Efesus 3:1-21

  • Rahsia suci melibatkan bangsa lain (1-13)

    • Bangsa lain mewarisi apa yang diwarisi Kristus (6)

    • Tujuan kekal Tuhan (11)

  • Doa agar orang Efesus memiliki pemahaman (14-21)

3  Aku, Paulus, dipenjarakan demi Kristus Yesus dan demi kamu semua yang berasal daripada bangsa-bangsa lain.  Tentu kamu sudah mendengar bahawa aku telah diberikan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga, supaya aku menolong kamu meraih manfaat daripada kebaikan hati Tuhan yang unggul.  Sebelum ini aku telah menulis secara singkat bahawa suatu rahsia suci telah disingkapkan kepadaku.  Maka apabila kamu membaca surat ini, kamu akan tahu bahawa aku memahami rahsia suci tentang Kristus.  Rahsia ini tidak dinyatakan kepada generasi-generasi yang lampau, sebagaimana hal itu sekarang disingkapkan oleh Tuhan melalui daya aktif-Nya kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci.  Inilah rahsia itu: Melalui berita baik, orang daripada bangsa-bangsa lain yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus akan mewarisi apa yang diwarisi Kristus, menjadi anggota-anggota dalam tubuh yang sama, dan menerima janji yang sama seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada kami.  Aku menjadi hamba kepada rahsia suci ini kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. Dia memberi aku kurniaan percuma ini melalui kuasa-Nya.  Aku lebih kecil daripada orang yang paling berkedudukan rendah dalam kalangan semua umat suci. Namun kebaikan hati Tuhan yang unggul diberikan kepadaku, agar aku mengisytiharkan berita baik tentang kekayaan Kristus yang tidak terhingga kepada bangsa-bangsa lain,  dan agar aku membantu semua orang melihat pentadbiran yang berkaitan dengan rahsia suci ini. Sejak masa lampau, rahsia suci ini disembunyikan oleh Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. 10  Maka melalui sidang, kerajaan-kerajaan dan penguasa-penguasa di syurga dapat mengetahui kebijaksanaan Tuhan yang kini dinyatakan dalam pelbagai cara. 11  Hal ini selaras dengan tujuan kekal yang ditentukan oleh-Nya sehubungan dengan Kristus Yesus, Tuan kita. 12  Melalui iman kita kepadanya, kita dapat bercakap dengan berani* dan dapat menghadap Tuhan dengan yakin dan tanpa halangan. 13  Oleh itu, janganlah kamu berputus asa disebabkan kesengsaraan yang aku alami demi kamu, kerana kesengsaraanku akan membawa kemuliaan bagi kamu semua. 14  Itulah sebabnya aku berlutut di hadapan Bapa. 15  Setiap keluarga, baik di syurga mahupun di bumi, menerima nama masing-masing daripada-Nya. 16  Aku berdoa agar Tuhan yang berlimpah-limpah dengan kemuliaan menguatkan hati dan fikiran kamu dengan kuasa daripada daya aktif-Nya. 17  Aku juga berdoa agar melalui iman kamu, Kristus dan kasih yang harus kamu miliki tinggal di dalam hati kamu. Semoga kamu berakar umbi dan bertapak pada asas yang kukuh, 18  supaya kamu bersama semua umat suci dapat memahami dengan sepenuhnya betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya perkara-perkara yang berkaitan dengan Tuhan. 19  Kamu juga dapat mengenal kasih Kristus yang lebih unggul daripada pengetahuan. Dengan demikian, kamu dapat dipenuhi dengan segala sifat Tuhan yang dianugerahkan oleh-Nya. 20  Melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diri kita, Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan. 21  Semoga Dia diberikan kemuliaan dari generasi ke generasi untuk selama-lamanya melalui sidang dan melalui Kristus Yesus. Amin.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.