Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

1 Yohanes 3:1-24

RANGKA KANDUNGAN

  • Kita anak-anak Tuhan (1-3)

  • Anak-anak Tuhan dan anak-anak Iblis (4-12)

    • Yesus menghancurkan perbuatan Iblis (8)

  • Saling mengasihi (13-18)

  • Tuhan lebih besar daripada hati kita (19-24)

3  Lihatlah betapa besarnya kasih Bapa kepada kita! Dia mengizinkan kita disebut sebagai anak-anak Tuhan. Sesungguhnya kita ialah anak-anak Tuhan. Dunia tidak mengenal kita, kerana dunia tidak mengenal-Nya.  Saudara-saudara yang dikasihi, sekarang kita ialah anak-anak Tuhan, tetapi apa yang akan berlaku kepada kita kelak masih belum menjadi nyata. Kita tahu bahawa apabila Tuhan menunjukkan diri-Nya, kita akan menjadi seperti-Nya kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenar.  Semua orang yang menaruh harapan ini pada Kristus* menyucikan diri sendiri, sebagaimana Yesus Kristus juga suci.  Setiap orang yang mengamalkan perbuatan berdosa juga mengamalkan perbuatan yang melanggar hukum, maka dosa ialah pelanggaran hukum.  Kamu juga tahu bahawa Yesus Kristus telah menampakkan diri untuk menghapuskan dosa kita, dan tidak ada dosa pada dirinya.  Setiap orang yang tetap hidup bersatu dengannya tidak akan mengamalkan perbuatan berdosa. Orang yang mengamalkan perbuatan berdosa tidak pernah melihat atau mengenal dia.  Anak-anak yang dikasihi, janganlah biarkan sesiapa pun menyesatkan kamu. Yesus diperkenankan Tuhan, dan orang yang mengamalkan apa yang betul juga diperkenankan Tuhan.  Orang yang mengamalkan perbuatan berdosa berasal daripada Iblis, kerana Iblis telah berbuat dosa sejak permulaan. Tujuan Anak Tuhan menampakkan diri adalah untuk menghancurkan perbuatan Iblis.  Setiap orang yang merupakan anak Tuhan tidak mengamalkan perbuatan berdosa, kerana daya aktif Tuhan* tetap ada pada orang itu, dan dia tidak dapat mengamalkan perbuatan berdosa kerana dia ialah anak Tuhan. 10  Anak-anak Tuhan dan anak-anak Iblis dapat diketahui dengan jelas melalui fakta ini: Sesiapa yang tidak mengamalkan apa yang betul tidak berasal daripada Tuhan, begitu juga dengan sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya. 11  Hal ini demikian kerana inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. 12  Janganlah kita menjadi seperti Kain yang berasal daripada Si Jahat dan yang membunuh adiknya. Mengapakah dia membunuh adiknya? Dia membunuh adiknya kerana perbuatannya sendiri jahat tetapi perbuatan adiknya baik. 13  Saudara-saudara, janganlah kamu hairan kerana dunia membenci kamu. 14  Kita tahu bahawa kita sudah mati, tetapi sekarang kita hidup semula kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Orang yang tidak mengasihi saudara-saudaranya tetap berada dalam kematian. 15  Setiap orang yang membenci saudaranya merupakan pembunuh, dan kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak akan menerima kehidupan abadi. 16  Kita mengenal kasih kerana Kristus menyerahkan nyawanya untuk kita. Maka kita juga mesti menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita. 17  Jika ada sesiapa yang mampu menyara kehidupan sendiri dan melihat saudaranya memerlukan bantuan tetapi enggan berbelas kasihan terhadapnya, dapatkah kita mengatakan bahawa orang itu mengasihi Tuhan? 18  Anak-anak yang dikasihi, pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan. 19  Demikianlah caranya kita mengetahui bahawa kita berasal daripada kebenaran. Kita memiliki keyakinan dalam hati bahawa Tuhan mengasihi kita 20  meskipun hati kita mungkin menyalahkan kita. Hal ini demikian kerana Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu. 21  Saudara-saudara yang dikasihi, jika hati kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Tuhan dengan berani.* 22  Kita akan menerima apa sahaja yang kita minta daripada-Nya, kerana kita mematuhi perintah-perintah-Nya dan melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Nya. 23  Sesungguhnya, inilah perintah-Nya: Kita harus beriman kepada nama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi sebagaimana yang telah diperintahkan kepada kita. 24  Tambahan lagi, orang yang mematuhi-Nya akan tetap bersatu dengan-Nya dan Dia akan bersatu dengan orang sedemikian. Melalui daya aktif yang diberikan-Nya kepada kita, kita tahu bahawa Dia tetap bersatu dengan kita.

Nota Kaki

Atau “Tuhan.”
Harfiah, “benih-Nya.”
Lihat Daftar Kata, “Bercakap dengan berani.”