Efesus 5:1-33

  • Percakapan dan perbuatan yang bersih (1-5)

  • Hidup sebagai anak-anak cahaya (6-14)

  • Dipenuhi daya aktif (15-20)

    • Gunakan masa dengan sebaik-baiknya (16)

  • Nasihat kepada suami dan isteri (21-33)

5  Maka ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.  Hendaklah hidup kamu sentiasa disertai kasih, sepertimana Kristus mengasihi kita* dan menyerahkan dirinya bagi kita* sebagai suatu persembahan dan korban yang berbau harum kepada Tuhan.  Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral,* ketamakan, atau setiap jenis kenajisan. Hal ini demikian kerana semua itu tidak wajar bagi orang yang suci.  Selain itu, janganlah menyebut tentang kelakuan yang memalukan, perkara yang bodoh, atau jenaka yang lucah, iaitu hal-hal yang tidak senonoh. Sebaliknya, kamu harus mengucapkan syukur kepada Tuhan.  Kamu sendiri tahu dan sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* orang yang melakukan perkara-perkara yang najis, atau orang yang tamak, iaitu orang yang menyembah berhala, tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.  Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata kosong, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Tuhan terhadap orang yang ingkar.  Maka janganlah kamu ada apa-apa hubungan dengan mereka.  Dahulu kamu pernah hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu hidup dalam cahaya kerana kamu bersatu dengan Tuan kita. Maka, teruslah hidup sebagai anak-anak cahaya,  kerana buah yang dihasilkan oleh cahaya terdiri daripada segala yang baik, yang adil, dan yang benar. 10  Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita. 11  Jangan lagi ikut serta dalam kerja yang tidak berguna, dan yang berkaitan dengan kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. 12  Hal ini demikian kerana perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka dengan diam-diam itu begitu memalukan sehingga tidak dapat disebut. 13  Segala perkara didedahkan* oleh cahaya. Dengan itu segala perkara yang didedahkan menjadi cahaya. 14  Maka ada tertulis, “Bangunlah, hai kamu yang sedang tidur. Bangkitlah daripada kematian dan Kristus akan menyinarimu.” 15  Oleh itu, perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. 16  Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya* kerana kita hidup pada hari-hari yang jahat. 17  Oleh sebab itu, jangan lagi bersikap tidak munasabah, tetapi hendaklah kamu terus memahami kehendak Yehuwa. 18  Selain itu, janganlah kamu menjadi mabuk kerana wain, kerana hal itu akan membawa kepada kehidupan yang tidak bermoral. Sebaliknya, hendaklah kamu sentiasa dipenuhi dengan daya aktif Tuhan. 19  Semasa bercakap kepada satu sama lain,* hendaklah percakapan kamu disertai mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani. Nyanyikanlah pujian kepada Yehuwa dari lubuk hati kamu. 20  Dalam segala hal pun, hendaklah kamu sentiasa mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita melalui nama Tuan kita, Yesus Kristus. 21  Hendaklah rasa takut akan Kristus mendorong kamu untuk taat kepada satu sama lain. 22  Isteri haruslah taat kepada suami sebagaimana mereka taat kepada Tuan kita. 23  Hal ini demikian kerana suami ialah kepala isteri sebagaimana Kristus ialah kepala sidang. Sidang ialah tubuh Kristus, dan Kristus ialah penyelamat tubuh ini. 24  Sebagaimana sidang taat kepada Kristus, isteri juga harus taat kepada suami dalam segala hal. 25  Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi sidang dan menyerahkan dirinya untuk sidang. 26  Dia berbuat demikian supaya dia dapat menyucikan sidang dan membersihkannya dengan air, iaitu firman Tuhan. 27  Dengan itu, sidang menjadi indah dan suci di matanya, tanpa sebarang noda, kedut, atau cacat cela. 28  Begitu juga, suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Seorang lelaki yang mengasihi isterinya juga mengasihi diri sendiri. 29  Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menyayanginya, sebagaimana yang dilakukan oleh Kristus terhadap sidang. 30  Hal ini demikian kerana kita anggota tubuh Kristus. 31  “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama* isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” 32  Rahsia suci ini sangat penting. Aku sedang bercakap tentang Kristus dan sidang. 33  Namun, setiap suami dalam kalangan kamu mesti mengasihi isterinya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, dan isteri pula harus menghormati suaminya dengan mendalam.

Nota Kaki

Atau mungkin, “kamu.”
Atau mungkin, “kamu.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
Lihat Daftar Kata.
Atau “ditegur.”
Harfiah, “Belilah masa.”
Atau mungkin, “kepada diri sendiri.”
Dalam bahasa Yunani, perkataan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.”