dia sudah diperhamba bersama anak-anaknya. 26  Tetapi Yerusalem di syurga itu bebas, dan dia ialah ibu kita. 27  Seperti yang tertulis, “Bergembiralah, hai wanita mandul yang belum melahirkan anak! Bersoraklah dan berserulah dengan sukacita, hai wanita yang belum mengalami sakit bersalin, kerana bilangan anak-anak wanita yang terabai itu lebih banyak daripada bilangan anak-anak wanita yang bersuami itu.” 28  Saudara-saudara, sama seperti Ishak, kamu ialah anak-anak yang dilahirkan kerana janji Tuhan. 29  Tetapi, seperti yang berlaku dahulu, anak yang dilahirkan dalam cara yang biasa mula menganiaya anak yang dilahirkan daripada daya aktif Tuhan. Demikian juga halnya sekarang. 30  Namun begitu, apakah yang dinyatakan dalam ayat suci? “Usirlah hamba perempuan itu dan anaknya, kerana anak hamba perempuan itu sama sekali tidak akan menjadi pewaris bersama anak wanita bebas* itu.” 31  Oleh itu saudara-saudara, kita bukanlah anak hamba perempuan, tetapi kita anak wanita bebas* itu.

Nota Kaki

Perkataan bahasa Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”
Atau “meludah padaku.”
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Atau “Perkara-perkara itu boleh dianggap sebagai sebuah drama simbolik.”
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.
Iaitu, seorang wanita yang bukan hamba.