Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah Pandangan Bible tentang Alkohol? Adakah Seseorang Berdosa jika Dia Meminum Alkohol?

Jawapan Bible

Jika seseorang meminum alkohol secara sederhana, dia tidak berdosa. Dalam Bible, wain disebut sebagai pemberian daripada Tuhan yang dapat menggembirakan hati manusia. (Mazmur 104:14, 15; Pengkhutbah 3:​13; 9:7) Bible juga setuju bahawa wain membawa manfaat dari segi perubatan.​—1 Timotius 5:​23.

Yesus meminum wain semasa dia di bumi. (Matius 26:29; Lukas 7:​34) Dia juga pernah menukar air menjadi wain di sebuah majlis perkahwinan, dan pemberian yang murah hati ini merupakan salah satu mukjizat Yesus yang paling terkenal.​—Yohanes 2:​1-​10.

Bahayanya meminum alkohol secara berlebihan

Walaupun Bible menyebut tentang kebaikan wain, Bible juga mengutuk kemabukan dan amalan minum secara berlebihan. Jadi, seorang Kristian yang ingin meminum alkohol haruslah berbuat demikian secara sederhana. (1 Timotius 3:8; Titus 2:​2, 3) Bible memberi beberapa sebab mengapa kita tidak patut meminum alkohol secara berlebihan.

  • Keupayaan kita untuk berfikir dan membuat keputusan yang baik akan menjadi lemah. (Amsal 23:29-​35) Seseorang yang mabuk tidak dapat memenuhi perintah Bible untuk “mempersembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan. . . . menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.”​—Roma 12:1.

  • Meminum alkohol secara berlebihan boleh menghilangkan keupayaan untuk mengawal diri dan “melemahkan tekad seseorang untuk melakukan apa yang benar.”​—Hosea 4:​11; Efesus 5:​18.

  • Tabiat ini boleh mengakibatkan kemiskinan dan masalah kesihatan yang serius.—Amsal 23:21, 31, 32.

  • Tuhan tidak perkenan terhadap orang yang mabuk dan minum keterlaluan.​—Amsal 23:20; Galatia 5:​19-​21.

Apakah maksud “minum keterlaluan”?

Seseorang telah minum keterlaluan apabila dia membahayakan keselamatan diri sendiri atau orang lain setelah meminum alkohol. Seseorang boleh dikatakan mabuk walaupun dia tidak pengsan. Menurut Bible, tanda-tanda kemabukan termasuk tidak boleh berfikir dengan waras, berjalan dengan terhuyung-hayang, suka bertengkar, atau bercakap dengan tidak jelas. (Ayub 12:25; Mazmur 107:27; Amsal 23:29, 30, 33) Biarpun mereka yang tidak menjadi mabuk juga mungkin “sarat dengan . . . minum berlebihan” dan mengalami akibat yang buruk.—Lukas 21:34, 35.

Tidak meminum alkohol sama sekali

Bible juga menyebut bila seseorang Kristian harus menahan diri daripada meminum alkohol:

  • Jika orang lain akan tersandung.​—Roma 14:21.

  • Jika meminum alkohol itu melanggar undang-undang tempatan.​—Roma 13:1.

  • Jika seseorang tidak dapat mengawal diri apabila meminum alkohol. Orang yang ketagihan alkohol atau menyalahgunakan alkohol mesti mengambil tindakan yang drastik.​—Matius 5:​29, 30.