1 Korintus 13:1-13

  • Kasih—jalan yang jauh lebih unggul (1-13)

13  Meskipun aku dapat bercakap dalam bahasa manusia dan bahasa malaikat, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku hanya seperti gong atau simbal* yang mengeluarkan bunyi bising.  Meskipun aku diberikan kurnia untuk bernubuat, dan memahami semua rahsia suci serta memiliki segala ilmu pengetahuan, dan meskipun aku mempunyai iman yang begitu kukuh sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.  Meskipun aku menggunakan semua harta milikku untuk menjaga orang lain, dan meskipun aku menyerahkan tubuhku sebagai korban supaya aku boleh berbangga, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku tidak akan mendapat apa-apa faedah.  Kasih itu sabar* dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh,  tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri, dan tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.  Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah, tetapi bersukacita atas perkara yang benar.  Kasih menanggung segala beban, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.  Kasih itu abadi.* Tetapi kurnia untuk bernubuat akan lenyap, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain akan berakhir, dan kurnia untuk menerima pengetahuan akan lenyap.  Hal itu demikian kerana pengetahuan kita dan nubuat yang kita sampaikan tidak lengkap. 10  Namun, apabila apa yang lengkap tiba, apa yang tidak lengkap akan lenyap. 11  Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap seperti kanak-kanak, berfikir seperti kanak-kanak, dan membuat pertimbangan seperti kanak-kanak. Tetapi kini aku sudah dewasa, dan aku tidak lagi berperangai seperti kanak-kanak. 12  Sekarang kita melihat bayangan yang kabur dalam sebuah cermin logam, tetapi kelak kita akan melihat dengan jelas.* Sekarang pengetahuanku tidak lengkap, tetapi kelak aku akan mempunyai pengetahuan yang tepat* tentang Tuhan, sepertimana Dia mempunyai pengetahuan yang tepat tentang aku. 13  Walau bagaimanapun, yang tinggal sekarang ialah iman, harapan, dan kasih. Tetapi antara ketiga-tiganya, kasihlah yang paling penting.

Nota Kaki

Iaitu, sejenis alat muzik.
Atau “panjang sabar.”
Atau “tidak pernah gagal.”
Harfiah, “bersemuka.”
Atau “lengkap.”