Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Filipi 1:1-30

RANGKA KANDUNGAN

  • Salam (1, 2)

  • Syukur kepada Tuhan; doa Paulus (3-11)

  • Kerja penyebaran semakin maju meskipun ditentang (12-20)

  • Hidup demi Kristus, jika mati, hal itu berfaedah (21-26)

  • Berkelakuan seperti orang yang menghargai berita baik (27-30)

1  Surat ini daripada Paulus dan Timotius, hamba kepada Kristus Yesus, dan ditujukan kepada semua umat suci di Filipi yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada para penyelia dan pembantu sidang:  Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.  Aku selalu bersyukur kepada Tuhanku semasa aku teringat akan kamu.  Setiap kali aku merayu kepada Tuhan bagi kamu semua, aku merayu dengan sukacita,  kerana kamu telah menyumbang kepada* penyebaran berita baik sejak hari pertama sehingga sekarang.  Aku yakin akan hal ini: Dia yang memulakan pekerjaan baik dalam kalangan kamu akan melaksanakannya sehingga selesai pada hari Kristus Yesus.  Memang aku patut berfikir sedemikian tentang kamu semua, kerana kamu sentiasa dekat di hatiku. Seperti aku, kamu juga menikmati kebaikan hati yang unggul dengan menyokong aku semasa aku dibelenggu dalam penjara, semasa aku mempertahankan berita baik, dan semasa aku berusaha untuk memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik.  Aku sangat rindu akan kamu semua dan mengasihi kamu dengan kasih yang dimiliki Kristus Yesus. Tuhan boleh menjadi saksiku dalam hal ini.  Aku terus berdoa agar kasih kamu akan semakin bertambah dan disertai dengan pengetahuan yang tepat dan daya pertimbangan yang baik. 10  Aku juga berdoa agar kamu dapat mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting, supaya sehingga pada hari Kristus, kamu tidak bercacat cela dan tidak membuat orang lain tersandung. 11  Selain itu, aku berdoa agar melalui Yesus Kristus, kamu akan berlimpah-limpah dengan buah yang diperkenankan Tuhan, supaya kemuliaan dan pujian diberikan kepada Tuhan. 12  Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa keadaanku sebenarnya telah menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju. 13  Para Pengawal Maharaja dan semua orang yang lain tahu bahawa aku dibelenggu dalam penjara demi Kristus. 14  Oleh sebab aku dibelenggu dalam penjara, kebanyakan saudara yang berkhidmat kepada Tuan kita digalakkan, dan mereka menjadi lebih berani untuk mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut. 15  Memang, ada sesetengah orang yang mengisytiharkan Kristus kerana mereka iri hati dan suka berkelahi, tetapi yang lain melakukannya dengan niat yang baik. 16  Kumpulan yang kedua mengisytiharkan Kristus kerana didorong oleh kasih. Mereka tahu bahawa aku telah dilantik untuk mempertahankan berita baik. 17  Tetapi kumpulan yang pertama mengisytiharkan Kristus kerana mereka suka bertengkar, bukannya kerana mereka berniat baik. Mereka ingin menyusahkan aku semasa aku dibelenggu dalam penjara. 18  Apakah hasilnya? Kristus telah diisytiharkan dengan segala cara, tidak kira orang yang mengisytiharkannya berniat baik atau tidak, dan aku bersukacita kerana hal itu. Sebenarnya aku akan terus bersukacita, 19  kerana aku tahu bahawa melalui doa kamu yang sungguh-sungguh dan melalui sokongan daripada daya aktif Tuhan yang juga diberikan kepada Yesus Kristus, hal ini akhirnya akan membawa penyelamatan kepadaku. 20  Inilah perkara yang aku nantikan dengan sungguh-sungguh, ya, aku berharap agar aku tidak akan sekali-kali berasa malu dan agar aku dapat bercakap dengan berani.* Dengan demikian, tidak kira aku hidup atau mati, Kristus akan diagungkan melalui aku sekarang, sebagaimana dia sentiasa diagungkan dahulu. 21  Bagiku, jika aku hidup, aku hidup demi Kristus, dan jika aku mati, hal itu berfaedah. 22  Jika aku masih hidup di dalam tubuh ini sebagai manusia, kerjaku akan membuahkan lebih banyak hasil. Namun, aku tidak menyatakan yang mana yang akan aku pilih. 23  Antara dua perkara ini, aku tidak tahu mana satu yang harus aku pilih. Aku ingin dibebaskan dan berada bersama Kristus kerana hal itu tentunya jauh lebih baik. 24  Tetapi demi kamu, lebih baik aku tetap hidup di dalam tubuh ini sebagai manusia. 25  Aku yakin akan hal itu, maka aku tahu bahawa aku akan terus hidup dan berada bersama kamu semua, supaya kamu membuat kemajuan dan menikmati sukacita yang berasal daripada iman kamu. 26  Dengan demikian semasa aku hadir dalam kalangan kamu lagi, kamu yang merupakan pengikut Kristus Yesus, akan meraih kegembiraan yang berlimpah-limpah kerana aku. 27  Hendaklah kamu berkelakuan seperti orang* yang menghargai berita baik tentang Kristus. Dengan demikian, sama ada aku datang berjumpa dengan kamu atau tidak,* aku dapat mendengar tentang keadaan kamu dan mengetahui bahawa kamu berdiri teguh dan bersatu dalam fikiran, berjuang dengan sehati sejiwa demi kepercayaan yang berdasarkan berita baik, 28  serta tidak gentar sama sekali akan orang yang menentang kamu. Semua itu membuktikan bahawa mereka akan musnah tetapi kamu akan selamat, dan Tuhanlah yang menjadikan hal ini nyata. 29  Hal ini demikian kerana kamu telah diberikan penghormatan, bukan sahaja untuk beriman kepada Kristus, tetapi juga untuk menderita deminya. 30  Kamu sedang berjuang dalam hal yang sama seperti aku. Perjuanganku ini telah kamu lihat dahulu, dan sekarang kamu mendengar bahawa aku masih berjuang.

Nota Kaki

Atau “kerana kamu mengambil bahagian dalam kerja memajukan.”
Lihat Daftar Kata.
Atau “terus hidup sebagai rakyat.”
Atau “tidak bersama kamu.”