1 Petrus 5:1-14

  • Menggembala kawanan Tuhan (1-4)

  • Rendahkan diri dan berjaga-jaga (5-11)

    • Lemparkan segala kekhuatiran kepada Tuhan (7)

    • Iblis seperti singa yang mengaum (8)

  • Kata penutup (12-14)

5  Aku juga seorang penatua seperti kamu. Aku pernah menyaksikan penderitaan Kristus, dan aku akan mengambil bahagian dalam kemuliaan yang bakal disingkapkan. Maka aku memberikan nasihat berikut kepada para penatua yang ada dalam kalangan kamu:  Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu. Di hadapan Tuhan, berkhidmatlah sebagai penyelia* dengan rela, dan bukannya secara terpaksa; hendaklah kamu melakukannya dengan bersemangat dan janganlah melakukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur;  jadilah teladan bagi kawanan, dan janganlah menguasai mereka yang merupakan milik Tuhan.  Semasa ketua gembala disingkapkan, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang tidak akan rosak.  Dalam cara yang sama, hendaklah lelaki yang lebih muda mentaati lelaki yang lebih tua.* Kamu semua harus rendah hati semasa berurusan dengan satu sama lain, kerana Tuhan menentang orang yang angkuh tetapi Dia memberikan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.  Oleh itu, rendahkanlah diri kamu di bawah tangan Tuhan yang perkasa, agar Dia dapat meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan.  Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.  Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah. Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum. Dia mencari mangsa untuk dibaham.  Tetapi kamu harus menentang dia dengan iman yang teguh kerana kamu tahu bahawa semua saudara seiman* di dunia sedang mengalami penderitaan yang sama. 10  Namun, selepas kamu menderita buat suatu jangka waktu yang singkat, Tuhan yang penuh dengan kebaikan hati yang unggul akan menyempurnakan latihan kamu. Dialah yang telah memanggil kamu untuk menikmati kemuliaan-Nya yang kekal kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus. Dia akan meneguhkan kamu, Dia akan menguatkan kamu, dan Dia akan mengukuhkan kamu. 11  Semoga Dia berkuasa buat selama-lamanya. Amin. 12  Melalui Silvanus,* yang aku anggap sebagai seorang saudara yang setia, aku menulis kepada kamu dengan menggunakan beberapa patah kata untuk menggalakkan kamu dan untuk memberikan kesaksian yang sungguh-sungguh, bahawa inilah kebaikan hati Tuhan yang sejati. Berpegang teguhlah padanya. 13  Wanita* yang berada di Babilon, yang juga merupakan wanita terpilih, mengirim salam kepada kamu, begitu juga dengan Markus, anakku. 14  Sambutlah satu sama lain dengan ciuman sebagai tanda kasih. Semoga kamu semua yang hidup bersatu dengan Kristus menikmati kedamaian.

Nota Kaki

Atau “jagalah kawanan dengan teliti dan.”
Atau “para penatua.”
Harfiah, “persaudaraan kamu.”
Juga dipanggil Silas.
“Wanita” boleh merujuk kepada sebuah sidang.