Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

1 Korintus 14:1-40

RANGKA KANDUNGAN

  • Kurnia untuk bernubuat dan bercakap dalam bahasa lain (1-25)

  • Perjumpaan Kristian yang teratur (26-40)

    • Wanita dalam sidang (34, 35)

14  Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan kasih, dan teruslah berusaha dengan sedaya upaya untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.  Orang yang bercakap dalam bahasa lain, tidak bercakap kepada manusia, tetapi bercakap kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana walaupun daya aktif Tuhan membolehkannya bercakap tentang rahsia suci, orang lain tidak dapat memahaminya.  Namun, orang yang bernubuat dapat menguatkan, menggalakkan, dan melegakan hati orang lain menerusi kata-katanya.  Orang yang bercakap dalam bahasa lain menguatkan dirinya sendiri, tetapi orang yang bernubuat menguatkan sidang.  Aku mahu kamu semua bercakap dalam bahasa-bahasa lain, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat. Lebih baik bernubuat daripada bercakap dalam bahasa-bahasa lain. Hal ini demikian kerana sidang tidak akan dikuatkan kecuali orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa lain itu menterjemahkan kata-katanya.  Saudara-saudara, apa gunanya jika aku datang kepada kamu sekarang dan bercakap kepada kamu dalam bahasa-bahasa lain? Jika aku mahu membantu kamu, aku mesti menyampaikan pengetahuan, nubuat, ajaran, atau hal-hal yang disingkapkan oleh Tuhan.  Sebagai contoh, fikirkan tentang benda-benda tidak bernyawa yang menghasilkan bunyi seperti seruling atau kecapi. Jika tiada perbezaan nada, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang sedang dimainkan dengan seruling atau kecapi?  Jika orang yang meniup trompet tidak memberikan isyarat yang jelas, siapakah yang akan bersedia untuk berperang?  Begitu juga, jika mulut kamu tidak mengucapkan kata-kata yang mudah difahami, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Sia-sia sahaja kamu bercakap. 10  Terdapat banyak bahasa di dalam dunia ini, tetapi tidak ada satu bahasa pun yang tidak bermakna. 11  Jika aku tidak memahami apa yang dikatakan oleh seseorang kepadaku, aku akan menjadi seperti orang asing kepada dia dan dia akan menjadi seperti orang asing kepadaku. 12  Begitu juga halnya dengan kamu. Memandangkan kamu sangat menginginkan kurnia yang diberikan oleh daya aktif Tuhan, berusahalah untuk memperoleh lebih banyak kurnia yang akan menguatkan sidang. 13  Oleh itu, hendaklah orang yang bercakap dalam bahasa lain berdoa agar dia dapat menterjemahkan apa yang dikatakannya. 14  Semasa aku berdoa dalam bahasa lain, akal fikiranku tidak terlibat. Namun, aku dapat berbuat demikian kerana aku mendapat kurnia daripada daya aktif Tuhan. 15  Jadi, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan kurnia daripada daya aktif Tuhan, tetapi aku juga akan berdoa dengan menggunakan akal fikiranku. Aku akan menyanyikan pujian dengan kurnia daripada daya aktif Tuhan, tetapi aku juga akan menyanyikan pujian dengan menggunakan akal fikiranku. 16  Jika kamu mempersembahkan pujian dengan kurnia daripada daya aktif Tuhan, tetapi orang biasa yang ada dalam kalangan kamu tidak memahami apa yang kamu katakan, bagaimanakah dia dapat berkata “Amin” selepas kamu mengucapkan syukur? 17  Jadi walaupun kamu mengucapkan syukur dengan cara yang baik, orang itu tidak dikuatkan. 18  Aku bersyukur kepada Tuhan kerana aku dapat bercakap dalam lebih banyak bahasa daripada kamu semua. 19  Namun demikian, semasa di dalam sidang, aku lebih suka mengucapkan lima patah perkataan yang dapat difahami daripada mengucapkan sepuluh ribu patah perkataan dalam bahasa yang tidak difahami, supaya aku dapat mengajar orang lain. 20  Saudara-saudara, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Hendaklah kamu berfikir seperti orang yang matang, dan jadilah seperti kanak-kanak dalam soal kejahatan. 21  Di dalam Hukum ada tertulis, “Yehuwa berfirman, ‘Dengan lidah orang asing dan dengan bibir orang yang tidak dikenali, Aku akan berfirman kepada umat ini. Sungguhpun begitu, mereka enggan mendengarkan Aku.’” 22  Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain bukanlah tanda bagi orang yang percaya tetapi merupakan tanda bagi orang yang tidak percaya. Sebaliknya kurnia untuk bernubuat bukanlah tanda bagi orang yang tidak percaya tetapi merupakan tanda bagi orang yang percaya. 23  Maka, jika seluruh sidang berkumpul bersama dan bercakap dalam bahasa-bahasa lain, lalu ada orang biasa atau orang yang tidak percaya datang, tidakkah mereka akan mengatakan bahawa kamu semua gila? 24  Tetapi jika kamu semua bernubuat lalu orang biasa atau orang yang tidak percaya datang, apa yang kamu katakan itu akan menjadi teguran baginya dan mendorongnya untuk memeriksa dirinya dengan teliti. 25  Rahsia yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah lalu dia akan sujud menyembah Tuhan dan mengaku, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.” 26  Saudara-saudara, semasa kamu berkumpul, ada seorang yang menyanyikan mazmur, seorang lagi mempunyai ajaran, seorang lagi mendapat perkhabaran daripada Tuhan, seorang lagi bercakap dalam bahasa lain, dan seorang lagi menterjemahkannya. Maka, apakah yang harus dilakukan? Hendaklah segala sesuatu dilakukan untuk menguatkan sidang. 27  Jika ada orang hendak bercakap dalam bahasa lain, paling banyak pun dua atau tiga orang sahaja yang diizinkan untuk berbuat demikian. Mereka harus bergilir-gilir bercakap, dan seseorang mesti menterjemahkan apa yang dikatakan. 28  Namun jika tidak ada orang yang dapat menterjemahkan apa yang dikatakan, mereka mesti berdiam diri di dalam sidang dan mengucapkan kata-kata di dalam hati mereka kepada Tuhan. 29  Hendaklah dua atau tiga orang nabi bercakap, dan hendaklah orang lain berusaha untuk memahami maknanya. 30  Tetapi jika seseorang yang sedang duduk di situ mendapat perkhabaran daripada Tuhan, orang yang sedang bercakap itu haruslah berdiam diri. 31  Kamu semua boleh bernubuat secara bergilir-gilir agar semua orang dapat belajar dan menerima galakan. 32  Kurnia yang diberikan oleh daya aktif Tuhan kepada nabi haruslah digunakan dengan betul. 33  Tuhan bukanlah Tuhan yang kacau-bilau, tetapi Dia ialah Tuhan kedamaian. Seperti yang berlaku dalam semua sidang umat suci Tuhan, 34  kaum wanita haruslah berdiam diri dalam sidang. Mereka tidak dibenarkan untuk bercakap. Sebaliknya, mereka harus taat kepada kaum lelaki seperti apa yang dinyatakan dalam Hukum. 35  Jika mereka mahu mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka semasa di rumah. Hal ini demikian kerana amatlah memalukan jika seorang wanita bercakap di dalam sidang. 36  Adakah firman Tuhan berasal daripada kamu? Atau adakah kamu sahaja yang menerima firman Tuhan? 37  Jika seseorang menganggap dirinya seorang nabi atau seorang yang memiliki kurnia daripada daya aktif Tuhan, dia mesti mengaku bahawa apa yang aku tulis kepada kamu merupakan perintah Tuan kita. 38  Tetapi jika seseorang tidak mempedulikan hal ini, dia tidak akan dipedulikan.* 39  Oleh itu, saudara-saudaraku, teruslah berusaha untuk mendapatkan kurnia untuk bernubuat, tetapi janganlah melarang orang daripada bercakap dalam bahasa-bahasa lain. 40  Segala sesuatu haruslah berlaku dengan baik dan teratur.

Nota Kaki

Atau mungkin, “jika seseorang enggan memahami hal ini, dia tetap tidak akan mengetahuinya.”