Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

2 Korintus 5:1-21

RANGKA KANDUNGAN

  • Mengenakan kediaman di syurga (1-10)

  • Membantu orang berbaik semula dengan Tuhan (11-21)

    • Ciptaan yang baru (17)

    • Duta bagi Kristus (20)

5  Kami tahu bahawa rumah kami di bumi, iaitu khemah ini, akan dirobohkan dan Tuhan akan memberi kami sebuah rumah yang tidak dibuat dengan tangan manusia. Rumah itu terletak di syurga dan kekal selama-lamanya.  Kami mengerang semasa kami berada dalam rumah sekarang ini, kerana kami ingin sekali menerima kediaman di syurga yang akan menutupi kami seperti pakaian.  Maka, kami tidak akan telanjang setelah kami mengenakan kediaman itu.  Kami mengerang dan menanggung beban yang berat semasa berada di dalam khemah ini. Bukannya kami ingin menanggalkan khemah ini, tetapi kami ingin mengenakan kediaman di syurga, supaya tubuh yang dapat mati digantikan dengan kehidupan kekal.  Tuhan telah mempersiapkan kami untuk kehidupan sebegini, dan Dia memberi kami daya aktif-Nya sebagai jaminan bahawa kami akan menerima berkat-berkat yang bakal tiba.*  Oleh itu, kita sentiasa penuh dengan keberanian. Selagi tubuh ini menjadi rumah kita, kita jauh daripada Tuan kita. Kita tahu akan hal ini  kerana kita hidup berdasarkan iman, dan bukannya berdasarkan apa yang dapat dilihat.  Oleh sebab itu, kita penuh dengan keberanian. Kita lebih rela tinggal bersama-sama Tuan kita daripada tinggal dalam tubuh ini.  Tidak kira sama ada kita tinggal bersamanya atau jauh daripadanya, inilah matlamat kita: Kita ingin menyenangkan hatinya. 10  Hal ini demikian kerana kita semua mesti menghadap tempat pengadilan Kristus. Setiap orang akan mendapat balasan setimpal dengan perbuatan yang sering dilakukan olehnya, sama ada baik ataupun jahat, semasa dia berada dalam tubuhnya sebagai manusia. 11  Memandangkan kami tahu ertinya takut pada Tuan kita, kami terus-menerus mengajar orang lain dengan cara yang meyakinkan. Tuhan mengenal kami dengan baik, dan aku berharap agar kamu* juga mengenal kami dengan baik. 12  Kami berkata demikian bukannya untuk membanggakan diri sekali lagi, tetapi untuk mendorong kamu agar kamu berbangga dengan kami. Dengan demikian, kamu dapat menjawab orang yang bermegah atas penampilan luar tetapi tidak bermegah atas apa yang ada di dalam hati. 13  Jika kami pernah menjadi gila, hal itu adalah demi Tuhan. Jika kami berfikiran waras, hal itu adalah demi kamu. 14  Kasih yang dimiliki Kristus menguasai kami, kerana inilah kesimpulan kami: Satu orang telah mati untuk semua orang, kerana semua orang sudah mati. 15  Kristus sudah mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka dan yang sudah dibangkitkan. 16  Oleh itu, mulai sekarang kita tidak menilai seseorang menurut sudut pandangan manusia. Biarpun kita pernah memandang Kristus dari sudut pandangan manusia, kita tidak lagi memandangnya dari sudut pandangan ini. 17  Maka jika sesiapa bersatu dengan Kristus, dia menjadi ciptaan yang baru. Yang lama sudah berlalu, dan yang baru sudah muncul. 18  Semua ini dilakukan oleh Tuhan. Melalui Kristus, Tuhan membolehkan kita berbaik semula dengan-Nya. Dia juga memberi kita tugas untuk membantu orang lain berbaik semula dengan-Nya. 19  Maksudnya ialah, melalui Kristus, Tuhan membolehkan orang di dunia berbaik semula dengan-Nya. Dia tidak memperhitungkan kesalahan mereka, dan Dia telah mengamanahkan kita tugas untuk memberitahu orang lain bahawa mereka dapat berbaik semula dengan-Nya. 20  Demikianlah kita menjadi duta yang berkhidmat bagi pihak Kristus, seolah-olah Tuhan memohon kepada orang melalui kita. Kita merayu kepada orang bagi pihak Kristus, “Tolonglah berbaik semula dengan Tuhan.” 21  Tuhan telah menjadikan dia yang tidak pernah berdosa sebagai korban untuk dosa kita, supaya melaluinya, kita boleh mendapat perkenan Tuhan.

Nota Kaki

Atau “sebagai bayaran pendahuluan (wang cengkeram).”
Harfiah, “hati nurani kamu.”