1 Tesalonika 4:1-18

  • Amaran tentang perbuatan seks yang tidak bermoral (1-8)

  • Saling mengasihi dengan lebih bersungguh-sungguh (9-12)

    • Jangan mencampuri urusan orang lain (11)

  • Pengikut Kristus yang mati akan bangkit terlebih dahulu (13-18)

4  Akhirnya saudara-saudara, atas nama Tuan Yesus, kami memohon dan merayu kamu agar hidup dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan sebagaimana yang telah kami beritahukan kepada kamu. Memang demikianlah cara hidup kamu, tetapi teruslah berbuat demikian dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.  Hal ini demikian kerana kamu mengetahui arahan yang telah kami berikan kepada kamu atas nama Tuan Yesus.  Kehendak Tuhan adalah supaya kamu menjadi suci dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.*  Kamu masing-masing harus tahu bagaimana mengawal tubuh sendiri supaya kamu tetap suci dan diperkenankan Tuhan.*  Kamu tidak patut mengikut bangsa-bangsa yang tidak mengenal Tuhan, yang menuruti nafsu seks yang tidak terkawal tanpa rasa puas.  Dalam hal ini, janganlah ada orang yang melampaui batas yang sesuai dan mengambil kesempatan ke atas saudaranya, kerana Yehuwa akan menghukum orang yang melakukan hal-hal sedemikian. Sebelum ini, kami sudah memberitahu kamu tentang hal itu dan memberikan amaran yang tegas kepada kamu.  Tuhan telah memanggil kita supaya kita menjadi suci dan bukannya supaya kita menjadi najis.  Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Tuhan yang mengurniai kamu daya aktif-Nya.  Namun, kami tidak perlu menulis kepada kamu tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman, kerana kamu sendiri diajar oleh Tuhan untuk saling mengasihi. 10  Sebenarnya, kamu sedang berbuat demikian terhadap semua saudara di seluruh Makedonia. Tetapi saudara-saudara, kami menggesa kamu semua agar terus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. 11  Seperti yang telah kami arahkan, berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk hidup dengan damai tanpa mencampuri urusan orang lain, dan bekerjalah dengan tangan kamu sendiri. 12  Dengan demikian kamu tidak akan kekurangan apa-apa, dan orang luar akan nampak bahawa kamu mengamalkan cara hidup yang baik. 13  Selain itu, saudara-saudara, kami ingin kamu mengetahui apa yang menantikan orang yang sudah tidur dalam kematian, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang lain yang tidak mempunyai harapan. 14  Jika kita percaya bahawa Yesus telah mati dan dibangkitkan, kita juga patut percaya bahawa pengikut Yesus yang setia, yang sudah tidur dalam kematian, akan dikumpulkan oleh Tuhan supaya mereka dapat bersama-sama Yesus. 15  Kami memberitahu kamu berdasarkan firman Yehuwa bahawa semasa kehadiran Tuan kita, kita yang masih hidup sama sekali tidak akan mendahului mereka yang sudah tidur dalam kematian, 16  kerana Tuan kita akan turun dari syurga sambil memegang trompet Tuhan. Dia akan berseru dengan suara yang lantang, dengan suara ketua malaikat, dan pengikut Kristus yang sudah meninggal akan bangkit terlebih dahulu. 17  Selepas itu, kita yang masih hidup akan dibawa bersama-sama mereka dalam awan untuk berjumpa dengan Tuan kita di langit. Dengan demikian, kita akan sentiasa bersama-sama Tuan kita. 18  Oleh itu, teruslah melegakan hati satu sama lain dengan kata-kata ini.

Nota Kaki

Yunani, por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
Atau “dihormati orang.”