Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Boleh Menghadapi Kesedihan?

Bagaimanakah Saya Boleh Menghadapi Kesedihan?

“Apabila orang lain menghadapi masalah, sayalah penawar mereka. Tetapi sebenarnya, saya sering menangis dalam bilik sendiri dan tidak ramai orang yang tahu akan hal ini.”​—⁠Kellie.

“Setiap kali saya berasa sedih, saya lebih suka bersendirian. Jika saya dijemput ke mana-mana, saya akan memberikan alasan untuk tidak pergi. Keluarga saya pun tidak perasan apabila saya sedih. Jadi, mereka fikir saya OK sahaja.”​—⁠Rick.

Pernahkah kamu berasa seperti Kellie dan Rick? Jika ya, jangan segera menyimpulkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kamu. Sebenarnya, semua orang akan berasa sedih dari masa ke masa, bahkan lelaki dan perempuan yang setia dalam Bible pun pernah berasa sedemikian.​—⁠1 Samuel 1:​6-8; Mazmur 35:14.

Kamu mungkin tahu sebab kamu berasa sedih, tetapi ada kalanya kamu mungkin tidak. “Kesedihan tidak selalunya disebabkan oleh keadaan yang teruk. Perasaan ini boleh timbul pada bila-bila masa, meskipun kehidupan kamu bebas daripada sebarang masalah. Memang pelik, tetapi inilah hakikatnya!” kata Anna yang berumur 19 tahun.

Tidak kira kamu tahu sebabnya atau tidak, apakah yang dapat kamu buat apabila diselubungi kesedihan? Cubalah cadangan-cadangan yang berikut:

  1. Luahkan perasaan kamu. Semasa Ayub menderita, dia berkata, “Aku akan menyatakan kepahitan jiwaku.”​—⁠Ayub 10:1.

    Kellie: Saya betul-betul rasa lega selepas meluahkan perasaan saya. Akhirnya, ada orang yang faham apa yang saya lalui. Mereka seolah-olah menurunkan tali dan menarik saya keluar dari lubang itu. Akhirnya, saya rasa diselamatkan!

  2. Catatkan perasaan kamu. Apabila diselubungi perasaan sedih, cubalah mencatatkan fikiran kamu pada kertas. Itulah yang dibuat oleh Daud. Dalam buku Mazmur yang diilhami Tuhan, ada kalanya dia meluahkan rasa sedihnya yang mendalam. (Mazmur 6:6) Dengan berbuat demikian, kamu dapat berpegang pada “hikmat dan pengertian.”​—⁠Amsal 3:​21.

    Heather: Semasa saya sedih, fikiran saya bercelaru. Namun, fikiran saya lebih tenang setelah saya mencatatkan kesedihan yang saya alami. Hasilnya, saya dapat berfikir dengan waras dan dibantu untuk menghadapi kesedihan dengan lebih baik.

  3. Berdoa. Bible menyatakan bahawa jika kamu meluahkan kekhuatiran kepada Tuhan, “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”​—⁠Filipi 4:​6, 7.

    Esther: Biarpun berkali-kali saya cuba, saya masih tidak faham sebabnya saya bersedih. Saya mohon bantuan Yehuwa untuk menjadi gembira. Saya benci perasaan sedih yang datang tanpa sebab. Akhirnya saya berjaya mengatasinya. Maka, janganlah meremehkan kuasa doa!

    Dengan adanya bantuan dan usaha, kamu mampu mengatasi kesedihan

    Cadangan: Gunakan Mazmur 139:23, 24 sebagai panduan semasa kamu berdoa kepada Yehuwa. Luahkan isi hati kamu kepada Yehuwa, dan mintalah Dia membantu kamu untuk mengenal pasti punca kesedihan kamu.

Sebagai tambahan, Firman Tuhan mengandungi maklumat yang amat bernilai bagi kamu. Isilah minda kamu dengan fikiran membina yang ada dalam Bible. Hal ini dapat membantu kamu menghadapi perasaan sendiri dengan lebih baik.​—⁠Mazmur 1:​1-3.

Menghadapi kesedihan yang berlanjutan

Ryan berkata, “Pada sesetengah pagi, saya rasa adalah lebih baik untuk terus baring di katil sahaja. Memang susah untuk berdepan dengan satu lagi hari yang tidak bermakna.” Ryan menghidap kemurungan klinikal, namun dia tidak keseorangan. Kajian menunjukkan bahawa satu daripada empat kaum muda didapati menghidap kemurungan pada tahap tertentu sebelum mereka menjadi dewasa.

Bagaimanakah kamu boleh tahu jika kamu telah menghidap kemurungan? Antara simptomnya ialah perubahan yang ketara dalam kelakuan dan perasaan, suka mengasingkan diri, hilang minat dalam banyak aktiviti, perubahan yang besar dalam tabiat makan dan tidur, serta rasa tidak berharga atau rasa bersalah yang kuat dan tidak berasas.

Memang, ada kalanya kita mengalami satu atau beberapa simptom yang disebutkan tadi. Namun, jika simptom tersebut berlanjutan untuk berminggu-minggu, beritahulah ibu bapa kamu. Mungkin kamu perlu bantuan doktor untuk menentukan sama ada kesedihan kamu berkaitan dengan masalah kesihatan tertentu atau tidak.

Biarpun kamu didapati menghidap kemurungan klinikal, kamu tidak perlu berasa malu. Dengan adanya rawatan, ramai orang yang murung beransur pulih dan berasa ceria kembali. Tidak kira apa pun penyebabnya, ingatlah kata-kata pemazmur di Mazmur 34:18: “Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.”