Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Saya Bersedia untuk Berdating?

 Apakah maksudnya berdating?

  • Kamu selalu keluar dengan seseorang yang berlawanan jantina. Adakah kamu sedang berdating?

  • Kamu tertarik kepada seseorang, dan dia juga tertarik kepada kamu. Setiap hari, kamu menghantar SMS atau menelefonnya beberapa kali. Adakah kamu sedang berdating?

  • Setiap kali kamu berjumpa dengan kawan-kawan, kamu hanya berfokus kepada seseorang yang berlawanan jantina dan meluangkan banyak masa bersamanya. Adakah kamu sedang berdating?

Kamu mungkin dapat menjawab soalan pertama dengan mudah. Tetapi kamu mungkin teragak-agak semasa menjawab soalan kedua dan ketiga. Apakah sebenarnya maksud berdating?

Berdating bermaksud kamu hanya menumpukan perhatian kepada satu orang dan orang itu juga berfokus kepada kamu sahaja.

Jadi jawapan kepada ketiga-tiga soalan itu ialah ya. Jika kamu dan seorang kawan yang berlawanan jantina menunjukkan perasaan romantik kepada satu sama lain secara terbuka atau tersembunyi, dan jika kamu berdua selalu berjumpa atau berhubung, hal itu bermaksud bahawa kamu sedang berdating.

 Apakah sepatutnya tujuan berdating?

Berdating sepatutnya mempunyai tujuan yang mulia, iaitu membantu seorang lelaki dan wanita untuk menentukan sama ada mereka ingin berkahwin atau tidak.

Tetapi sesetengah rakan sebaya kamu tidak berpandangan sedemikian. Mereka mungkin tidak berniat untuk berkahwin, dan hanya suka meluangkan masa dengan seorang kawan baik yang berlawanan jantina. Ada juga yang menganggap teman lelaki atau wanita mereka sebagai piala untuk dilihat orang demi menaikkan harga diri mereka.

Biasanya hubungan sebegini tidak berkekalan. Seorang gadis bernama Heather berkata, “Banyak orang muda yang berdating akan berpisah selepas satu atau dua minggu.” Dia juga berkata, “Mereka memandang hubungan sebegini sebagai hubungan sementara. Boleh dikatakan mereka membuat persiapan untuk bercerai, bukannya untuk berkahwin.”

Jika kamu berdating dengan seseorang, kamu akan mempengaruhi perasaannya. Jadi pastikan bahawa kamu mempunyai niat yang betul.—Lukas 6:31.

Jika kamu berdating tanpa niat untuk berkahwin, kamu berkelakuan seperti anak kecil yang bermain dengan mainan baharu lalu membuangnya

Fikirkan: Adakah kamu suka jika seseorang mempermainkan perasaan kamu seolah-olah perasaan kamu itu mainan kanak-kanak yang dipegang sebentar lalu tidak lama kemudian ditinggalkan begitu sahaja? Jika kamu tidak suka perbuatan sedemikian, janganlah melayan orang lain dalam cara yang sama! Bible menyatakan bahawa kasih “tidak bersikap biadab.”—1 Korintus 13:4, 5.

Seorang gadis yang bernama Chelsea berkata, “Kadangkala saya berasa bahawa berdating hanya untuk main-main saja, tapi jika satu pihak menganggapnya sesuatu yang serius, hal ini bukan main-main lagi.”

Tip: Untuk membuat persediaan untuk berdating dan berkahwin, bacalah 2 Petrus 1:5-7 dan pilih satu sifat yang ingin kamu usahakan. Selepas satu bulan, lihatlah sama ada kamu telah membuat kemajuan atau tidak.

 Berapakah umur yang sesuai untuk mula berdating?

  •  Pada pendapat kamu, berapakah umur yang sesuai untuk mula berdating?

  •  Sekarang tanya ibu bapa kamu soalan ini.

Kemungkinan besar kamu dan ibu bapa kamu memberikan jawapan yang berbeza. Tetapi kamu dan ibu bapa kamu juga mungkin mempunyai jawapan yang sama. Jika demikian, hal ini menunjukkan bahawa kamu memang bijak kerana kamu sanggup menunggu sehingga kamu lebih matang dan mengenal diri dengan lebih baik sebelum mula berdating.

Danielle, seorang gadis yang berusia 17 tahun, telah memilih untuk berbuat demikian. Dia berkata, “Dua tahun lalu, sifat-sifat yang saya inginkan daripada bakal suami saya jauh berbeza dengan apa yang saya inginkan sekarang. Sebenarnya sekarang pun, saya tidak yakin untuk membuat keputusan ini. Selepas saya menjadi stabil dari segi emosi dan mental selama beberapa tahun, barulah saya akan berfikir tentang berdating.”

Terdapat satu lagi sebab mengapa kamu harus menunggu sebelum mula berdating. Bible menyatakan bahawa semasa remaja, orang mempunyai dorongan seksual dan perasaan romantik yang sangat kuat. (1 Korintus 7:36) Jika kamu mempunyai hubungan yang rapat dengan seseorang yang berlawanan jantina sewaktu kamu masih remaja, hal ini mungkin akan membangkitkan hawa nafsu dan menyebabkan perbuatan yang tidak bermoral.

Barangkali rakan sebaya kamu tidak memandang serius tentang hal ini. Ramai antara mereka mungkin beria-ia untuk melakukan hubungan seks. Tetapi kamu patut berusaha untuk melawan pemikiran sedemikian! (Roma 12:2) Bible menyatakan, “Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.” (1 Korintus 6:18) Jadi jika kamu menunggu dan mula berdating setelah kamu melewati zaman remaja, kamu dapat menghindari banyak masalah.—Pengkhutbah 11:10.

 Mengapakah saya perlu menunggu?

Ditekan untuk berdating padahal kamu belum bersedia sama seperti dipaksa menduduki ujian akhir suatu mata pelajaran yang belum kamu pelajari. Hal itu memang tidak adil! Kamu memerlukan masa untuk mempelajari mata pelajaran itu agar kamu biasa dengan soalan-soalan yang akan keluar semasa ujian.

Begitu juga dengan berdating.

Berdating bukan hal remeh. Jadi, sebelum kamu bersedia untuk berfokus kepada seseorang, kamu memerlukan masa untuk mempelajari “mata pelajaran” yang sangat penting, iaitu cara menjalinkan persahabatan.

Dengan demikian, pada kemudian hari, apabila kamu bertemu dengan pasangan hidup yang sesuai, kamu lebih bersedia untuk menjalinkan hubungan yang stabil. Sebenarnya, perkahwinan yang berjaya ialah ikatan persahabatan yang baik antara dua orang individu.

Jika kamu sudi menunggu, hal itu tidak akan menyekat kebebasan kamu. Sebaliknya, kamu akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk ‘bersukacita sementara kamu masih muda.’ (Pengkhutbah 11:9) Kamu juga akan mempunyai masa untuk mempersiapkan diri sebelum berdating dengan memperbaik keperibadian kamu dan kerohanian kamu.—Ratapan 3:27.

Sementara itu, kamu dapat menikmati pergaulan dengan kawan yang berlawanan jantina. Apakah cara yang terbaik? Bergaullah dengan sekumpulan kawan dan pastikan terdapat beberapa orang dewasa untuk memantau kamu. Seorang gadis yang bernama Tammy berkata, “Saya rasa cara ini lebih baik. Lebih baik untuk mempunyai banyak kawan.” Monica juga bersetuju dengan kata-kata Tammy. Dia berkata, “Bergaul dalam sebuah kumpulan ialah idea yang bagus kerana kita dapat bergaul dengan orang yang mempunyai pelbagai keperibadian.”

Sebaliknya, jika kamu terlalu berfokus kepada satu orang, kebarangkalian untuk patah hati lebih tinggi. Jadi, jangan terburu-buru. Gunakan masa muda kamu untuk mempelajari cara memupuk dan mempertahankan persahabatan. Pada kemudian hari, jika kamu ingin mula berdating, kamu sudah lebih mengenal diri sendiri dan mengetahui apa yang kamu inginkan daripada seorang teman hidup.