BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Mengapakah Membaca Penting untuk Anak—Bahagian 2: Elektronik atau Bercetak?
Adakah anak anda lebih suka membaca daripada buku bercetak atau melalui alat elektronik?
Ramai kaum muda lebih suka membaca melalui alat elektronik. Dr. Jean M. Twenge menulis, “Bagi generasi yang biasa klik pautan atau scroll ke muka surat seterusnya dalam beberapa saat, buku bercetak tidak dapat menarik perhatian mereka.” a
Membaca melalui alat elektronik memang ada manfaatnya. John, yang berumur 20 tahun berkata, “Sekolah yang saya pergi dulu menggunakan buku-buku elektronik. Fungsi carian telah membantu saya jumpa maklumat yang saya perlukan dengan cepat.”
Bagi orang yang membaca melalui alat elektronik, terdapat beberapa alat bantuan di hujung jari mereka. Contohnya, mereka hanya perlu klik atau tekan skrin untuk mencari maksud suatu perkataan, memainkan rakaman audio, menonton video yang berkaitan, atau mendapatkan maklumat tambahan melalui pautan. Namun, adakah hal ini bermaksud bahawa membaca daripada bahan bercetak kurang bermanfaat?
Sesetengah orang lebih suka membaca daripada bahan bercetak semasa melakukan pembelajaran yang mendalam. Mengapa?
Perhatian. Seorang remaja yang bernama Nathan berkata, “Semasa saya membaca daripada skrin, iklan-iklan dan notifikasi sering mengganggu tumpuan saya.”
Karen, yang berumur 20 tahun, menghadapi cabaran yang serupa. Dia berkata, “Jika saya membaca melalui fon atau tablet, perhatian saya mudah tersimpang. Saya mungkin akan membuka aplikasi lain yang tidak berkaitan atau main game.”
Prinsip Bible: “Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Kolose 4:5.
Cuba renungkan: Adakah anak anda mempunyai kawalan diri untuk mengelakkan gangguan sewaktu membaca atau belajar melalui alat elektronik? Jika tidak, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk belajar cara menumpukan perhatian?
Tip: Bantu anak anda untuk memahami bahawa jika tumpuannya dialihkan oleh hal lain yang terdapat dalam alat elektroniknya, sesi kerja rumahnya akan menjadi lebih panjang. Masa yang dibazirkan itu sebenarnya boleh digunakan untuk aktiviti lain yang dia suka.
Pemahaman. Buku Be the Parent, Please berkata, “Pelbagai eksperimen telah menunjukkan bahawa pembaca lebih memahami apa yang dibacanya apabila membaca daripada bahan bercetak berbanding membaca daripada skrin.”
Salah satu sebabnya adalah kerana orang yang membaca sesuatu melalui alat elektronik cenderung membacanya sekilas pandang daripada mengkajinya dengan mendalam. Seorang penulis yang bernama Nicholas Carr menyatakan, “Semasa menggunakan Internet, kita ingin mengumpulkan maklumat secepat yang mungkin.” b
Ada kalanya, membaca sekilas pandang ada manfaatnya. Namun, seperti yang dikatakan Carr, gaya membaca ini “sedang menjadi cara utama pembacaan kita.” Akibatnya, anak anda mungkin memupuk tabiat membaca sesuatu dengan cepat tanpa memahami maksudnya.
Prinsip Bible: “Bersama dengan segala yang kamu peroleh, pastikanlah kamu memperoleh pengertian.”—Amsal 4:7.
Cuba renungkan: Tidak kira buku bercetak atau alat elektronik, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda belajar untuk mengkaji suatu topik dengan lebih mendalam?
Tip: Jadilah seimbang. Anda tidak semestinya memilih hanya satu kaedah membaca. Kedua-dua kaedah tersebut ada manfaatnya. Sesetengah ciri alat elektronik dapat membantu kita memahami sesuatu dengan lebih mudah. Oleh itu, jadilah seimbang semasa membincangkan baik buruk kedua-dua kaedah pembacaan ini bersama anak-anak anda. Ingatlah juga bahawa setiap anak adalah berbeza dan unik.
Ingatan. Dalam sebuah rencana yang diterbitkan oleh Scientific American, Ferris Jabr menyatakan bahawa berbanding dengan pembacaan bahan bercetak, pembacaan melalui alat elektronik mungkin “akan menjadikan minda kita lebih penat . . . dan membuat kita lebih susah untuk mengingati apa yang dibaca.”
Contohnya, membaca daripada buku bercetak dapat membantu anda mengingati suatu maklumat kerana anda akan ingat di mana anda melihat maklumat tersebut dalam muka surat yang telah dibaca. Hal ini bagaikan meletakkan “penanda buku” secara mental untuk rujukan pada kemudian hari.
Selain itu, para penyelidik telah mendapati bahawa orang yang membaca bahan bercetak dapat mengingati maklumat yang dibaca dengan lebih baik. Hal ini kerana mereka nampaknya mempelajari maklumat tersebut dengan lebih baik.
Prinsip Bible: “Janganlah lepaskan hikmat dan daya pemikiran.”—Amsal 3:21, nota kaki.
Cuba renungkan: Adakah anak anda susah memahami atau mengingati apa yang telah dia baca atau pelajari? Jika ya, bagaimanakah anda dapat memperbaik tabiat membaca anak anda? Adakah bahan bercetak dapat membantunya?
Tip: Pertimbangkan hasil pembelajaran anak anda, dan bukan hanya kaedah yang suka digunakannya untuk belajar. Biasanya, orang cenderung berfikir bahawa mereka lebih memahami apa yang dibaca jika mereka membacanya melalui alat elektronik. Namun, hal ini tidak selalunya benar.