2 Korintus 12:1-21

  • Penglihatan Paulus (1-7a)

  • “Duri dalam daging” (7b-10)

  • Tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” yang sangat hebat (11-13)

  • Kekhuatiran Paulus tentang orang Korintus (14-21)

12  Aku harus berbangga. Sekarang, aku akan bercakap tentang penglihatan dan perkhabaran daripada Tuan Yesus walaupun hal ini tidak bermanfaat bagiku.  Aku mengenal seorang lelaki yang hidup bersatu dengan Kristus. Empat belas tahun yang lalu, dia telah diangkat ke syurga yang ketiga secara tiba-tiba. Sama ada dia diangkat bersama tubuhnya ataupun tidak, aku tidak tahu, tetapi Tuhan tahu.  Ya, aku mengenal lelaki itu. Dia telah dibawa ke firdaus secara tiba-tiba. Sama ada dia diangkat bersama tubuhnya ataupun tidak, aku tidak tahu, tetapi Tuhan tahu.  Semasa di firdaus, dia mendengar kata-kata yang tidak dapat dan tidak boleh diucapkan oleh manusia.  Aku akan membanggakan lelaki itu, bukan diriku sendiri. Aku hanya akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku.  Biarpun aku hendak berbangga, apa yang aku ucapkan itu masuk akal, kerana aku bercakap benar. Namun, aku tidak akan berbangga supaya orang hanya akan memuji aku kerana perbuatanku yang dilihat oleh mereka atau kata-kataku yang didengar oleh mereka,  dan bukan semata-mata kerana perkhabaran luar biasa yang telah aku terima. Maka, aku diberikan sesuatu seperti duri dalam daging, iaitu malaikat Syaitan, untuk terus menampar* aku supaya aku tidak terlalu meninggikan diri.  Aku merayu kepada Tuan kita sebanyak tiga kali agar duri tersebut disingkirkan daripadaku.  Namun Dia berkata kepada aku, “Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Maka, dengan besar hati, aku akan berbangga dengan kelemahanku, supaya kuasa Kristus terus melindungi aku seperti sebuah khemah. 10  Aku berasa senang hati semasa aku lemah, dihina, serba kekurangan, dianiaya, dan mengalami kesukaran demi Kristus. Hal ini demikian kerana apabila aku lemah, aku menjadi kuat. 11  Aku memang bersikap tidak munasabah. Kamu memaksa aku menunjukkan sikap sebegini kerana kamu tidak bercakap tentang perkara baik yang aku lakukan. Walaupun aku bukannya sesiapa dalam pandangan kamu, dalam segala hal, aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang sangat hebat itu. 12  Sememangnya, dengan penuh ketabahan dan menerusi tanda, mukjizat, dan perbuatan yang menakjubkan, aku membuktikan kepada kamu bahawa aku ialah seorang rasul. 13  Dalam hal apakah kamu kurang diberikan penghormatan berbanding sidang-sidang lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak membebani kamu. Jika aku bersalah terhadap kamu kerana hal ini, maafkanlah aku. 14  Lihatlah! Inilah kali ketiga aku bersedia untuk datang kepada kamu. Seperti dahulu, aku tidak akan membebani kamu kerana aku menginginkan kamu, bukannya harta kamu. Anak-anak tidak perlu mengumpulkan harta untuk ibu bapa, tetapi ibu bapalah yang perlu mengumpulkan harta untuk anak-anak. 15  Aku rela menggunakan segala milikku dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kamu. Jika aku begitu mengasihi kamu, mengapakah kamu kurang mengasihi aku? 16  Walaupun begitu, aku tidak membebani kamu. Namun, kamu berkata bahawa aku “licik” dan aku menjerat kamu dengan “tipu muslihat.” 17  Aku tidak pernah mengambil kesempatan ke atas kamu melalui orang yang aku utus kepada kamu, bukan? 18  Aku menggesa Titus untuk datang kepada kamu dan aku mengutus seorang saudara lain bersamanya. Adakah Titus mengambil kesempatan ke atas kamu? Tidakkah kami mempunyai niat yang sama dan bertindak dengan cara yang sama? 19  Adakah kamu menyangka bahawa selama ini kami membela diri di hadapan kamu? Sebenarnya, kami bercakap di hadapan Tuhan sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus. Saudara-saudara yang dikasihi, semua yang kami lakukan adalah untuk menguatkan kamu. 20  Aku takut apabila aku tiba nanti, kelakuan kamu berbeza daripada apa yang aku harapkan, dan tindakan aku berbeza daripada apa yang kamu harapkan. Aku takut terdapat perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, perselisihan, perbuatan mengutuk orang dari belakang, perbuatan mengumpat, keangkuhan, dan kekacauan dalam kalangan kamu. 21  Aku khuatir apabila aku datang lagi, Tuhanku akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku mungkin akan meratap kerana banyak antara orang yang berdosa dahulu tidak bertaubat daripada amalan yang najis, perbuatan seks yang tidak bermoral,* dan kelakuan yang buruk.*

Nota Kaki

Atau “memukul.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Daftar Kata, “Berkelakuan buruk tanpa rasa malu.”