Lompat ke kandungan

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Pengguguran Bayi?

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Pengguguran Bayi?

Jawapan Bible

 Bible tidak menyebut secara khusus tentang pengguguran bayi. Tetapi ada banyak ayat Bible yang menunjukkan pandangan Tuhan tentang nyawa, termasuk nyawa bayi yang belum lahir.

 Nyawa ialah kurniaan daripada Tuhan. (Kejadian 9:6; Mazmur 36:9) Dalam pandangan Tuhan, semua nyawa adalah sangat berharga, termasuk nyawa bayi yang masih dalam kandungan ibunya. Maka jika seseorang sengaja menggugurkan kandungannya, hal itu sama dengan perbuatan membunuh.

 Hukum Musa menyatakan, “Jika beberapa orang bergaduh lalu mencederakan seorang wanita hamil dan dia melahirkan bayi yang belum cukup bulan, tetapi wanita itu dan anaknya tidak mati, pesalah mesti membayar ganti rugi menurut permintaan suami wanita itu dengan persetujuan hakim. Tetapi jika wanita itu atau anaknya mati, hukumannya ialah nyawa ganti nyawa.”—Keluaran 21:22, 23. a

 Bilakah nyawa bermula?

 Dalam pandangan Tuhan, nyawa bermula sebaik sahaja persenyawaan berlaku, iaitu apabila seorang ibu menjadi hamil. Dalam Bible, Tuhan memandang seorang bayi yang belum lahir sebagai seorang individu. Mari kita perhatikan beberapa ayat yang menunjukkan bahawa bagi Tuhan, nyawa bayi yang belum dilahirkan adalah sama dengan nyawa bayi yang sudah dilahirkan.

  •   Raja Daud berkata, “Semasa aku masih janin, Engkau sudah melihat aku.” (Mazmur 139:16, nota kaki) Tuhan memandang Daud sebagai seorang individu bahkan sebelum Daud dilahirkan.

  •   Tuhan berfirman kepada Yeremia, “Sebelum Aku membentuk engkau di dalam rahim ibumu, Aku sudah mengenalmu, dan sebelum engkau dilahirkan, Aku sudah menyucikanmu. Aku melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.” (Yeremia 1:5) Tuhan sudah menetapkan tugas untuk Yeremia bahkan sebelum Yeremia dilahirkan.

  •   Penulis Bible yang bernama Lukas, yang merupakan seorang doktor, telah menggunakan perkataan Yunani yang sama untuk merujuk kepada bayi dalam kandungan dan bayi yang sudah dilahirkan.—Lukas 1:41; 2:12, 16.

 Adakah Tuhan akan mengampuni orang yang pernah menggugurkan bayi?

 Meskipun seseorang pernah menggugurkan bayi, Tuhan akan mengampuninya jika dia benar-benar bertaubat dan memupuk pandangan Tuhan tentang nyawa. (Mazmur 86:5) Bible menyatakan, “Yehuwa penuh rahmat dan belas kasihan . . . Sejauh matahari terbit dari matahari terbenam, sejauh itu juga Dia membuang dosa kita.” b (Mazmur 103:8-12) Maka seseorang tidak perlu terus berasa bersalah atas dosa lampaunya jika dia benar-benar bertaubat.

 Adakah pengguguran bayi diizinkan jika nyawa ibu atau bayinya dalam bahaya?

 Berdasarkan ayat-ayat Bible yang disebutkan di atas, pengguguran bayi tidak diizinkan walaupun nyawa ibu atau bayi kemungkinan besar terancam.

 Namun, bagaimana pula jika timbul situasi kecemasan semasa bersalin, dan seseorang terpaksa membuat pilihan antara nyawa ibu dengan nyawa bayi? Situasi sebegitu jarang berlaku, tetapi jika hal itu berlaku, mereka yang terlibat harus membuat keputusan sendiri.

a Beberapa terjemahan Bible memberikan tanggapan bahawa hukuman nyawa ganti nyawa hanya akan dikuatkuasakan jika wanita hamil itu mati. Tetapi dalam bahasa asal, sebenarnya ayat itu merujuk kepada nyawa ibu dan nyawa bayi dalam kandungannya.

b Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.