Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

1 Korintus 9:1-27

RANGKA KANDUNGAN

  • Teladan Paulus sebagai rasul (1-27)

    • ‘Jangan memberangus mulut lembu jantan’ (9)

    • ‘Malanglah aku jika tidak menginjil!’ (16)

    • Melakukan apa sahaja untuk membantu segala macam orang (19-23)

    • Kawalan diri dalam perlumbaan untuk kehidupan (24-27)

9  Bukankah aku orang yang bebas? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus, Tuan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku dalam khidmat Tuan kita?  Meskipun aku tidak berkhidmat sebagai rasul kepada orang lain, aku memang telah berkhidmat sebagai rasul kepada kamu. Sememangnya kamu bagaikan meterai yang mengesahkan bahawa aku merupakan rasul yang berkhidmat untuk Tuan Yesus.  Inilah pembelaanku kepada mereka yang menghakimi aku:  Tidakkah kami berhak untuk makan dan minum?  Tidakkah kami berhak mengahwini seorang saudari seiman dan membawanya bersama kami? Rasul-rasul yang lain, adik-adik Tuan Yesus, dan Kefas* juga melakukan hal yang sama, bukan?  Atau adakah hanya aku dan Barnabas yang tidak berhak untuk berhenti mencari nafkah?  Askar manakah yang membiayai hidupnya sendiri sambil menjalankan khidmatnya? Siapakah yang menanam anggur di kebunnya tetapi tidak makan hasilnya? Gembala manakah yang tidak minum susu yang dihasilkan oleh kawanan bebirinya?  Adakah apa yang aku katakan itu sekadar pandangan manusia? Tidakkah Hukum juga menyatakan hal-hal yang sama?  Di dalam Hukum Musa tertulis, “Jangan menutup mulut lembu jantan dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik biji-bijian.” Adakah Tuhan mengambil berat tentang lembu? 10  Atau adakah Dia berfirman sedemikian demi manfaat kita? Sesungguhnya perintah ini ditulis untuk manfaat kita, kerana orang yang membajak dan orang yang mengirik biji-bijian harus bekerja dengan harapan untuk menerima sebahagian daripada hasil tuaian. 11  Jika kami menanam perkara-perkara rohani dalam kalangan kamu, adakah kami keterlaluan jika kami menuai bantuan kebendaan daripada kamu? 12  Jika orang lain berhak untuk menerima bantuan kebendaan daripada kamu, tidakkah kami lebih berhak daripada mereka? Walaupun begitu, kami tidak menggunakan hak itu. Sebaliknya, kami menanggung segala sesuatu dengan tabah supaya kami tidak menghalang penyebaran berita baik tentang Kristus. 13  Tidakkah kamu tahu bahawa orang yang melakukan tugas suci menerima makanan dari Rumah Tuhan, dan bahawa mereka yang sentiasa berkhidmat di mazbah menerima sebahagian daripada korban yang dipersembahkan di atas mazbah? 14  Dalam cara yang sama, Tuan kita telah mengarahkan agar mereka yang menyebarkan berita baik menerima nafkah menerusi berita baik. 15  Namun, aku tidak menggunakan satu pun daripada aturan yang disediakan itu. Sesungguhnya aku tidak menulis tentang perkara-perkara ini supaya hal itu dilakukan untuk aku. Lebih baik aku mati daripada berbuat demikian. Tiada sesiapa pun yang akan merampas apa yang aku banggakan! 16  Walaupun aku mengisytiharkan berita baik, tidak ada sebab bagiku untuk membanggakan diri kerana inilah kewajipanku. Sesungguhnya, malanglah aku jika aku tidak mengisytiharkan berita baik! 17  Jika aku melakukan kerja ini dengan rela hati, aku akan menerima ganjaran. Tetapi biarpun aku melakukannya dengan berat hati, aku masih diamanahkan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga. 18  Jika begitu, apakah ganjaranku? Inilah ganjaranku: Semasa aku mengisytiharkan berita baik, aku dapat mengkhabarkannya kepada orang lain tanpa meminta bayaran, dan dengan demikian hakku sebagai penyebar berita baik tidak disalahgunakan. 19  Walaupun aku bebas dan aku bukan hamba kepada sesiapa pun, aku menjadikan diriku sebagai hamba kepada semua orang supaya aku dapat memimpin seberapa banyak orang yang mungkin untuk menjadi pengikut Kristus. 20  Semasa aku bersama dengan orang Yahudi, aku menjadi seperti orang Yahudi supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Walaupun aku tidak berada di bawah hukum, aku menjadi seperti orang yang berada di bawah hukum semasa aku bersama dengan orang yang berada di bawah hukum, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. 21  Aku mematuhi hukum Tuhan dan berada di bawah hukum Kristus. Namun, semasa aku bersama dengan orang yang tidak mempunyai hukum, aku menjadi seperti orang yang tidak mempunyai hukum supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. 22  Semasa aku bersama dengan orang yang lemah, aku menjadi orang yang lemah supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Aku melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang. 23  Demi berita baik, aku sanggup melakukan apa-apa sahaja supaya aku dapat mengkhabarkannya kepada orang lain. 24  Tidakkah kamu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta berlari tetapi hanya seorang yang akan menerima hadiah? Jadi, larilah sedemikian rupa agar kamu menerima hadiah itu. 25  Setiap orang yang bertanding dalam suatu pertandingan harus* mengawal diri dalam segala hal. Mereka berbuat demikian kerana mereka mahu mendapat mahkota yang dapat musnah. Namun, kita mahu mendapat mahkota yang tidak akan musnah. 26  Oleh itu, cara aku berlari bukanlah dengan tidak menentu. Aku menghalakan tumbukanku sedemikian rupa supaya aku tidak menumbuk udara. 27  Aku memukuli* tubuhku dan mengawalnya seperti hamba supaya selepas aku menyebarkan berita baik kepada orang lain, aku sendiri tidak kehilangan perkenan Tuhan.

Nota Kaki

Juga dipanggil Petrus.
Atau “Setiap ahli olahraga harus.”
Atau “menghukum; mendisiplin dengan tegas.”