Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Efesus 1:1-23

RANGKA KANDUNGAN

  • Salam (1, 2)

  • Berkat rohani (3-7)

  • Segala sesuatu dikumpulkan kepada Kristus (8-14)

    • “Pentadbiran” pada masa yang ditetapkan (10)

    • Dimeterai oleh daya aktif sebagai jaminan (13, 14)

  • Paulus bersyukur kerana orang Efesus beriman dan dia berdoa untuk mereka (15-23)

1  Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan, menulis surat ini kepada umat suci di Efesus yang setia dan yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus:  Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.  Terpujilah Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus Kristus. Oleh sebab kita hidup bersatu dengan Kristus, Dia telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga.  Sebelum dunia diasaskan,* Tuhan telah memilih kita untuk hidup bersatu dengannya,* supaya kita menunjukkan kasih, menjadi suci, dan tidak bercacat cela di hadapan-Nya.  Menurut apa yang diperkenankan dan dikehendaki-Nya, Tuhan telah menentukan terlebih dahulu bahawa kita akan dijadikan anak angkat-Nya melalui Yesus Kristus.  Dengan demikian, Dia akan dipuji atas kebaikan hati-Nya yang unggul dan mulia, yang dicurahkan-Nya ke atas kita melalui Anak yang dikasihi-Nya.  Melalui Anak-Nya, kita ditebus dan dibebaskan. Ya, melalui darahnya, dosa kita diampunkan. Betapa agungnya kebaikan hati Tuhan!  Tuhan telah mencurahkan kebaikan hati yang unggul ke atas kita dengan memberi kita segala kebijaksanaan dan pengertian.  Dia telah menyingkapkan rahsia suci tentang kehendak-Nya kepada kita. Rahsia suci ini selaras dengan apa yang diperkenankan-Nya, dan selaras dengan tujuan-Nya 10  untuk melaksanakan sebuah pentadbiran apabila jangka masa yang ditetapkan-Nya tamat. Dengan ini, segala sesuatu, baik perkara di syurga mahupun perkara di bumi, dikumpulkan dan ditundukkan kepada Kristus. Ya, segala sesuatu akan dikumpulkan dan ditundukkan kepadanya. 11  Tuhan melaksanakan segala sesuatu mengikut kehendak-Nya. Awal-awal lagi, Dia telah memilih kami untuk hidup bersatu dengan Kristus dan melantik kami sebagai pewaris menurut tujuan-Nya, 12  supaya pujian dan kemuliaan diberikan kepada-Nya melalui kami, iaitu orang yang pertama sekali berharap kepada Kristus. 13  Namun, kamu juga berharap kepadanya setelah kamu mendengar ajaran benar, iaitu berita baik tentang penyelamatan kamu. Selepas kamu percaya, Tuhan telah memeterai kamu melalui Kristus dengan menggunakan daya aktif yang dijanjikan-Nya itu. 14  Daya aktif itu merupakan jaminan* bahawa kita akan menerima warisan yang dijanjikan-Nya. Tuhan berbuat demikian agar umat-Nya dibebaskan melalui tebusan, dan agar Dia dipuji dan dimuliakan. 15  Oleh sebab itu, sejak aku mendengar tentang iman kamu terhadap Tuan Yesus dan kasih yang kamu perlihatkan terhadap semua umat suci Tuhan, 16  aku tidak henti-henti mengucapkan syukur untuk kamu. Semasa berdoa, aku sentiasa menyebut kamu 17  dan memohon agar Bapa yang mulia, iaitu Tuhan kepada Tuan Yesus Kristus, memberi kamu daya aktif-Nya semasa kamu menimba pengetahuan yang tepat tentang-Nya. Dengan ini, kamu akan menjadi bijaksana dan dapat memahami perkara-perkara yang disingkapkan oleh-Nya. 18  Dia telah membuka mata hati kamu, supaya kamu mengetahui harapan yang diberikan-Nya kepada kamu, supaya kamu mengetahui betapa mulianya kekayaan rohani yang telah disediakan-Nya sebagai warisan untuk umat suci-Nya, 19  dan supaya kamu mengetahui betapa unggulnya dan betapa hebatnya kuasa yang ditunjukkan-Nya kepada kita, iaitu orang yang percaya kepada Kristus. Kuasa dan kekuatan-Nya yang hebat kelihatan 20  apabila Dia membangkitkan Kristus daripada kematian dan memberinya tempat duduk di sebelah kanan-Nya di syurga. 21  Kedudukan Kristus jauh lebih tinggi daripada setiap kerajaan, penguasa, pemerintah, pemimpin, dan nama, baik dalam sistem dunia ini* mahupun dalam sistem dunia yang akan datang. 22  Tuhan telah menundukkan segala sesuatu di bawah kaki Kristus dan melantiknya sebagai kepala ke atas segala sesuatu yang berkaitan dengan sidang. 23  Sidang itu tubuh Kristus dan dipenuhi dengan sifat-sifat Kristus, iaitu dia yang memenuhi segala sesuatu dalam segala cara.

Nota Kaki

Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.
Iaitu, dengan Kristus.
Atau “bayaran pendahuluan (wang cengkeram).”
Atau “zaman ini.” Lihat Daftar Kata, “Sistem dunia.”