Jawapan Bible

Ungkapan “kunci-kunci Kerajaan di syurga” melambangkan kekuasaan yang dimiliki seseorang untuk membuka jalan agar orang dapat “masuk ke dalam Kerajaan Tuhan.” (Matius 16:19; Kisah 14:22) * Yesus memberikan “kunci-kunci Kerajaan di syurga” kepada Petrus. Hal ini bermaksud bahawa Petrus diberi kuasa untuk menyingkapkan bahawa umat Tuhan yang setia dapat memasuki Kerajaan di syurga dengan menerima daya aktif Tuhan atau kuasa Tuhan.

Kunci-kunci Kerajaan Tuhan telah digunakan untuk siapa?

Tuhan memberi Petrus kekuasaan untuk membuka jalan kepada tiga golongan orang supaya mereka dapat memasuki Kerajaan Tuhan:

  1. Orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi. Tidak lama selepas Yesus meninggal, Petrus menggalakkan sekumpulan penganut agama Yahudi untuk menerima Yesus sebagai pemerintah Kerajaan Tuhan. Petrus juga membantu mereka mengetahui cara untuk diselamatkan. Dengan itu, dia membuka jalan bagi mereka untuk memasuki Kerajaan Tuhan, dan ribuan orang telah “menerima kata-katanya.”Kisah 2:38-41.

  2. Orang Samaria. Petrus kemudiannya diutus kepada orang Samaria. * Sekali lagi, Petrus menggunakan kunci Kerajaan semasa dia dan Rasul Yohanes berdoa supaya orang Samaria “diberikan daya aktif Tuhan.” (Kisah 8:14-17) Dengan itu, orang Samaria dapat memasuki Kerajaan Tuhan.

  3. Orang bukan Yahudi. Tiga tahun setengah selepas kematian Yesus, Tuhan memberitahu Petrus bahawa orang bukan Yahudi juga berpeluang untuk memasuki Kerajaan Tuhan. Maka, Petrus menggunakan salah sebuah kunci Kerajaan dengan menginjil kepada mereka. Dengan itu, mereka dapat menerima daya aktif Tuhan, menjadi orang Kristian, dan berpeluang menganggotai Kerajaan Tuhan.Kisah 10:30-35, 44, 45.

Apakah maksudnya “masuk ke dalam Kerajaan Tuhan”?

Mereka yang “masuk ke dalam Kerajaan Tuhan” akan memerintah bersama Yesus di syurga. Bible menubuatkan bahawa mereka akan “duduk di atas takhta” dan “memerintah sebagai raja ke atas bumi.”Lukas 22:29, 30; Wahyu 5:9, 10.

Tanggapan yang salah mengenai kunci-kunci Kerajaan

Tanggapan yang salah: Petruslah yang menentukan siapa yang layak pergi ke syurga.

Kebenaran: Menurut Bible, Yesuslah yang “akan menghakimi orang hidup dan orang mati,” bukannya Petrus. (2 Timotius 4:1, 8; Yohanes 5:22) Petrus sendiri juga berkata bahawa Yesus “dilantik oleh Tuhan untuk menghakimi orang hidup dan orang mati.”Kisah 10:34, 42.

Tanggapan yang salah: Petruslah yang menentukan bila kunci-kunci Kerajaan patut digunakan.

Kebenaran: Semasa bercakap tentang kunci-kunci Kerajaan, Yesus memberitahu Petrus, “Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.” (Matius 16:19, Alkitab Berita Baik) Maka, sesetengah orang menganggap bahawa ayat ini bermaksud Petruslah yang berhak membuat keputusan tentang perkara-perkara di syurga. Namun, kata kerja asal yang digunakan dalam bahasa Yunani menunjukkan bahawa Petrus hanya akan bertindak mengikut keputusan yang dibuat di syurga dan bukannya menentukan apa yang harus dilakukan.

Ayat Bible yang lain menunjukkan bahawa Petrus mentaati arahan dari syurga apabila menggunakan kunci-kunci Kerajaan. Misalnya, dia mengikut arahan Tuhan semasa menggunakan kunci yang ketiga.Kisah 10:19, 20.

^ per. 3 Kadangkala, Bible menggunakan perkataan “kunci” untuk melambangkan kekuasaan dan tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang.Yesaya 22:20-22; Wahyu 3:7, 8.

^ per. 7 Agama orang Samaria berbeza daripada agama Yahudi. Namun, sesetengah ajaran dan amalan mereka adalah berdasarkan Hukum Musa.