Tetapan Akses

Lompat ke menu utama

Lompat ke sub-menu

Lompat ke Senarai Kandungan

Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Buku Cerita Bible Saya

TERDAPAT DI

Cerita 70: Yunus dan Ikan Besar

LIHATLAH lelaki dalam gambar ini. Dia berada di dalam air dan nyawanya terancam! Bila-bila masa sahaja, ikan ini akan menelannya. Tahukah adik siapa lelaki ini? Namanya Yunus. Marilah kita lihat bagaimana dia berada dalam keadaan sedemikian.

Yunus ialah seorang penubuat Yehuwa. Tidak lama selepas kematian penubuat Elisa, Yehuwa memberitahu Yunus, “Pergilah ke kota Niniwe yang besar itu. Penduduk di kota itu sangat jahat. Aku mahu engkau memberitahu penduduk di kota itu akan kejahatan mereka.”

Yunus dan ikan besar

Tetapi, Yunus enggan pergi ke sana. Jadi dia menaiki sebuah kapal yang menuju ke arah yang bertentangan dengan kota Niniwe. Yehuwa tidak gembira dengan Yunus kerana dia melarikan diri. Oleh itu, Dia menyebabkan sebuah ribut yang dahsyat untuk berlaku. Ribut itu begitu dahsyat sehingga kapal yang dinaiki oleh Yunus hampir-hampir karam. Anak-anak kapal di dalam kapal itu berasa sangat takut, dan mereka berseru kepada tuhan masing-masing untuk meminta tolong.

Akhirnya Yunus memberitahu mereka, “Aku menyembah Yehuwa, Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi. Dan aku sedang melarikan diri daripada tugas yang diberikan oleh Yehuwa.” Maka, anak-anak kapal itu bertanya, “Apakah yang harus kami lakukan kepadamu supaya ribut ini berhenti?”

“Campakkanlah aku ke dalam laut dan laut akan menjadi tenang kembali,” kata Yunus. Pada mulanya, anak-anak kapal ini tidak mahu mencampakkan Yunus ke dalam laut. Tetapi apabila ribut itu semakin mengamuk, mereka terpaksa mencampakkan Yunus ke dalam laut. Dengan serta-merta, ribut itu berhenti dan laut pun menjadi tenang semula.

Ketika Yunus sedang tenggelam ke dalam laut, seekor ikan yang besar menelannya. Namun begitu, dia tidak mati. Dia berada di dalam perut ikan itu selama tiga hari dan tiga malam. Yunus berasa sangat sesal kerana dia tidak mengikut arahan Yehuwa untuk pergi ke Niniwe. Jadi, tahukah adik apa yang dilakukannya?

Yunus berdoa kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya. Kemudian, Yehuwa menyebabkan ikan itu memuntahkan Yunus ke atas daratan. Selepas itu, Yunus pergi ke Niniwe. Tidakkah cerita ini mengajar kita akan pentingnya untuk membuat apa sahaja yang disuruh oleh Yehuwa?

Yunus bab 1 hingga bab 4.



Soalan Pembelajaran

  • Siapakah Yunus? Yehuwa menyuruh Yunus membuat apa?
  • Oleh sebab Yunus enggan pergi ke Niniwe, apakah yang dilakukan olehnya?
  • Menurut Yunus, apakah yang perlu dilakukan oleh anak-anak kapal agar ribut itu berhenti?
  • Seperti yang adik boleh nampak dalam gambar, apakah yang berlaku ketika Yunus sedang tenggelam ke dalam laut?
  • Berapa lamakah Yunus berada di dalam perut ikan yang besar itu? Apakah yang dibuat oleh Yunus di dalam perut ikan?
  • Setelah dimuntahkan keluar oleh ikan yang besar itu, ke manakah Yunus pergi? Apakah yang boleh kita belajar daripada cerita ini?

Soalan-soalan tambahan

  • Baca Yunus 1:1-17.

    Apakah perasaan Yunus terhadap tugasnya untuk menyebarkan berita penghakiman Yehuwa di Niniwe? (Yun. 1:2, 3; Ams. 3:7; Pkh. 8:12)

  • Baca Yunus 2:1, 2, 10.

    Bagaimanakah pengalaman Yunus memberi kita keyakinan bahawa Yehuwa akan menjawab doa-doa kita? (Mzm. 22:25; 34:7; 1 Yoh. 5:14)

  • Baca Yunus 3:1-10.

    Walaupun pada mulanya Yunus gagal menjalankan tugasnya, Yehuwa masih menggunakannya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Apakah galakan yang boleh kita dapat daripada pengalaman Yunus? (Mzm. 103:14; 1 Ptr. 5:10)

    Yunus membuat kesimpulan yang salah tentang orang di Niniwe. Apakah yang boleh kita pelajari daripada pengalaman Yunus tentang orang di kawasan penyebaran kita? (Yun. 3:6-9; Pkh. 11:6; Kis. 13:48)

LOG MASUK