Tetapan Akses

Lompat ke menu utama

Lompat ke sub-menu

Lompat ke Senarai Kandungan

Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Bahasa Melayu

Buku Cerita Bible Saya

Cerita 96: Yesus Menyembuhkan Orang Sakit

SEPANJANG perjalanan Yesus untuk memberitakan Kerajaan Tuhan, dia menyembuhkan orang yang sakit. Khabar tentang mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus tersebar ke kampung-kampung dan kota-kota. Oleh itu, banyak orang membawa orang yang tempang, yang buta, yang bisu, dan banyak orang sakit yang lain kepadanya. Yesus menyembuhkan mereka semua.

Sekarang, lebih daripada tiga tahun telah berlalu sejak Yesus dibaptiskan oleh Yohanes. Yesus memberitahu hawari-hawarinya bahawa tidak lama lagi dia akan pergi ke Yerusalem. Dia juga memberitahu mereka bahawa dia akan dibunuh di sana dan kemudian, dia akan hidup semula. Tetapi sebelum semua perkara ini berlaku, Yesus terus menyembuhkan mereka yang sakit.

Yesus menyembuhkan seorang wanita yang sakit

Pada suatu hari Sabat, Yesus mengajar orang ramai. Hari Sabat ialah hari rehat bagi orang Yahudi. Wanita di dalam gambar ini sangat sakit. Selama 18 tahun, dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak. Yesus meletakkan tangannya pada wanita itu, dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak. Dia telah sembuh!

Hal ini membuat ketua-ketua agama marah. “Ada enam hari untuk bekerja,” salah seorang daripada mereka menjerit kepada orang ramai di sana. “Datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, dan bukan pada hari Sabat!”

Tetapi Yesus menjawab, “Kamu orang jahat! Sesiapa pun antara kamu akan melepaskan keldaimu dari kandang lalu membawa haiwan itu keluar untuk diberikan minuman pada hari Sabat. Jadi, tidak patutkah wanita ini yang sudah menderita selama 18 tahun disembuhkan pada hari Sabat?” Jawapan Yesus menyebabkan guru-guru agama yang jahat ini berasa malu.

Kemudian, Yesus dan hawari-hawarinya meneruskan perjalanan mereka ke Yerusalem. Apabila mereka berada tidak jauh dari kota Yerikho, dua orang pengemis yang buta mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Jadi, mereka mula menjerit, “Ya Yesus, tolonglah kami!”

Yesus memanggil mereka lalu bertanya, “Apakah yang kamu mahu aku lakukan untuk kamu?” Mereka menjawab, “Tuan, kami ingin melihat.” Yesus menyentuh mata mereka, dan dengan serta-merta mereka dapat melihat! Adakah adik tahu mengapa Yesus melakukan mukjizat-mukjizat yang menakjubkan ini? Hal ini adalah kerana dia mengasihi orang dan dia mahu mereka menaruh kepercayaan kepadanya. Semasa Yesus memerintah sebagai Raja, sudah pasti tidak ada sesiapa pun di bumi yang akan jatuh sakit lagi.

Matius 15:30, 31; Lukas 13:10-17; Matius 20:29-34.



Soalan Pembelajaran

  • Apakah yang dilakukan oleh Yesus sepanjang perjalanannya?
  • Lebih daripada tiga tahun selepas Yesus dibaptiskan, apakah yang diberitahu oleh Yesus kepada hawari-hawarinya?
  • Siapakah orang di dalam gambar dan apakah yang dilakukan oleh Yesus untuk wanita itu?
  • Mengapakah jawapan Yesus kepada bantahan ketua-ketua agama membuat mereka berasa malu?
  • Apabila Yesus dan hawari-hawarinya berada tidak jauh dari kota Yerikho, apakah yang dilakukan oleh Yesus untuk dua orang pengemis yang buta?
  • Mengapakah Yesus melakukan mukjizat-mukjizat?

Soalan-soalan tambahan

  • Baca Matius 15:30, 31.

    Bagaimanakah kuasa Yehuwa yang mengagumkan diperlihatkan oleh Yesus? Bagaimanakah hal ini patut mempengaruhi pemahaman kita terhadap janji-janji-Nya bagi dunia baru? (Mzm. 37:29; Yes. 33:24)

  • Baca Lukas 13:10-17.

    Antara mukjizat-mukjizat Yesus yang paling menakjubkan dilakukan pada hari Sabat. Hakikat ini menunjukkan apa tentang berkat-berkat yang akan dinikmati oleh manusia semasa Pemerintahan Seribu Tahun Yesus? (Luk. 13:10-13; Mzm. 46:10; Mat. 12:8; Kol. 2:16, 17; Pny. 21:1-4)

  • Baca Matius 20:29-34.

    Bagaimanakah kisah ini menunjukkan bahawa Yesus tidak pernah terlalu sibuk untuk membantu orang? Apakah yang boleh kita pelajari daripada hal ini? (Ul. 15:7; Yak. 2:15, 16; 1 Yoh. 3:17)