Lompat ke kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | AYUB

Yehuwa Menyembuhkan Kesakitannya

Yehuwa Menyembuhkan Kesakitannya

Akhirnya, kumpulan lelaki itu berhenti bercakap. Suasana menjadi sunyi, dan hanya kedengaran bisikan angin panas yang bertiup dari gurun Arab. Ayub berdiam diri kerana sangat penat setelah perdebatan yang panjang tadi. Bayangkan Ayub memandang tiga orang sahabatnya, Elifas, Bildad, dan Zofar, dengan marah. Tetapi mereka tidak berani untuk bercakap lagi. Walaupun mereka melontarkan banyak tuduhan dan kata-kata yang tajam, semua itu tidak dapat mematahkan semangat Ayub. Betapa malunya mereka apabila semua “cakap kosong” mereka gagal. (Ayub 16:3) Ya, Ayub semakin bertekad untuk mempertahankan integritinya.

Bagi Ayub, integritinya, atau kesetiaannya kepada Yehuwa, adalah hal yang paling penting dalam hidupnya. Ayub telah kehilangan kekayaannya, dan kesemua 10 orang anaknya dibunuh. Kawan-kawan dan jiran-jirannya tidak lagi menyokong dan menghormatinya. Bahkan kesihatannya pun menjadi teruk. Kulitnya menjadi hitam kerana berpenyakit, diselaputi keruping dan penuh dengan cacing, sehingga bau nafasnya pun menjadi busuk dan menjijikkan. (Ayub 7:5; 19:17; 30:30) Namun demikian, tuduhan tiga orang lelaki itu telah membangkitkan kemarahan Ayub, lalu dia bertekad untuk membela diri dan membuktikan bahawa dia tidak berdosa. Ucapan terakhir Ayub telah berjaya membungkam kata-kata mereka yang menusuk hati. Tetapi Ayub tetap sakit secara fizikal dan emosi, dan dia sangat memerlukan bantuan!

Walaupun kita dapat memahami sebabnya Ayub susah untuk mengekalkan pandangan yang seimbang terhadap situasinya sendiri, dia masih memerlukan bimbingan dan pembetulan. Tiga orang sahabat Ayub sepatutnya menggalakkannya dan melegakan hatinya dengan ikhlas, tetapi mereka telah gagal berbuat demikian. Adakah anda juga pernah berasa bahawa anda sangat memerlukan bimbingan dan kelegaan? Adakah anda pernah berasa kecewa apabila orang yang dianggap sebagai sahabat tidak memberikan bantuan kepada anda? Kita dapat belajar dari cara Tuhan Yehuwa membantu hamba-Nya Ayub dan cara Ayub menerima bantuan tersebut. Hal ini dapat memberi anda harapan serta dapat membantu anda secara praktikal.

Seorang Penasihat yang Bijak dan Baik Hati

Kemudian, kita mendapati bahawa sebenarnya ada seorang lagi yang berada di sana sepanjang perdebatan antara Ayub dan tiga orang sahabatnya. Lelaki itu lebih muda berbanding dengan mereka, dan dia hanya memperhatikan perbualan mereka. Namanya Elihu, dan telinganya berdesing setelah mendengar kata-kata mereka.

Elihu berasa marah terhadap Ayub, kerana Ayub membiarkan dirinya dihasut untuk “tidak menyanjung keadilan Tuhan dan asyik berkata bahawa dia tidak bersalah.” Namun, Elihu juga bersimpati terhadap Ayub, kerana dia betul-betul menderita. Ayub seorang yang ikhlas, dan dia benar-benar memerlukan kelegaan hati dan nasihat yang lemah lembut. Tidak hairanlah Elihu tidak bersabar lagi dengan tiga orang sahabat Ayub yang palsu itu! Melalui kata-kata yang tajam, mereka cuba melemahkan iman, menjatuhkan maruah dan menyoalkan integriti Ayub. Lebih teruk lagi, kata-kata mereka yang berputar belit menyatakan bahawa Tuhan itu jahat. Sudah tentu Elihu tidak dapat menahan kata-katanya lagi!—Ayub 32:2-4, 18.

Elihu berkata, “Aku masih muda sedangkan kamu semua sudah tua. Maka aku menahan diri dan tidak menyatakan pendapatku. Aku ingin menunjukkan hormat kepada kalian.” Tetapi dia tidak dapat berdiam diri lagi, kerana dia sedar bahawa “orang yang tua tidak semestinya bijaksana, dan orang yang lanjut usia tidak semestinya memahami apa yang benar.” (Ayub 32:6, 9) Hal itu terbukti benar dalam ucapan Elihu. Cara dia bercakap kepada Ayub sangat berbeza dengan cara Elifas, Bildad, dan Zofar. Elihu meyakinkan Ayub bahawa dia tidak akan dipandang rendah atau diberikan lebih banyak tekanan. Elihu menghormati Ayub dengan menggunakan namanya, dan mengakui bahawa Ayub telah dihina oleh sahabatnya. * Dengan penuh hormat, Elihu berkata, “Hai Ayub, sekarang dengarlah kata-kataku.”—Ayub 33:1, 7; 34:7.

Elihu menyebut nama Ayub dan memperlakukannya dengan baik hati serta rasa hormat

Dengan jujur, Elihu menasihati Ayub, “Aku selalu mendengar kata-katamu . . .: ‘Aku suci, dan aku tidak berbuat dosa; aku murni, dan aku tidak berbuat salah. Tetapi Tuhan mencari alasan untuk menentang aku.’” Kemudian, Elihu mendedahkan punca masalah Ayub dengan menanya, “Adakah kamu begitu yakin bahawa kamu benar sehingga kamu berkata, ‘Aku lebih adil daripada Tuhan?’” Elihu ingin membetulkan fikiran Ayub yang salah ini, lalu dia berkata, “Kamu tidak patut berkata demikian.” (Ayub 33:8-12; 35:2) Elihu sedar bahawa Ayub sangat marah kerana dia telah hilang segala sesuatu, dan sahabat-sahabatnya yang palsu menindasnya. Tetapi Elihu mengingatkan Ayub, “Berwaspadalah! Jangan biarkan kemarahanmu mendorong kamu berbuat jahat.”—Ayub 36:18.

Elihu Menonjolkan Kebaikan Hati Yehuwa

Yang paling penting, Elihu menjelaskan bahawa Tuhan Yehuwa selalu bertindak dengan adil dan benar. Elihu mengungkapkan kebenaran ini dengan berkata, “Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah! . . . Tuhan Yang Maha Kuasa tidak akan memutarbalikkan keadilan.” (Ayub 34:10, 12) Kemudian, Elihu mengingatkan Ayub bahawa Yehuwa tidak segera menghakimi Ayub apabila dia mengucapkan kata-kata yang melulu. Walaupun Yehuwa ialah Tuhan yang adil, Dia juga penuh dengan belas kasihan. (Ayub 35:13-15) Dengan rendah hati, Elihu mengakui bahawa dia tidak mempunyai semua jawapan. Sebaliknya, dia bertanya, “Siapakah yang mengetahui segala-galanya tentang keagungan Tuhan?”—Ayub 36:26.

Walaupun Elihu berterus-terang semasa menasihati Ayub, dia tetap baik hati. Elihu menyebut tentang harapan bahawa Yehuwa pasti akan memulihkan kesihatan Ayub pada kemudian hari. Tuhan akan berfirman mengenai hamba-Nya yang setia, “Biarlah tubuhnya menjadi lebih segar daripada tubuh orang muda; biarlah dia menjadi kuat dan perkasa semula, seperti pada masa mudanya.” Elihu juga menunjukkan kebaikan hati kerana dia tidak hanya mengarah Ayub apa yang patut Ayub lakukan. Sebaliknya Elihu menjemput Ayub untuk membalas dengan berkata, “Bercakaplah, kerana aku ingin membantumu agar kamu dibuktikan benar.” (Ayub 33:25, 32) Tetapi Ayub tetap berdiam diri. Mungkin Ayub berasa tidak perlu mencari alasan untuk membela diri lagi kerana kata-kata Elihu yang baik hati telah menggalakkannya. Keprihatinan Elihu terhadap Ayub telah menyentuh hatinya, dan ketika itu Ayub mungkin menangis lalu tidak dapat membalas.

Kita dapat belajar banyak daripada kedua-dua lelaki yang setia ini. Teladan Elihu mengajar kita cara untuk memberi nasihat dan melegakan hati orang yang memerlukannya. Seorang sahabat yang sejati akan selalu memberitahu kita tentang kelemahan diri dan memberi amaran kepada kita sebelum kita terlanjur melakukan sesuatu yang salah, walaupun hal itu mungkin menyakitkan. (Amsal 27:6) Jadilah seorang sahabat seperti Elihu, yang selalu menggalakkan mereka yang memerlukannya, dan tetap berbaik hati terhadap sahabat kita biarpun mereka bercakap secara melulu. Apabila kita memerlukan nasihat, semoga teladan Ayub mendorong kita untuk menerima nasihat dengan rendah hati dan tidak mengabaikannya. Kita semua memerlukan nasihat dan pembetulan, dan kita akan diselamatkan jika kita sudi menerimanya.—Amsal 4:13.

“Dari Angin Ribut”

Dalam ucapan Elihu, dia sering merujuk kepada angin, awan, guruh, dan kilat. Mengenai Yehuwa, Elihu berkata, “Dengarlah dengan teliti deruan suara Tuhan.” Tidak lama kemudian, Elihu menyebut tentang “angin ribut.” (Ayub 37:2, 9) Nampaknya semasa Elihu bercakap kepada Ayub, mereka dapat lihat angin ribut yang menjadi semakin kuat. Akhirnya ribut melanda dan sesuatu hal yang luar biasa berlaku. Yehuwa telah berfirman!—Ayub 38:1.

Bayangkan betapa besarnya penghormatan Ayub kerana berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pencipta alam semesta mengenai alam semula jadi!

Semasa membaca buku Ayub, kita rasa lega hati apabila membaca bab-bab yang mengandungi percakapan Yehuwa terhadap Ayub. Kebenaran yang difirmankan oleh Tuhan seperti angin yang telah meniup percakapan kosong Elifas, Bildad, dan Zofar, sehingga semua kata-kata palsu mereka pun terbang melayang. Yehuwa tidak berfirman kepada tiga orang itu buat seketika, kerana Dia ingin bertumpu kepada Ayub sahaja. Yehuwa berfirman kepada Ayub seperti seorang bapa yang membetulkan anaknya.

Yehuwa memahami kepedihan Ayub, dan dia berbelas kasihan terhadapnya, kerana Yehuwa berasa sedih apabila anak-anak kesayangan-Nya menderita. (Yesaya 63:9; Zakharia 2:8) Namun, Yehuwa juga tahu bahawa Ayub sedang “berkata-kata tanpa pengetahuan,” lalu menjadikan masalahnya lebih teruk. Oleh itu, Yehuwa menanya Ayub banyak soalan, supaya dia dapat berfikir lalu dapat membetulkan pandangannya. Yehuwa bermula dengan menanya Ayub, “Di manakah engkau semasa Aku meletakkan asas bumi? Jika engkau berpengertian, beritahulah Aku.” Pada masa itu, “bintang-bintang pagi,” iaitu para malaikat di syurga, telah bersorak-sorak dengan gembira setelah melihat ketakjuban ciptaan. (Ayub 38:2, 4, 7) Sudah tentu Ayub tidak berpengetahuan tentang semua hal ini.

Yehuwa berfirman dari angin ribut dan membetulkan fikiran Ayub dengan kasih

Yehuwa kemudian berfirman tentang karya ciptaan-Nya. Yehuwa bagaikan sedang mendidik Ayub tentang sains semula jadi, yang merangkumi mata-mata pelajaran seperti astronomi, biologi, fizik, dan geologi. Yehuwa juga menghuraikan jenis binatang-binatang yang diketahui Ayub, seperti singa, burung gagak, kambing gunung, keldai liar, lembu liar, burung unta, kuda, burung falkon, burung helang, Behemot (merujuk kepada badak air), dan Lewiatan (mungkin merujuk kepada buaya). Bayangkan betapa besarnya penghormatan Ayub kerana berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pencipta alam semesta mengenai alam semula jadi! *

Mengajar tentang Kerendahan Hati dan Kasih

Apakah tujuannya Yehuwa mengajar Ayub tentang ciptaan-Nya? Ayub perlu menjadi lebih rendah hati. Apabila Ayub bersungut dan menyalahkan Tuhan atas penderitaannya, dia sebenarnya sedang menjauhkan diri daripada Bapanya yang penyayang, lalu menambahkan kepedihan dirinya. Jadi Yehuwa berulang kali menanya Ayub di manakah dia semasa semua ketakjuban itu diciptakan, dan sama ada dia mampu memberikan makanan kepada binatang yang diciptakan oleh Tuhan, dan mengawal serta menjinakkan semua binatang itu. Jika Ayub tidak mampu untuk menguasai ciptaan Tuhan, bagaimana mungkin dia berhak untuk menghakimi Penciptanya? Bukankah cara dan fikiran Yehuwa jauh lebih unggul berbanding dengan pemahaman Ayub yang terhad?

Ayub tidak berdebat dengan Yehuwa atau memberikan alasan tentang kelakuannya

Seluruh ucapan Yehuwa dipenuhi dengan kasih-Nya terhadap Ayub. Yehuwa bagaikan sedang membantu Ayub untuk berfikir secara logik, ‘Anak-Ku, jika Aku mampu menciptakan dan menjaga segala-galanya, adakah Aku tidak mampu menjaga engkau? Adakah engkau fikir Aku akan meninggalkan engkau, serta merampas anak-anak, kesihatan, dan perkara yang menjamin masa depan daripada engkau? Bukankah Aku sahaja yang dapat menggantikan apa yang engkau telah kehilangan dan menyembuhkan kesakitan engkau?’

Ayub hanya memberi jawapan sebanyak dua kali kepada soalan-soalan Yehuwa yang telah merangsang pemikirannya. Ayub tidak berdebat atau memberikan alasan tentang kelakuannya. Dengan rendah hati, dia mengakui bahawa dia telah berkata-kata tanpa pengetahuan, dan dia ingin menarik kembali segala kata-kata yang melulu itu. (Ayub 40:4, 5; 42:1-6) Iman Ayub sungguh menakjubkan. Walaupun dia mengalami banyak penderitaan, dia tetap beriman kepada Yehuwa, dan sudi menerima pembetulan serta rela membuat perubahan. Tanyalah diri, ‘Adakah saya juga sudi menerima nasihat dan pembetulan dengan rendah hati?’ Kita semua memerlukan bantuan sebegini. Jika kita sudi menerimanya, kita sedang meniru iman Ayub.

“Kamu Semua Tidak Mengatakan Apa yang Benar tentang Aku”

Sekarang, Yehuwa bertindak untuk melegakan kepedihan Ayub. Elifas mungkin orang yang paling tua di antara tiga sahabat palsu Ayub, jadi Yehuwa bercakap kepadanya terlebih dahulu. Yehuwa berfirman, “Aku murka terhadapmu dan kedua-dua orang sahabatmu, kerana kamu semua tidak mengatakan apa yang benar tentang Aku, seperti yang dilakukan oleh hamba-Ku Ayub.” (Ayub 42:7) Fikirkan tentang kata-kata ini. Adakah Yehuwa bermaksud bahawa semua yang diucapkan oleh tiga lelaki itu salah, dan semua yang dikatakan oleh Ayub betul? Sudah tentu tidak. * Namun, situasi Ayub amat berbeza dengan para penuduhnya. Ayub patah hati, amat bersedih, dan telah diserang oleh tuduhan yang menusuk hati. Tidak hairanlah dia mengucapkan kata-kata yang melulu. Tetapi Elifas dan rakan-rakannya tidak mengalami keperitan seperti Ayub. Oleh kerana iman mereka lemah, mereka bersikap sombong dan mengucapkan kata-kata yang kejam. Mereka bukan sahaja sedang menghakimi seorang yang tidak bersalah, malah mereka telah menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan yang bersifat keras dan jahat!

Jadi, Yehuwa menentukan bahawa tiga orang itu perlu mengorbankan tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor bebiri jantan. Lembu jantan merupakan korban yang paling mahal dalam Hukum Musa, dan akan dipersembahkan jika dosa yang dilakukan oleh imam agung menyebabkan segenap umat bersalah. (Imamat 4:3) Walaupun Hukum Musa belum dikuatkuasakan pada zaman Ayub, jelaslah bahawa Yehuwa memandang serius terhadap dosa yang dilakukan oleh tiga rakan Ayub itu. Selain itu, Yehuwa juga menyatakan bahawa Dia hanya akan menerima persembahan korban mereka jika Ayub berdoa bagi pihak mereka terlebih dahulu. * (Ayub 42:8) Sudah pasti Ayub berasa sangat dilegakan kerana Yehuwa telah menegakkan keadilan untuknya!

“Hamba-Ku Ayub akan berdoa bagi pihak kamu.”—Ayub 42:8

Yehuwa yakin bahawa Ayub akan melakukan kehendak-Nya dan mengampuni tiga orang yang telah melukai hatinya. Ayub tidak mengecewakan Bapanya. (Ayub 42:9) Ketaatan Ayub membuktikan kesetiaannya kepada Yehuwa; tindakannya jauh lebih berkuasa daripada kata-kata yang telah dia ucapkan. Ketaatan Ayub telah membawa banyak berkat.

“Kasih yang Mendalam”

Yehuwa “berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam” terhadap Ayub. (Yakobus 5:11) Apakah buktinya? Yehuwa menyembuhkan penyakit Ayub. Bayangkan perasaan Ayub apabila dia mendapati bahawa tubuhnya menjadi “lebih segar daripada tubuh orang muda,” seperti yang telah dijangkakan oleh Elihu. Ahli keluarga dan semua sahabat Ayub akhirnya kembali untuk menyokongnya semula; mereka semua bersimpati terhadapnya dan memberinya hadiah. Yehuwa juga memulihkan keadaan kewangan Ayub dengan memberinya kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya. Apa pula yang dilakukan oleh Yehuwa bagi melegakan hati Ayub akibat kematian anak-anaknya? Walaupun Ayub dan isterinya sentiasa merindui anak-anak mereka yang telah meninggal, mereka dikurniakan 10 orang anak lagi, dan hal itu pasti menghibur hati mereka! Yehuwa juga memberkati Ayub dengan umur yang panjang. Ayub hidup selama 140 tahun lagi dan dia sempat melihat cucu-cicitnya sehingga generasi yang keempat. Mengenai hidup Ayub, Bible mengatakan, “Akhirnya, Ayub meninggal setelah menikmati umur yang panjang. Dia sangat puas hati dengan kehidupannya.” (Ayub 42:10-17) Semasa di Firdaus, Ayub dan isterinya serta seluruh keluarga mereka pasti akan disatukan semula, ini termasuklah 10 anak mereka yang telah mati akibat serangan Syaitan.—Yohanes 5:28, 29.

Mengapakah Yehuwa memberkati Ayub dengan berlimpah-limpah? Bible memberikan jawapan, “Kamu sudah mendengar tentang ketabahan Ayub.” (Yakobus 5:11) Ayub telah tabah menghadapi banyak penderitaan yang susah untuk kita bayangkan. Ayub bukan sahaja dapat memelihara nyawanya semasa mengharungi semua cabaran itu, malah dia juga bertabah dan dapat memelihara iman dan kasihnya terhadap Yehuwa. Ayub tidak membiarkan perasaan marah dan dendam berakar dalam hatinya, sebaliknya dia rela mengampuni mereka yang telah melukainya dengan sengaja. Ayub selalu berpegang teguh pada harapannya, dan bertekad untuk tetap setia kepada Tuhan.—Ayub 27:5.

Setiap orang perlu bertabah. Syaitan pasti akan cuba membuat kita tawar hati, sepertimana dia cuba melemahkan semangat Ayub. Tetapi, jika kita terus bertabah dan tetap beriman, merendahkan hati, rela mengampuni orang lain, serta bertekad untuk tetap setia kepada Tuhan, kita juga dapat berpegang teguh pada harapan kita. (Ibrani 10:36) Dengan meniru iman Ayub, kita dapat menghampakan niat Syaitan dan menggembirakan hati Yehuwa!

^ per. 9 Ucapan Elifas, Bildad, dan Zofar begitu panjang sehingga memenuhi sembilan bab dalam Bible, tetapi tidak sekalipun mereka menggunakan nama Ayub semasa bercakap kepadanya.

^ per. 19 Ada kalanya, Yehuwa menghuraikan sesuatu secara harfiah, dan pada masa yang lain Dia juga menggunakan kata-kata kiasan. (Lihat, sebagai contoh, Ayub 41:1, 7, 8, 19-21.) Tidak kira sama ada gambaran itu diberikan secara harfiah atau kiasan, tujuannya tetap sama, iaitu membantu Ayub untuk memupuk rasa hormat yang lebih mendalam terhadap Penciptanya.

^ per. 25 Sebenarnya, rasul Paulus pernah memetik kata-kata Elifas, lalu membuktikan bahawa kata-kata itu memang benar. (Ayub 5:13; 1 Korintus 3:19) Walaupun hal yang disebut oleh Elifas mengandungi kebenaran, namun dia telah menyalahgunakannya pada Ayub.

^ per. 26 Bible tidak menyebut bahawa Ayub perlu mempersembahkan korban yang sama bagi pihak isterinya.