Jawapan Bible

Pembaptisan bererti seseorang dibenamkan ke dalam air dan keluar daripadanya. * Hal ini menjelaskan mengapa Yesus dibaptis di dalam sungai yang besar. (Matius 3:13, 16) Begitu juga, seorang lelaki Etiopia meminta agar dia dibaptis apabila dia “tiba di suatu tempat yang banyak airnya.”Kisah 8:36-40.

Maksud pembaptisan

Bible menyamakan pembaptisan dengan penguburan. (Roma 6:4; Kolose 2:12) Pembaptisan dalam air melambangkan bahawa seseorang “mati” dan tidak lagi mengikut haluan hidupnya yang lama. Dia kemudiannya menempuh haluan hidup yang baharu sebagai seorang Kristian yang telah membaktikan diri kepada Tuhan. Pembaptisan dan langkah-langkah yang menuju kepadanya merupakan aturan Tuhan bagi seseorang untuk memperoleh hati nurani yang bersih berdasarkan imannya terhadap korban tebusan Yesus Kristus. (1 Petrus 3:21) Maka, Yesus mengajarkan bahawa pengikutnya mesti dibaptis.Matius 28:19, 20.

Adakah pembaptisan dalam air membersihkan dosa?

Tidak. Bible mengajarkan bahawa kita dapat dibersihkan daripada dosa hanya melalui darah Yesus yang dicurahkan. (Roma 5:8, 9; 1 Yohanes 1:7) Walau bagaimanapun, untuk mendapat manfaat daripada korban Yesus, seseorang harus memperlihatkan iman kepadanya, mengubah haluan hidupnya agar selaras dengan ajaran Yesus, dan dibaptis.Kisah 2:38; 3:19.

Adakah Bible mengajarkan pembaptisan bayi?

Tidak. Ajaran ini tidak terdapat dalam Bible. Beberapa buah gereja mengadakan upacara “membaptis” bayi (dengan memercikkan atau menuangkan air ke atas kepalanya) dan memberinya nama. Pembaptisan Kristian adalah bagi mereka yang cukup matang untuk memahami dan mempercayai “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Kisah 8:12) Hal ini berkaitan dengan mendengar firman Tuhan, menerimanya, dan bertaubat—perbuatan yang tidak dapat dilakukan oleh seorang bayi.Kisah 2:22, 38, 41.

Tambahan lagi, Bible menunjukkan bahawa Tuhan memandang kanak-kanak Kristian sebagai suci, atau bersih di mata-Nya, kerana haluan setia ibu bapa. (1 Korintus 7:14) Jika pembaptisan bayi wajar dijalankan, kanak-kanak itu tidak perlu bergantung pada kesetiaan ibu bapa untuk mendapat perkenan Tuhan. *

Tanggapan yang salah mengenai pembaptisan Kristian

Tanggapan yang salah: Selain dibenamkan sepenuhnya ke dalam air, seseorang juga boleh dibaptis dengan memercikkan atau menuangkan air padanya.

Kebenaran: Pembaptisan yang disebut dalam Bible semuanya melibatkan perbuatan membenamkan seseorang. Contohnya, apabila Filipus membaptis lelaki Etiopia itu, mereka “turun ke dalam air” untuk pembaptisan. Selepas itu, “mereka keluar dari air.”Kisah 8:36-39. *

Tanggapan yang salah: Apabila Bible berkata bahawa seisi rumah tangga seseorang dibaptis, hal ini secara tidak langsung bermaksud bayi juga dibaptis. Contohnya, Bible menyebut tentang seorang penjaga penjara di Filipi dan mengatakan bahawa “dia dan seisi rumah tangganya dibaptis.”Kisah 16:31-34.

Kebenaran: Catatan tentang penjaga penjara yang memeluk agama Kristian menunjukkan bahawa mereka yang telah dibaptis memahami “firman Yehuwa” dan “menikmati sukacita yang besar.” (Kisah 16:32, 34) Kebenaran itu menunjukkan bahawa bayi-bayi dalam rumah tangga penjaga penjara itu tidak termasuk dalam pembaptisan, kerana mereka tidak dapat memahami firman Yehuwa.

Tanggapan yang salah: Yesus mengajarkan pembaptisan bayi dengan berkata bahawa Kerajaan Tuhan ialah milik kanak-kanak.Matius 19:13-15; Markus 10:13-16.

Kebenaran: Yesus tidak bercakap mengenai pembaptisan apabila dia mengatakan hal itu. Sebaliknya, dia menunjukkan bahawa mereka yang layak untuk memasuki Kerajaan Tuhan haruslah menjadi seperti kanak-kanak yang rendah hati dan mudah diajar.Matius 18:4; Lukas 18:16, 17.

^ per. 3 Perkataan Yunani yang diterjemahkan “pembaptisan” berasal daripada kata akar yang bermaksud “mencelup.” Lihat Theological Dictionary of the New Testament, Jilid I, muka 529.

^ per. 10 Menurut The International Standard Bible Encyclopedia, “pembaptisan bayi tidak terdapat dalam Perjanjian Baharu.” Buku itu juga menyatakan bahawa amalan itu bermula daripada “pandangan yang salah dan yang dibesar-besarkan mengenai faedah pembaptisan,” iaitu, bahawa pembaptisan dapat membersihkan dosa.—Jilid 1, muka 416-417.

^ per. 13 Di bawah tajuk “Pembaptisan (dalam Bible),” New Catholic Encyclopedia menyatakan: “Pembaptisan dalam Gereja masa awal terbukti dilakukan dengan membenamkan seseorang.”—Jilid 2, muka 59.