Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Maklumat dalam Bible Bercanggahan?

Adakah Maklumat dalam Bible Bercanggahan?

Jawapan Bible

Semua maklumat dalam Bible tidak bercanggahan. Biarpun sesetengah ayat nampaknya bercanggahan, kita dapat memahaminya dengan tepat jika kita menggunakan satu atau lebih prinsip yang berikut:

  1. Pertimbangkan konteksnya. Tulisan sesiapa pun akan kelihatan bercanggahan jika kata-katanya tidak dibaca dalam konteks yang betul.

  2. Pertimbangkan sudut pandangan penulis. Apabila beberapa orang menggambarkan peristiwa yang sama, mereka mungkin tidak akan menggunakan perkataan yang sama atau berfokus kepada hal-hal yang sama.

  3. Pertimbangkan fakta sejarah dan adat pada zaman itu.

  4. Kenal pasti sama ada suatu perkataan digunakan secara harfiah atau secara kiasan.

  5. Ingat bahawa seseorang mungkin dikatakan melakukan sesuatu biarpun bukan dia sendiri yang melakukannya. *

  6. Gunakan Bible yang diterjemahkan dengan tepat.

  7. Perhatikan apa yang dicatatkan dalam Bible, dan jangan membiarkan pemahaman anda dipengaruhi oleh ajaran atau doktrin agama.

Contoh yang berikut menunjukkan cara anda dapat menggunakan prinsip-prinsip di atas untuk memahami maklumat Bible yang nampaknya bercanggahan.

Prinsip 1: Konteks

Jika Tuhan berehat pada hari ketujuh, mengapakah Dia dikatakan terus bekerja? Buku Kejadian menyatakan bahawa “pada hari ketujuh [Tuhan] mula berehat daripada semua kerja yang dilakukan-Nya.” Menurut konteks ayat ini, kita tahu bahawa “kerja” dalam ayat ini merujuk kepada kerja-kerja yang berkaitan dengan penciptaan bumi. (Kejadian 2:​2-4) Maka apabila Yesus mengatakan bahawa Tuhan “terus bekerja sehingga sekarang,” kata-katanya sebenarnya tidak bercanggahan dengan ayat ini kerana dia sedang merujuk kepada kerja Tuhan yang lain. (Yohanes 5:​17) Kerja Tuhan yang lain merangkumi mengilhami penulisan Bible dan membimbing serta menjaga umat manusia.​—Mazmur 20:6; 105:5; 2 Petrus 1:​21.

Prinsip 2 dan 3: Sudut pandangan penulis dan sejarah

Di manakah Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang buta? Buku Lukas menyatakan bahawa Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang buta “semasa Yesus hampir tiba di Yerikho,” tetapi dalam buku Matius, Matius pula menulis bahawa Yesus menyembuhkan dua orang lelaki yang buta semasa dia “meninggalkan Yerikho.” (Lukas 18:35-​43; Matius 20:29-​34) Kedua-dua catatan ini merujuk kepada peristiwa yang sama dan tidak bercanggahan kerana Lukas dan Matius menulisnya berdasarkan sudut pandangan yang berbeza. Catatan Matius lebih terperinci kerana dia menyebut tentang dua orang lelaki yang buta, manakala Lukas pula berfokus kepada lelaki buta yang bercakap dengan Yesus. Selain itu, ahli-ahli kaji purba mendapati bahawa pada zaman Yesus, Yerikho terdiri daripada dua buah kota. Salah satu kota itu ialah kota lama yang dibina oleh orang Yahudi. Kota itu terletak kira-kira 1.5 kilometer daripada kota baharu yang dibina oleh orang Roma. Maka Yesus mungkin sedang berada di antara dua kota itu semasa dia melakukan mukjizat ini.

Prinsip 4: Maksud harfiah dan kiasan

Adakah bumi akan dibinasakan? Ada orang berpendapat bahawa maklumat Bible bercanggahan kerana Pengkhutbah 1:4 menyatakan bahawa “bumi kekal buat selama-lamanya,” manakala 2 Petrus 3:​10 pula menyatakan bahawa “unsur-unsur di langit dan di bumi akan lebur kerana terlalu panas.” Tetapi dalam Bible, perkataan “bumi” boleh digunakan secara harfiah untuk merujuk kepada planet bumi, dan secara kiasan untuk merujuk kepada orang yang tinggal di bumi. (Kejadian 1:1; 11:1) Pembinasaan “bumi” yang digambarkan di 2 Petrus 3:​10 merujuk kepada “pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan,” bukannya pembinasaan planet bumi.​—2 Petrus 3:7.

Prinsip 5: Siapa yang bertindak atau bercakap

Di Kapernaum, siapakah yang meminta bantuan Yesus? Matius 8:​5, 6 menyatakan bahawa seorang pegawai tentera datang meminta bantuan Yesus, tetapi Lukas 7:3 pula menyatakan bahawa pegawai itu mengutus para pemimpin orang Yahudi kepada Yesus untuk meminta bantuannya. Dua catatan ini mungkin nampaknya bercanggahan, tetapi secara logiknya, kita dapat menyimpulkan bahawa pegawai tentera itulah yang menginginkan bantuan Yesus, tetapi dia mengutus para pemimpin orang Yahudi untuk menyampaikan permintaan itu kepada Yesus.

Prinsip 6: Terjemahan yang tepat

Adakah kita semua berdosa? Bible mengajarkan bahawa kita semua mewarisi dosa daripada Adam. (Roma 5:​12) Tetapi beberapa terjemahan nampaknya bercanggahan dengan ajaran ini dan menyatakan bahawa orang yang baik “tidak berdosa.” (1 Yohanes 3:6, The Bible in Basic English; King James Version) Tetapi dalam bahasa Yunani yang asal, kata kerja yang diterjemahkan sebagai “dosa” di 1 Yohanes 3:6 merujuk kepada tindakan yang berterusan. Ada perbezaan antara mewarisi dosa, yang tidak dapat kita hindari, dengan perbuatan sengaja mengingkari perintah Tuhan secara berterusan. Maka untuk memperjelas maksud ayat tersebut, sebilangan Bible menterjemahkan ayat ini dengan menyatakan “tidak akan mengamalkan perbuatan berdosa” atau “tidak terus-menerus berbuat dosa.”​—Terjemahan Dunia Baharu; Alkitab Berita Baik.

Prinsip 7: Fahami Bible, bukannya doktrin

Adakah Yesus setara dengan Tuhan, atau adakah kedudukannya lebih rendah daripada Tuhan? Yesus pernah berkata, “Aku dan Bapa satu,” tetapi dia juga pernah berkata, “Bapa lebih besar daripada aku.” (Yohanes 10:30; 14:28) Untuk memahami ayat-ayat ini dengan betul, kita perlu mengkaji apa yang dikatakan Bible tentang Yehuwa dan Yesus, dan bukannya membenarkan doktrin agama yang tidak berdasarkan Bible, seperti Tritunggal, untuk mempengaruhi pemahaman kita. Bible menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Bapa kepada Yesus dan Tuhan kepada Yesus. Ya, Yesus pun menyembah Yehuwa. (Matius 4:​10; Markus 15:34; Yohanes 17:3; 20:17; 2 Korintus 1:3) Maka Yesus tidak setara dengan Tuhan.

Apabila kita melihat konteks kata-kata Yesus, “Aku dan Bapa satu,” kita dapat melihat bahawa Yesus sedang menyatakan bahawa dia dan Bapanya mempunyai satu matlamat dan mereka sehati sejiwa untuk mencapai matlamat itu. Yesus kemudiannya juga berkata, “Bapa bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Bapa.” (Yohanes 10:38) Yesus juga bersatu dengan para pengikutnya kerana dalam doanya kepada Tuhan, dia berkata, “Aku telah memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepadaku, supaya mereka menjadi satu sepertimana kita juga satu. Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan aku.”​—Yohanes 17:22, 23.

^ per. 8 Misalnya, berkenaan Taj Mahal, buku Encyclopædia Britannica menyatakan bahawa “makam itu dibina oleh maharaja empayar Mughal, iaitu Shah Jahān.” Tetapi bukan Shah Jahān sendiri yang membinanya kerana buku itu juga menyatakan bahawa “lebih daripada 20,000 orang pekerja telah diupah” untuk membinanya.