Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

1 Tesalonika 5:1-28

RANGKA KANDUNGAN

  • Kedatangan hari Yehuwa (1-5)

    • “Semuanya damai dan selamat!” (3)

  • Tetap berjaga-jaga, memelihara daya pemikiran (6-11)

  • Nasihat (12-24)

  • Salam akhir (25-28)

5  Saudara-saudara, tidak ada apa-apa yang perlu dituliskan kepada kamu tentang masa dan waktu,  kerana kamu sendiri tahu benar bahawa hari Yehuwa akan datang seperti pencuri datang pada waktu malam.  Apabila orang berkata, “Semuanya damai dan selamat!” pada waktu itulah kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka seperti sakit yang dialami oleh seorang wanita yang hampir bersalin. Mereka sama sekali tidak dapat melepaskan diri.  Tetapi kamu, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan sehingga hari itu tiba-tiba menimpa kamu sebagaimana siang hari tiba-tiba menimpa pencuri,  kerana kamu semua anak-anak cahaya dan anak-anak siang hari. Kita bukan milik malam dan bukan milik kegelapan.  Maka, janganlah kita terus tidur seperti orang lain. Sebaliknya, marilah kita tetap berjaga-jaga dan memelihara daya pemikiran kita,  kerana mereka yang tidur, tidur pada waktu malam, dan mereka yang mabuk, mabuk pada waktu malam.  Tetapi bagi kita yang merupakan milik siang hari, hendaklah kita terus memelihara daya pemikiran kita, mengenakan perisai dada iaitu iman dan kasih, dan mengenakan topi besi iaitu harapan penyelamatan.  Hal ini demikian kerana Tuhan tidak memilih kita untuk mengalami kemurkaan-Nya. Sebaliknya Dia memilih kita agar kita diselamatkan melalui Tuan kita, Yesus Kristus. 10  Tidak kira sama ada kita berjaga atau tidur,* Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersamanya. 11  Oleh itu, teruslah menggalakkan* dan menguatkan satu sama lain, sebagaimana yang sedang kamu lakukan.  12  Saudara-saudara, kami memohon kepada kamu agar kamu menunjukkan hormat kepada mereka yang bekerja keras dalam kalangan kamu dan yang mengambil pimpinan dalam kerja Tuan kita serta yang menasihati kamu. 13  Tunjukkanlah hormat dan kasih yang lebih mendalam kepada mereka kerana kerja yang dilakukan oleh mereka. Teruslah berdamai dengan satu sama lain. 14  Saudara-saudara, kami juga menggesa kamu agar menegur orang yang tidak bertatatertib,* mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung,* memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang. 15  Pastikanlah agar tidak ada seorang pun dalam kalangan kamu yang membalas kejahatan dengan kejahatan kepada sesiapa pun. Sebaliknya kamu harus sentiasa berusaha melakukan apa yang baik terhadap satu sama lain dan terhadap semua orang yang lain. 16  Hendaklah kamu sentiasa bersukacita. 17  Berdoalah sentiasa. 18  Ucapkanlah syukur untuk segala sesuatu. Itulah kehendak Tuhan bagi kamu semua yang merupakan pengikut Kristus Yesus. 19  Janganlah padamkan api daya aktif Tuhan. 20  Janganlah memandang hina pada nubuat-nubuat yang disampaikan. 21  Periksalah semua perkara, dan berpautlah pada apa yang baik. 22  Jauhilah segala bentuk kejahatan. 23  Semoga Tuhan yang memberikan kedamaian menyucikan kamu semua dengan sepenuhnya. Saudara-saudara, semoga sikap, jiwa, dan tubuh kamu tetap murni dan tidak bercela dalam segala hal pada waktu kehadiran Tuan Yesus Kristus. 24  Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia pasti akan berbuat demikian. 25  Saudara-saudara, teruslah berdoa untuk kami. 26  Sambutlah semua saudara dengan ciuman.* 27  Atas nama Tuan kita, aku mewajibkan kamu agar membacakan surat ini kepada semua saudara. 28  Semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai kamu semua.

Nota Kaki

Atau “tidur dalam kematian.”
Atau “melegakan hati.”
Boleh merujuk kepada orang yang tidak hidup selaras dengan prinsip-prinsip Tuhan.
Atau “orang yang tawar hati.”
Harfiah, “ciuman suci.” Orang Kristian akan mencium satu sama lain semasa bersalaman.